Isnin, 5 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Vladimir Putin menang besar

Posted: 05 Mar 2012 02:32 PM PST

Dunia

Berdepan bantahan pembangkang dakwa pengundian dicemari penipuan

MOSCOW: Pemimpin Russia, Vladimir Putin, kembali semula ke Kremlin, selepas menang besar dalam pilihan raya Presiden, namun berdepan bantahan pembangkang yang mendakwa pengundian dicemari penipuan.

Suruhanya Pilihan Raya Pusat berkata Putin memperoleh 64 peratus daripada keseluruhan undi pada pilihan raya semalam untuk menduduki jawatan Presiden Russia yang disandangnya dari 2000 hingga 2008 sebelum menjadi perdana menteri. Pesaing terdekat beliau, Gennady Zyuganov yang juga pemimpin Parti Komunis, ketinggalan jauh di belakang dengan memperoleh 17 peratus undi.

Pemimpin pembangkang menjangka berpuluh ribu orang akan berhimpun di Medan Pushkin bagi menyuarakan bantahan ke atas kemenangan Putin.

Pihak berkuasa pada mulanya cuba menghalang tunjuk perasaan itu tetapi ia tetap diadakan dengan kawalan ketat.

Sementara itu, dalam satu langkah yang tidak dijangka, Presiden Dmitry Medvedev mengarahkan penilaian semula dibuat membabitkan hukuman ke atas jutawan Russia Mikhail Khodorkovsky yang dipenjarakan atas dakwaan rasuah.
Beliau ditahan pada 2003 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas dakwaan menipu, ketika Russia dibawah pimpinan Putin. Presiden itu turut membekukan saham syarikat cari gali minyak Yukos milik Khodorkovsky, sehingga menyebabkan kejatuhannya. Pembangkang sebelum ini mendakwa hukuman penjara ke atas Khodorkovsky bermotif politik.

Sementara itu Zyuganov menyifatkan pilihan raya itu dilaksanakan dengan cara yang 'keji' manakala kumpulan pemantau bebas menyatakan ia dicemari ribuan kes salah laku dan penipuan undi.

"Putin mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini, tetapi persoalan sama ada ia berlangsung secara adil belum selesai dan tetap dipertikaikan," kata akhbar harian Vedomosti.

Pembangkang melahirkan kebimbangan mengenai masalah pengundian bertindih yang didakwa begitu banyak berlaku. Ramai pengundi didapati membuang undi di beberapa tempat berlainan sebagai pengundi tanpa hadir.

"Pengundian ini tidak boleh dianggap sah," kata seorang pemimpin tunjuk perasaan Vladimir Ryzhkov kepada sebuah stesen televisyen tempatan selepas keputusan diumumkan.

Putin yang akan menyandang jawatan untuk tempoh enam tahun, akan kembali ke Kremlin ketika Russian berdepan perubahan sosial drastik, peningkatan golongan pertengahan dan ledakan penggunaan internet. – AFP

Bekas PM Iceland hadapi dakwaan jenayah

Posted: 05 Mar 2012 02:31 PM PST

Dunia

Geir Haarde

Geir Haarde

LONDON: Bekas Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde, 61, berdepan perbicaraan semalam sebagai pemimpin dunia pertama didakwa secara jenayah berhubung krisis kewangan pada tahun 2008 yang menyebabkan dunia berada di ambang kejatuhan ekonomi.

Haarde menjadi simbol kegagalan ekonomi bagi penduduk Iceland yang kehilangan kerja dan rumah selepas bank komersial utama negara itu runtuh, menyebabkan mata wangnya menjunam dan inflasi memuncak.

Beliau dituduh cuai kerana gagal menghalang kejatuhan nilai kewangan yang masih mencengkam negara kecil itu. Bekas Perdana Menteri itu menyangkal semua tuduhan, menyifatkan ia pendakwaan politik dan menegaskan dia akan didakwa apabila muncul di Landsdomur, mahkamah khas yang bersidang buat kali pertama dalam sejarah Iceland untuk membicarakannya.

Pakar perundangan berkata, beliau mempunyai peluang cerah untuk menang terhadap semua dakwaan kerana kekuatan pasukan peguamnya, mendapat simpati kerana bersendirian menanggung kesalahan dan kerana struktur mahkamah yang mempunyai kecacatan apabila membenarkan ahli parlimen, bukan peguam untuk mengenakan dakwaan.

Dalam krisis itu, ketika kadar pengangguran dan inflasi memuncak, ramai mencari sebab untuk dipersalahkan di atas kekacauan di negara dengan 330,000 penduduk itu. Arus bantahan penduduk memaksa Haarde meletak jawatan pada tahun 2009.

Sebahagian berpendapat masalah kewangan Iceland dikaitkan dengan krisis global dan kerajaan tidak dapat meramal atau menghalangnya. Namun laporan Parlimen yang meletakkan kesalahan di atas bahu Haarde dan kerajaannya, berkata pegawai kekurangan kuasa dan keberanian untuk menetapkan had munasabah kepada sistem kewangan.
Terpulang kepada ahli perundangan sama ada untuk mendakwa pegawai terbabit. Selepas perbahasan sengit, Haarde dirujuk kepada mahkamah khas.

"Keseluruhan senario ini menunjukkan apa yang kita perlu untuk mengubah sistem," kata profesor undang-undang di Universiti Iceland, Robert Spano. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan