Isnin, 3 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Negara Barat marah Israel

Posted: 03 Dec 2012 01:33 PM PST

London: Britain, Perancis dan Sweden semalam memanggil duta Israel untuk menyatakan bantahan ke atas keputusan Tel Aviv membina 3,000 lagi unit rumah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Duta Israel ke Britain ialah Daniel Taub manakala rakan sejawatannya di Perancis ialah Yossi Gal yang diminta hadir ke Kementerian Luar bagi mendengar protes berkenaan.

Russia, Amerika Syarikat dan Jerman turut menyatakan tentangan terhadap rancangan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam isu berkenaan.

Britain dan Perancis juga dilaporkan merancang untuk memanggil pulang duta masing-masing dari Israel.

Britain menyifatkan langkah itu menimbulkan keraguan terhadap komitmen Israel mencapai perdamaian dengan Palestin.

Kami mengecam keputusan terbaru kerajaan Israel membina 3,000 unit rumah baru dan menyambung pembinaan di E1. Ini mengancam pembentukan dua negara mengikut penyelesaian damai, kata Kementerian Luar Britain.

Kali ini ia bukan sekadar hanya satu kecaman tetapi tindakan tegas terhadap Israel, kata seorang diplomat kanan Eropah kepada akhbar Haaretz. Akhbar itu juga memetik diplomat lain sebagai berkata: London marah dengan keputusan E1 itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon pula memberi amaran ia hampir memusnahkan usaha menggerakkan semula proses damai.

Israel mengarahkan pembinaan perumahan baru itu sehari selepas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menyokong status Palestin diubah di badan dunia itu.

Bantahan diplomatik itu disuarakan kerana keputusan untuk membina perumahan itu membabitkan lokasi dipanggil E1.

E1 adalah kawasan di Tebing Barat membabitkan kawasan timur Baitulmaqdis dan penempatan Yahudi, Maaleh Adumim.

Rakyat Palestin menentang keras projek E1 kerana ia akan membahagikan kawasan Tebing Barat kepada dua bahagian di utara dan selatan selain memutuskan laluan masuk keluar dari Baitulmaqdis sekali gus merumitkan usaha membentuk negara Palestin yang tidak terpecah wilayahnya.
AFP/Reuters

Lancar roket jarak jauh

Posted: 03 Dec 2012 01:31 PM PST

Seoul: Korea Utara mula memasang roket di tapak pelancaran Sohae yang dijangka akan dilancarkan pertengahan bulan ini, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Media rasmi Korea Utara melaporkan, pelancaran itu adalah cubaan meletakkan satelit pengawasan di angka lepas, antara 10 hingga 22 Disember depan.

Saintis negara itu dijangka mengambil masa beberapa hari memasang roket tiga fasa itu di Sohae.

Amerika Syarikat dan sekutunya pula menuduh pemasangan itu bertujuan melancarkan peluru berpandu baru dengan sasaran jarak jauh.

Sekutu Korea Utara, China dan Russia menggesa Pyongyang membatalkan rancangannya.

Jurucakap Kementerian Luar China berharap semua pihak terbabit akan mengambil langkah menjaga keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea.

Ia juga meminta semua pihak tenang dan tidak menambahkan ketegangan. China, katanya, mengiktiraf hak Korea Utara untuk tujuan keamanan di angkasa lepas tetapi Pyongyang sepatutnya akur kepada pengharaman ujian peluru berpandu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Yonghap memetik sumber kerajaan Korea Selatan sebagai berkata:
Korea Utara memasang roket fasa pertama di tapak pelancaran itu. Ini bermakna, Korea Selatan memulakan proses melancarkan peluru berpandu jarak jauh.

Bagaimanapun, media Korea Utara menekankan, pelancaran roket itu untuk tujuan keamanan iaitu meletakkan satelit pengawasan bumi di angka lepas.

Russia juga memberi amaran pelancaran itu akan mencabul larangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melarang mana-mana negara menguji peluru berpandu atau aktiviti berkaitan nuklear.

Kami gesa kerajaan Korea Utara menimbang semula keputusan untuk melancarkan roket, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Ujian itu adalah yang kedua dilakukan di bawah teraju Kim Jong-un yang mengambil alih jawatan, selepas kematian bapanya, Kim Jong-il.

Korea Selatan pula bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada 19 November depan.

Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan