Sabtu, 19 Februari 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Protes Hari Kemarahan: 24 maut dibunuh rejim Gaddafi

Posted: 18 Feb 2011 09:07 AM PST

KAHERAH: Perarakan Hari Kemarahan di Libya bertukar menjadi ganas apabila anggota keselamatan rejim Muammar Gaddafi menembak mati sekurang-kurangnya 24 orang, semalam.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), berkata keganasan berlaku di dua bandar utama Libya, Benghazi dan al-Baida.


Memetik sumber tidak dikenali, HRW berkata, penunjuk perasaan ditembak dengan peluru hidup.

Pengarah HRW bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, berkata serangan ganas ke atas demonstrasi aman itu adalah bukti jelas kekejaman Gaddafi jika dia berdepan dengan rasa tidak puas hati rakyatnya.


"Warga Libya sepatutnya tidak perlu merisikokan diri sendiri untuk mendapatkan hak sebagai manusia," katanya.


Pembangkang menggunakan Facebook bagi menggerakkan orang ramai menyertai perarakan Hari Kemarahan semalam, tetapi Gaddafi, 68, membalasnya dengan menganjurkan demonstrasi penyokong kerajaan di tengah Tripoli.

Ratusan orang menyertai perhimpunan di Dataran Hijau di ibu negara Libya sambil membawa sepanduk memuji-muji Gaddafi, antara lain sebagai 'pemimpin revolusi.' Dia turut muncul seketika sejurus selepas tengah malam dan mendapat sambutan hangat.


Tulang belakang rejim Gaddafi, Jawatankuasa Revolusi, berkata mereka tidak akan membiarkan protes rakyat menggagalkan kejayaan rakyat, mengancam keselamatan serta kestabilan negara.

Di bandar raya kedua terbesar di Libya, Benghazi, HRW berkata, protes disertai ratusan peguam, aktivis dan orang ramai yang mahu kedaulatan undang-undang dihormati. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Warga Kaherah berkumpul kenang pejuang reformasi

Posted: 18 Feb 2011 09:05 AM PST

KAHERAH: Ribuan bendera dikibar di Dataran Tahrir, semalam, bagi meraikan kejatuhan Hosni Mubarak serta memberi tekanan berterusan kepada junta tentera Mesir.

Jumlah itu dijangka terus bertambah apabila warga Kaherah selesai menunaikan solat Jumaat.


Pada masa sama, sebuah pancaragam tentera yang lengkap beruniform memainkan lagu patriotik bagi meraikan orang ramai.

Aktivis reformasi menyeru orang ramai menyertai perarakan besar-besaran di dataran itu bagi memperingati penunjuk perasan yang syahid dalam memperjuangkan pembaharuan.


Ia juga memberi tekanan kepada junta tentera membebaskan ramai lagi tahanan politik di penjara Mesir.


Kumpulan penggerak reformasi Mesir, Gabungan Pemuda Revolusi, berkata rakyat Mesir perlu berhimpun bagi mengenang pejuang 'kebebasan, maruah dan keadilan.' Sekurang-kurangnya 365 orang maut dan 5,500 cedera dalam kebangkitan rakyat Mesir menggulingkan Hosni baru-baru ini. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan