Jumaat, 9 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Persidangan khas wanita dunia

Posted: 09 Mar 2012 11:43 AM PST

Dunia

SEKUMPULAN wanita Nepal berarak  sempena Hari Wanita Antarabangsa di Kathmandu,  kelmarin.

SEKUMPULAN wanita Nepal berarak sempena Hari Wanita Antarabangsa di Kathmandu, kelmarin.

PBB syor sidang antarabangsa pada 2015 tangani isu kaum Hawa

NEW YORK: Pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa Perhimpunan Agung badan dunia itu mengadakan persidangan antarabangsa mengenai wanita pada 2015, yang pertama sejak acara itu diadakan di Beijing pada 1995.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Presiden Perhimpunan Agung, Nassir Abdulaziz Al-Nasser, menyuarakan desakan itu ketika PBB memantau Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Jika diluluskan oleh 193 ahli badan dunia itu, Persidangan Global mengenai Wanita akan menjadi sidang wanita keenam PBB sejak kali pertama diadakan di Mexico pada 1975. Kumpulan sukarela Amerika Syarikat, Yayasan Calvert, turut mengumumkan inisiatif bernilai AS$20 juta (RM60 juta) bagi membantu wanita memulakan perniagaan kecil dan menggalakkan khidmat kemudahan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

Program Win-Win - bagi Pelaburan Wanita dalam Inisiatif Wanita - akan bermula dengan geran AS$1 juta (RM3 juta) daripada Yayasan Citi, sumbangan konglomerat perbankan Citigroup di New York.

Presiden Yayasan Calvert, Lisa Hall, memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat PBB inisiatif itu akan menggunakan sumbangan dan wang dilaburkan untuk memberi pinjaman modal kepada perniagaan wanita, membiayai perumahan dan menulis program pendidikan dan penjagaan kanak-kanak.

Dia menyifatkannya sebagai pelaburan dengan kewangan dan pulangan sosial. Di Geneva, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay, kelmarin menggesa wanita memainkan peranan lebih hebat dalam kepemimpinan global.

"Saya desak kerajaan, pemimpin komuniti dan ketua keluarga di seluruh dunia supaya mengiktiraf, menyedari dan meneroka ada potensi hebat wanita untuk memberi impak secara positif kepada dunia sekitar mereka," katanya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Pillay merujuk statistik PBB menunjukkan wanita cuma memperoleh 19.3 peratus kerusi di Parlimen seluruh dunia, tahun lalu.

Katanya, cuma 12 daripada 500 syarikat terbaik dunia menurut majalah Fortune memiliki wanita di peringkat tertinggi.

Beliau berkata, wanita di pedalaman menghasilkan 60 hingga 80 peratus makanan di negara membangun tetapi tidak berhak ke atas tanah yang mereka kerjakan.

Pillay memetik perangkaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menunjukkan bagi setiap 100 pemilik tanah di seluruh dunia, cuma 20 adalah wanita.

"Oleh kerana pemimpin wanita dalam politik terlalu kecil, begitu juga pemimpin wanita dalam industri, wanita tidak ambil bahagian dalam perbincangan bagaimana menghadapi krisis global.

"Ia berpunca daripada diri sendiri - keengganan berdepan dengan kesaksamaan jantina membawa kepada banyak penderaan, satu contoh tragik ialah penyebaran HIV/AIDS," katanya. – AFP

Bekas ketua perisik Israel tidak setuju serang Iran

Posted: 09 Mar 2012 11:42 AM PST

Dunia

WASHINGTON: Bekas ketua agensi perisik Israel, Mossad menyifatkan serangan terhadap Iran sebelum menggunakan semua pendekatan lain adalah satu kesilapan selain meletakkan kepercayaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama untuk campur tangan apabila diperlukan.

Dalam petikan temuramah dengan program 60 Minutes CBS yang disiarkan Ahad, Meir Dagan berkata, beliau percaya rejim Iran sangat rasional termasuk pemimpinnya Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

"Serangan terhadap Iran sebelum anda meneroka semua pendekatan bukanlah cara yang betul, dan (Presiden Obama) secara terbuka menyatakan pilihan tindakan ketenteraan masih dalam rundingan dan beliau tidak akan membiarkan Iran menjadi negara nuklear dan daripada pengalaman saya selalu mempercayai presiden Amerika," katanya. Pentadbiran Obama mengekalkan sekatan ketat terhadap Iran dan usaha diplomatik perlu diberi lebih masa sebelum melancarkan sebarang serangan ke atas Iran.

Pemimpin Israel, bagaimanapun, berkata sudah sampai masa untuk melancarkan serangan mengejut.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkata sekatan terhadap Iran tidak berhasil dan tiada seorang pun daripada mereka yang mampu menunggu lebih lama.

Dagan yang bersara pada Januari 2011 selepas lapan tahun berkhidmat sebagai pengarah perisikan Israel, berulang kali memberi amaran bahawa serangan itu boleh menggagalkan usaha menghalang cita-cita atomik Iran serta meletakkan rantau itu dalam konflik.
Dalam temuramah itu, Dogan tidak percaya Iran malam segera menghasilkan bom atom kerana mereka tahu akan menerima padah.

"Tidak syak lagi, mereka menimbang kesan keseluruhannya. Mereka akan hadapi akibat buruk dan saya yakin Iran pada ketika ini sangat berhati-hati dengan projek ini," katanya. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan