Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Pemberontak tunggu serangan
TRIPOLI 28 Feb. – Pemberontak Libya sedang menunggu serangan balas daripada pasukan keselamatan Muammar Gaddafi, selepas pemimpin negara ini enggan memenuhi kehendak penunjuk perasaan untuk mengundurkan diri. Pemberontak yang merampas Zawiyah, kira-kira 50 kilometer (km) dari barat Tripoli berkata, kira-kira 2,000 askar yang setia kepada Gaddafi kini mengepung bandar itu. ''Kami akan melakukan yang terbaik dalam mempertahankan bandar ini. Mereka akan serang tidak lama lagi. Jika kami bertempur kerana mahukan kebebasan, kami bersedia untuk mati,'' kata bekas anggota polis berpangkat mejar yang menyertai pemberontakan. Gaddafi kini menggempur pemberontakan yang merebak di seluruh Libya selepas demonstrasi besar-besaran menggulingkan pemimpin negara jiran, Tunisia dan Mesir. Tindakan keras Gaddafi dalam menggempur pemberontakan menyebabkan kematian beratus-ratus orang di Libya. Penduduk di beberapa bahagian di Tripoli juga telah membina sekatan terhadap pasukan keselamatan kerajaan. Seorang jeneral di sebuah bandar di timur negara itu yang berjaya dirampas oleh tentera berkata kepada Reuters bahawa pasukannya kini bersedia membantu pemberontak di barat negara ini. ''Saudara kami di Tripoli menyatakan mereka masih berada dalam keadaan baik, mereka tidak memerlukan pertolongan. Jika mereka memintanya, kami bersedia untuk bergerak,'' kata Jeneral Ahmed el-Gatrani, pegawai kanan tentera di Benghazi. Para penganalisis menjangka pasukan pemberontak akhirnya akan mengambil alih ibu negara dan membunuh atau menangkap Gaddafi. Bagaimanapun, kata para penganalisis, Gaddafi mempunyai kekuatan untuk menimbulkan huru-hara atau perang saudara, prospek yang diberi amaran oleh pemimpin Libya itu dan anaknya. – REUTERS | ||
Muammar Gaddafi anggap sekatan PBB sebagai tidak sah Posted: Muammar Gaddafi anggap sekatan PBB sebagai tidak sahBELGRADE 28 Feb. - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam menolak sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak sah dan mendakwa keadaan sudah kembali tenang di Libya kerana wilayah yang dikuasai oleh penentang rejimnya kini dikepung. Gaddafi dalam kenyataan kepada media asing yang disiarkan di televisyen Serbia juga mengulangi dakwaannya puak pelampau al-Qaeda mendalangi pertumpahan darah sejak protes antirejim bermula pada sekitar 15 Februari lalu. "Majlis Keselamatan meluluskan resolusi yang tidak sah mengikut Piagam PBB, usul itu terbatal," kata Gaddafi kepada Serbian Pink Television dalam kenyataan 10 minit dalam bahasa Arab dan dialih kepada bahasa Serbia. Beliau mempertikaikan bagaimana mungkin Majlis Keselamatan meluluskan resolusi berdasarkan laporan media semata-mata. "Tindakan itu tidak boleh diterima dan bercanggah dengan akal yang waras," katanya. Majlis Keselamatan kelmarin memutuskan untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap Gaddafi serta ahli keluarga dan sekutunya, dan sekatan senjata ke atas Libya. Dalam kenyataan menerusi telefon kepada televisyen Serbia itu, Gaddafi mendakwa situasi di negara di Afrika Utara ini tenang. "Tidak ada insiden buat masa ini dan Libya tenang sama sekali, tiada perkara luar biasa yang berlaku dan tiada kekacauan," dakwanya, dengan menambah hanya sebilangan kecil yang terbunuh di kedua-dua pihak. Mengenai wilayah yang dikuasai oleh penentang rejim, Gaddafi berkata, terdapat sekumpulan kecil penentang yang dikepung dan pihak berkuasa akan membereskan masalah itu. Di Geneva, Menteri-menteri Luar dari negara kuasa besar dijadual bersidang hari ini untuk membincangkan langkah-langkah berikutnya bagi menghentikan pertumpahan darah di Libya. Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatan mereka dari Britain, Perancis, Jerman, Kesatuan Eropah (EU) dan Itali dijadual berucap pada sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB di bandar raya di Switzerland itu. Menteri dari beberapa negara yang mengalami pemberontakan atau protes termasuk Mesir, Jordan dan Tunisia juga dijadual berucap kepada badan 47 anggota itu selepas sidangnya selama empat minggu dibuka pada 10 pagi (5 petang ini waktu Malaysia). - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan