Dunia
SEKUMPULAN wanita Nepal berarak sempena Hari Wanita Antarabangsa di Kathmandu, kelmarin.
PBB syor sidang antarabangsa pada 2015 tangani isu kaum HawaNEW YORK: Pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa Perhimpunan Agung badan dunia itu mengadakan persidangan antarabangsa mengenai wanita pada 2015, yang pertama sejak acara itu diadakan di Beijing pada 1995.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Presiden Perhimpunan Agung, Nassir Abdulaziz Al-Nasser, menyuarakan desakan itu ketika PBB memantau Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Jika diluluskan oleh 193 ahli badan dunia itu, Persidangan Global mengenai Wanita akan menjadi sidang wanita keenam PBB sejak kali pertama diadakan di Mexico pada 1975. Kumpulan sukarela Amerika Syarikat, Yayasan Calvert, turut mengumumkan inisiatif bernilai AS$20 juta (RM60 juta) bagi membantu wanita memulakan perniagaan kecil dan menggalakkan khidmat kemudahan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.
Program Win-Win - bagi Pelaburan Wanita dalam Inisiatif Wanita - akan bermula dengan geran AS$1 juta (RM3 juta) daripada Yayasan Citi, sumbangan konglomerat perbankan Citigroup di New York.
Presiden Yayasan Calvert, Lisa Hall, memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat PBB inisiatif itu akan menggunakan sumbangan dan wang dilaburkan untuk memberi pinjaman modal kepada perniagaan wanita, membiayai perumahan dan menulis program pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.
Dia menyifatkannya sebagai pelaburan dengan kewangan dan pulangan sosial. Di Geneva, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay, kelmarin menggesa wanita memainkan peranan lebih hebat dalam kepemimpinan global.
"Saya desak kerajaan, pemimpin komuniti dan ketua keluarga di seluruh dunia supaya mengiktiraf, menyedari dan meneroka ada potensi hebat wanita untuk memberi impak secara positif kepada dunia sekitar mereka," katanya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Pillay merujuk statistik PBB menunjukkan wanita cuma memperoleh 19.3 peratus kerusi di Parlimen seluruh dunia, tahun lalu.
Katanya, cuma 12 daripada 500 syarikat terbaik dunia menurut majalah Fortune memiliki wanita di peringkat tertinggi.
Beliau berkata, wanita di pedalaman menghasilkan 60 hingga 80 peratus makanan di negara membangun tetapi tidak berhak ke atas tanah yang mereka kerjakan.
Pillay memetik perangkaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menunjukkan bagi setiap 100 pemilik tanah di seluruh dunia, cuma 20 adalah wanita.
"Oleh kerana pemimpin wanita dalam politik terlalu kecil, begitu juga pemimpin wanita dalam industri, wanita tidak ambil bahagian dalam perbincangan bagaimana menghadapi krisis global.
"Ia berpunca daripada diri sendiri - keengganan berdepan dengan kesaksamaan jantina membawa kepada banyak penderaan, satu contoh tragik ialah penyebaran HIV/AIDS," katanya. – AFP