Isnin, 3 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lima rakyat Jerman maut

Posted: 02 Dec 2012 08:26 AM PST

KAHERAH: Lima pelancong Jerman dan tiga warga Mesir terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua bas mini berhampiran pusat percutian Laut Merah, semalam.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua bas itu bertembung dalam sebuah pusat peranginan berhampiran Hurghada.


Jumlah pelancong yang cedera belum disahkan. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman berkata, beberapa warganya terbunuh dan cedera dalam kemalangan di bandar pinggir laut Mesir. "Kementerian Luar mengaktifkan kumpulan pengurusan krisis bagi menangani isu ini, manakala Duta Jerman dalam perjalanan ke tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, agensi berita lain melaporkan, lima warga Jerman dan tiga penduduk tempatan maut dalam kemalangan berkenaan. Sumber polis berkata, lima warga Jerman itu adalah kakitangan syarikat penerbangan yang dalam perjalanan ke lapangan terbang Hurghada. "Kemalangan berlaku apabila bas mini membawa warga Jerman itu memasuki jalan utama tetapi dirempuh sebuah bas lain yang membawa pelancong. Kedua-dua pemandu bas terbabit adalah warga tempatan dan mereka meninggal dunia. Kemalangan jalan raya memang lazim di Mesir, dengan kebanyakannya disebabkan keadaan jalan raya dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang.


Jumaat lalu, dua pelancong Russia maut apabila bas yang mereka naiki terbalik berhampiran Nuweiba, Sinai. Pada 17 November lalu pula, 47 pelajar tempatan terkorban apabila bas mereka dirempuh kereta api di tengah Mesir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Dibaham ikan lumba-lumba

Posted: 02 Dec 2012 08:25 AM PST

ORLANDO: Walaupun biasanya ikan lumba-lumba adalah haiwan yang jinak dan tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh mengancam nyawa.

Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, misalnya, mengalami detik mencemaskan ketika dia dibawa melawat Sea World di Orlando, Florida, minggu lalu.


Menurut media semalam, Jillian Thomas sedang memberikan ikan lumba-lumba di taman tema itu makan apabila haiwan berkenaan tiba-tiba menyerangnya. Kanak-kanak dari Georgia itu mengalami kecederaan apabila dia digigit ikan lumba-lumba berkenaan.

Akibatnya, Jillian luka sebesar wang syiling di tiga tempat, selain bengkak tangan kiri.


Bapa Jillian, Jamie Thomas, berkata dia sempat merakamkan insiden itu dengan kamera videonya.


Berdasarkan rakaman itu, kata Thomas, Jillian jelas nyaris ditarik ke dalam air selepas pergelangan tangannya digigit ikan lumba-lumba berkenaan secara mengejut.

"Serangan itu tidak dijangka kerana ia berlaku ketika Jillian memandang ke tempat lain," katanya. Klip video itu dimuat naik Thomas di Internet sebagai langkah menasihati ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati. Kata Thomas, perkara pertama terlintas di fikirannya ketika Jillian diterkam ialah mahu terjun ke kolam berkenaan untuk menyelamatkan nyawa anaknya. "Saya sangkakan ikan itu akan mengheret Jillian," katanya. Walaupun luka Jillian akan sembuh, Thomas dan isterinya tetap kecewa kerana kakitangan pusat rekreasi itu menganggapnya tidak serius. Kata Thomas, dia lega kerana Jillian tidak ditarik ke dalam kolam, tetapi tidak mustahil ada orang lain akan menerima nasib lebih buruk pada masa depan. "Ia bukan serangan pertama ikan lumba-lumba di situ," katanya. Walaupun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sea World, Thomas berkata, dia berharap pusat rekreasi itu wajar menaikkan had usia bagi kanak-kanak yang ingin menyuap makanan kepada haiwan berkenaan.


Pada 2006, dua pengunjung dewasa terpaksa membuka mulut seekor ikan lumba-lumba yang membaham tangan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Sementara itu, jurucakap Sea World berkata, tiada sebarang perubahan dijangka dilakukan di situ. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Tiada ulasan:

Catat Ulasan