Berita Harian: Dunia |
'Saya hanya pertahankan Islam' Posted: 14 Feb 2011 11:50 AM PST Dunia PENYOKONG Bashir menonton skrin video di luar mahkamah. Gambar kecil, Abu Bakar Bashir. JAKARTA: Guru agama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir semalam dibicarakan di mahkamah atas dakwaan terbaru merancang keganasan ketika negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia itu berhadapan dengan ketegangan agama selain ancaman militan. Bashir, 72, tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan dengan kawalan ketat. Beliau, bagaimanapun, menafikan semua tuduhan beliau ada kaitan dengan kegiatan militan sebaliknya menyifatkan bahawa semua pertuduhan terhadapnya itu adalah 'dirancang'. "Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk mempertahankan Islam," katanya dengan sambutan laungan 'Allah Akbar' oleh lebih 100 penyokongnya. Perbicaraan berkenaan dijangka mengambil masa sebulan.Bashir yang juga disifatkan sebagai pemimpin pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaida berhadapan dengan hukuman maksimum iaitu dihukum mati jika didapati bersalah kerana membantu membiayai sebuah kem militan di wilayah Aceh dan merekrut militan. Dakwaan lain ialah beliau mengumpul 1 bilion rupiah (RM341,937) untuk membeli senjata api, peluru dan merancang pembunuhan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Bashir juga dituduh memberi 5 juta rupiah (RM1,790) dan AS$5,000 (RM15,000) kepada orang kepercayaannya, Joko Pitono di Ngruki, Jawa Tengah, menurut pendakwaan ke atas defendan di mahkamah Jakarta Selatan.
Mereka didakwa mengumpul 80 juta rupiah di daerah Bima, 160 juta rupiah di Surakarta, 25 juta rupiah di Jawa Timur dan 250 juta lagi di Bekasi. Turut dituduh termasuk Thoyib, Syarif Usman, Hariyadi Usman, Abul Hakim, Uqbah, Afif Abul Majid, Abdul Haris, Yudo dan Ubaid. Wang yang dikumpul oleh Ubaid kemudian diberi kepada Dulmatin untuk tujuan membeli senjata api termasuk senapang AK-47, pistol, peluru dan latihan senjata. Pendakwa juga berkata, senjata itu digunakan dalam rompakan bank CIMB Niaga dan kafe internet Newnet di Medan. JI dipersalahkan atas beberapa serangan bunuh diri termasuk letupan bom Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang kebanyakannya pelancong Barat. Pihak berkuasa menemui kawasan kem baru militan itu di Aceh kira-kira setahun lalu. Bashir yang pernah ditahan sebanyak dua kali sebelum ini sejak sedekad lalu pernah menjalani hukuman penjara selama 26 bulan di penjara atas dakwaan terbabit dalam keganasan dan beliau dikenali melalui ceramahnya yang penuh semangat. – Agensi |
Anak lelaki Mubarak hampir bertumbuk Posted: 14 Feb 2011 11:48 AM PST Dunia KAHERAH: Dua anak lelaki Hosni Mubarak hampir bertumbuk Khamis lalu apabila bekas presiden Mesir itu memberi ucapan terakhirnya dalam usaha untuk kekal berkuasa, lapor akhbar kerajaan, Al-Akhbar, kelmarin.Alaa Mubarak menuduh adiknya Gamal, yang memegang jawatan kanan dalam parti pemerintah, memusnahkan detik akhir pemerintahan bapa mereka, 82, kerana mempromosi rakan perniagaannya dalam kehidupan berpolitik. Alaa dilaporkan berkata, perkara itu mengubah pandangan rakyat Mesir ke atas bapa mereka, yang berkuasa sejak 1981. "Kamu rosakkan negara apabila buka jalan kepada rakan dan inilah akibatnya. Kamu membantu menghancurkan imejnya pada hari terakhir kuasanya, membantu merosakkan imejnya dengan perbuatan ini," akhbar itu memetiknya sebagai berkata.Akhbar itu tidak memberitahu sumber, hanya mengatakan ia 'diberitahu,' mengenainya. Tiada cara untuk mengesahkan laporan terbabit. Pertengkaran itu berlaku di istana presiden di sini ketika Mubarak merekodkan ucapan terakhirnya, yang diharapkannya dapat memujuk penunjuk perasaan untuk bertenang dan berjanji memberi peluang untuk satu perubahan ketika bulan terakhir Mubarak sebagai presiden. Pegawai kanan terpaksa campur tangan untuk meleraikan mereka. Gamal Mubarak, 47, menghabiskan 11 tahun bekerja di Bank of America di sini dan London, dan ada banyak pengaruh dalam kerajaan selepas Mubarak melantiknya mengetuai jawatankuasa dasar Parti Demokratik Nasional (NDP) yang memerintah, pada 2002. Ramai rakyat Mesir menganggap Mubarak melatih Gamal sebagai penggantinya. Sebelum Gamal, ada spekulasi pada 1990-an bahawa Mubarak mahukan Alaa, seorang ahli perniagaan untuk menggantikannya. – Reuters |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan