Dunia
BEKAS pemimpin Khmer Rouge yang dibicarakan atas dakwaan jenayah perang (dari kiri) Ieng Sary, Nuon Chea dan Khieu Samphan.
3 bekas pemimpin tolak dakwaan jenayah perangPHNOM PENH: Bekas pemimpin tertinggi Khmer Rouge, Khieu Samphan, semalam menyifatkan pendakwa menceritakan kisah dongeng dalam perbicaraan jenayah perang bersejarah membabitkan beliau dan dua defendan lain, selain terus percaya bahawa kebanyakan rakyat Kemboja menyokong rejim itu.
Khieu Samphan dibicarakan bersama dua lagi tertuduh didakwa melakukan jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai menyebabkan kematian dua juta rakyat negara itu ketika pemerintahan Khmer Rouge pada 1975 hingga 1979.
Tidak kira sama ada anda suka atau tidak, majoriti rakyat Kemboja menyokong. - Khieu Samphan, Tokoh nombor dua Khmer Rouge
Pendakwa memulakan perbicaraan yang ditunggu-tunggu itu dengan memberitahu kamar mahkamah penuh sesak mengenai kezaliman era 'Killing Fields', melakar defendan sebagai 'pembunuh satu generasi penduduk Kemboja.'
Tuduhan itu disangkal Khieu Samphan, 80, ketika menjawab soalan dalam kandang saksi.
"Anda nampaknya mahu semua orang dengar kisah dongeng. Saya dapat rasa anda mahu saya dihukum mati," katanya dalam keterangan selama sejam itu.
Tokoh nombor dua, Khieu Samphan, Nuon Chea dan bekas Menteri Luar rejim itu, Ieng Sary, menafikan semua dakwaan terhadap mereka berkaitan rejim komunis itu.
Diketuai Pol Pot, yang meninggal dunia pada 1998, Khmer Rouge mengosongkan bandar raya, memansuhkan penggunaan wang dan agama serta membunuh hampir satu pertiga rakyat Kemboja.
Orang kuat Pol Pot, Nuon Chea, kelmarin turut menolak semua tuduhan terhadapnya, mendakwa dia berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan mempertahankan Kemboja daripada penceroboh Vietnam.
Dalam nada sama, Khieu Samphan berkata, dia bertindak untuk mempertahankan negara selepas rampasan kuasa pada 1970 yang mewujudkan kerajaan pro-Amerika Syarikat diketuai Lon Nol.
"Tidak kira sama ada anda suka atau tidak, majoriti rakyat Kemboja menyokong kerana kami menentang rejim Lon Nol," katanya.
Pendakwaan menegaskan defendan tahu mengenainya dan terbabit dalam jenayah seperti paksaan berpindah, perhambaan buruh, pembunuhan musuh dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Cham dan etnik Vietnam. – AFP
Full content generated by Get Full RSS.