Rabu, 16 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


20 jam meringkuk dalam bonet

Posted: 15 May 2012 11:05 AM PDT

ROME: Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa.

Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.


Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu.

Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan.


"Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut," katanya.


Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya - kedua-duanya warga Bulgaria - dalam keadaan cemas.

Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece.


Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

"Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar," katanya.


Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.


Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari.


Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali. - DM




Bekas anggota polis mengaku salah tipu rakan setugas

Posted: 15 May 2012 11:01 AM PDT

LONDON: Seorang bekas polis berdepan hukuman penjara sehingga 12 bulan selepas dia mengaku menipu rakannya dengan mendakwa anak perempuannya menghidap leukemia.

Ibu kepada dua anak, Rachel Hewitt, dituduh memperoleh wang secara salah daripada rakan setugasnya di Yorkshire Utara dan Yorkshire Barat di antawa 2009 dan 2011.


Menurut jurucakap mahkamah, Rachel mengadu kononnya anak perempuannya, Natasha, 15, sedang menjalani rawatan kemoterapi ketumbuhannya dibuang.

Rachel, 39, mengaku salah di mahkamah Hull semalam.


Berasal dari Ash Grove, Elmsall Selatan, Rachel dituduh atas tuduhan salah laku di pejabat awam.


Dia juga menghadapi tuduhan berasingan kerana menipu.

Cerita dijaja Rachel membolehkan dia memperoleh beberapa ribu ringgit dalam dua kutipan berasingan.


Rachel menetap bersama suaminya, seorang pengawal keselamatan, serta dua anak mereka, Natasha dan Jessica, 12.

Dia dipecat daripada tugasnya selepas tembelangnya diketahui pihak berkuasa tahun lalu.


Hakim, Michael Mettyear, akan menetapkan hukuman pada 6 Jun ini. Ketika mengaku salah di mahkamah semalam, Rachel tidak menunjukkan sebarang tanda dia kesal atas perbuatannya.


Berdasarkan dokumen pertuduhan, Rachel berkali-kali mendakwa Natasha pernah mengidap kanser dan terpaksa menjalani rawatan kemoterapi selepas ketumbuhan berkenaan dibuang.


'Masalah' itu juga menyebabkan Rachel terpaksa tidak hadir bertugas untuk beberapa ketika. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan