Jumaat, 11 November 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki tuntut tangan dipulang

Posted: 10 Nov 2011 07:47 AM PST

TAOYUAN (Taiwan): Seorang lelaki rakyat Taiwan, semalam menuntut pihak berkuasa China memulangkan tangan kirinya yang dipotong selepas insiden samun dan disimpan polis negara itu sebagai bahan bukti.

Hu Chi-yang, 59, berkata, dia diserang oleh tiga lelaki di tenggara wilayah China di Fujian minggu lalu. Dia berkata, mereka menyamun wang tunai AS$600 (RM1,920) miliknya dan cuba memotong tangan kirinya bagi mendapatkan cincin dan jam Rolex dipakainya.


Hu, ahli perniagaan yang sudah bersara berkata, dia setuju supaya tangannya dipotong selepas doktor memberitahunya ia cedera parah dan tidak dapat diselamatkan. Bagaimanapun, polis tempatan enggan membenarkan dia mengambil semula tangannya untuk dibawa pulang ke Taiwan.

Bercakap kepada media dari katil hospital di Taoyuan, di utara Taiwan dia berkata: "Saya mangsa dalam kes ini tetapi mereka melayan saya bagaikan saya ini perompak. Saya tidak mahu lagi pergi ke China.


Dengan nada suara yang marah sambil menitiskan air mata Hu berkata, polis di Putian bersikap buruk dan menegaskan dia perlu memberi kenyataan penuh sebelum dibenarkan menjalani pembedahan.


"Saya minta mereka memulangkan tangan saya tetapi mereka kata mereka perlu menyimpannya untuk siasatan," katanya. Kes Hu itu mendapat liputan meluas oleh media Taiwan sejak dia pulang dari Putian Selasa lalu.

Polis di Putian berkata, mereka menghadapi tekanan ekoran kes itu tetapi menafikan tangan Hu sudah dipotong.


"Kes itu tidak terjadi seperti mana dilaporkan media. Namun, kesannya amat besar sekarang, jadi pegawai kanan memberi perhatian penuh terhadap kes itu," kata pegawai polis di Biro Keselamatan Awam Putian.

"Tangannya masih melekat di tubuhnya. Khabar angin kadangkala memang bodoh," katanya sambil mengakui Hu mengalami kecederaan. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

2 sumbu badak dilarikan perompak

Posted: 10 Nov 2011 07:45 AM PST

VIENNA: Pencuri melarikan sumbu badak untuk kali kedua di bandar raya ini, lapor polis semalam selepas kejadian kecurian sumbu badak pertama dilarikan di syarikat lelongan awal minggu ini.

Dua sumbu badak itu antara lima yang dijual oleh syarikat lelongan Dorotheum pada Isnin lalu.


Bagaimanapun sebelum jualan itu, dua lelaki meminta untuk melihat dua sumbu badak dan di depan kakitangan Dorotheum, mereka melarikannya.

Seorang kakitangan berjaya merampas satu daripada sumbu itu. Sumbu yang dirampas semula itu akhirnya dijual pada lelongan waktu tengah hari pada harga AS$116,500 (RM372,800). Keesokan hari, satu lagi sumbu yang dilelong hilang daripada pemilik barunya, seorang ahli taksidermi.


Menurut polis, dua lelaki yang bertutur dalam bahasa Inggeris itu mengunjungi kedai ahli taksidermi terbabit dan melarikan sumbu badak itu ketika dia meninggalkannya untuk menjawab panggilan telefon. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan