Kosmo Online - Dunia |
- Terowong di lebuh raya Jepun runtuh
- Tunjuk perasaan bantah Kardashian
- Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung Serbia
Terowong di lebuh raya Jepun runtuh Posted: Terowong di lebuh raya Jepun runtuh
TOKYO - Beberapa anggota penyelamat menemui lima mayat yang rentung selepas bumbung sebuah Terowong Sasago di lebuh raya Chuo, tengah Jepun runtuh semalam. Mayat-mayat itu ditemui di dalam sebuah kereta. Dua buah kereta remuk di dalam terowong tersebut. Menurut laporan agensi berita Kyodo, beberapa pekerja penyelamat kini melakukan siasatan bagi memastikan jika terdapat mangsa lain yang terperangkap. Terowong itu sepanjang 4.7 kilometer dan terletak di Otsuki, 80 kilometer ke barat Tokyo. Kira-kira 150 kepingan siling yang setiap satu berukuran lima meter lebar, 1.2 meter panjang dan setebal lapan sentimeter serta berat 1.2 tan runtuh di dalam terowong tersebut. Lebuh raya itu telah dibuka sejak 35 tahun lalu. Rangkaian televisyen menunjukkan kepulan asap keluar dari terowong itu. Tujuh orang dipercayai hilang manakala dua lagi cedera dan sekurang-kurangnya dua buah kereta juga terperangkap, kata seorang anggota bomba. Seorang mangsa, Tomohiro Suzuki, 37, yang melalui kawasan berhampiran menceritakan detik-detik tragis itu. Menurutnya, dia keluar dari kereta dan berlari ke arah sebuah kenderaan lain yang remuk akibat dihempap konkrit dengan tujuan untuk menyelamatkan penumpang kereta tersebut. Suzuki berkata, dia kemudian menghubungi polis selepas mendapati amat mustahil untuknya melakukan kerja-kerja menyelamat. Seorang lagi lelaki memberitahu agensi berita Jiji Press bahawa dia menyaksikan konkrit bumbung terowong itu menghempap sebuah kenderaan di depan matanya. ASAP akibat kereta terbakar keluar dari terowong itu. Menurutnya, dia mendengar bunyi suara orang meminta pertolongan dari celah-celah timbunan runtuhan sebelum seorang wanita keluar tanpa memakai kasut dengan pakaiannya koyak. Wanita berkenaan meminta supaya semua rakan dan kekasihnya diselamatkan selepas kereta yang dinaikinya dihempap runtuhan itu. Bagaimanapun, lelaki tersebut menyatakan, kereta yang dinaiki wanita yang terselamat itu terbakar. Seorang wartawan, Yoshio Goto yang terperangkap dalam kemalangan itu berkata, dia sempat memecut kenderaannya dan berjaya keluar dari terowong itu. Bagaimanapun, terdapat serpihan runtuhan yang menghempap kenderaannya. "Saya kemudian melihat ke arah kenderaan saya dan mendapati separuh bumbungnya remuk," katanya. Terowong Sasago yang melalui sebuah kawasan bukit tidak jauh dari Gunung Fuji merupakan salah sebuah terowong yang paling panjang di Jepun. Ia merupakan kemalangan terburuk yang pernah berlaku di Jepun sejak tahun 1996, setelah sebuah terowong runtuh dan mengakibatkan 20 orang terbunuh. Syarikat yang mengendalikan lebuh raya itu, Central Nippon Expressway menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian. Menurut syarikat itu, pihaknya tidak menemui sebarang kecacatan semasa melakukan pemeriksaan pada Septembar lalu. Presiden syarikat itu, Takekazu Kaneko meminta maaf berhubung kejadian itu pada sidang akhbar di Nagoya. "Saya meminta maaf kerana menyebabkan kemalangan serius. Saya kini meletakkan keutamaan berhubung kerja-kerja menyelamat," katanya. - Agensi | |
Tunjuk perasaan bantah Kardashian Posted: Tunjuk perasaan bantah KardashianSEKUMPULAN penunjuk perasaan membantah kehadiran Kardashian dekat sebuah pusat beli-belah di Riffa kelmarin. MANAMA - Kehadiran selebriti televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian di Bahrain telah mencetuskan tunjuk perasaan sehingga mengakibatkan polis pencegah rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan lebih 50 orang penunjuk perasaan kelmarin. Tunjuk perasaan itu berlaku sebelum Kardashian merasmikan cawangan kedai makanannya, Millions of Milkshakes di sini. Seorang wartawan agensi berita Associated Press menyaksikan para penunjuk perasaan menjerit: "Tuhan Maha Besar". Tunjuk perasaan itu berlaku dekat kedai tersebut di bangunan beli-belah Riffa, 20 kilometer ke selatan Manama. Bagaimanapun, para penunjuk perasaan itu berjaya disuraikan polis sebelum ketibaan Kardashian. Sebelum kejadian tersebut berlaku, selebriti itu menghantar kenyataan di laman Twitter dengan menyatakan bahawa Bahrain merupakan tempat yang paling cantik di bumi. Beribu-ribu peminat yang telah membayar sehingga AS$1,360 (RM4,132) untuk sekeping tiket bertindak menjerit sejurus selebriti berusia 32 tahun itu merasmikan kedai tersebut. Beberapa anggota parlimen negara itu mengemukakan usul untuk melabelkan Kardashian sebagai artis yang mempunyai reputasi buruk. Namun, ramai peminat aktres itu menghantar kenyataan di Twitter untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan tindakan kumpulan ahli parlimen tersebut. "Ahli-ahli parlimen sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan isu-isu penting seperti ekonomi, politik dan sosial," lapor akhbar Daily News. Kardashian, 32, pernah berbogel untuk majalah lucah Playboy dan terkenal menerusi program realitinya di AS. - Agensi | |
Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung Serbia Posted: Puntianak dipercayai berkeliaran di kampung SerbiaKINCIR air yang musnah dan dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak di Kampung Zarozje, Serbia. BELGRADE - Penduduk di Kampung Zarozje, dekat bandar Bajina Basta, Serbia percaya terdapat puntianak yang menghisap darah sedang berkeliaran dan mereka kini hidup dalam ketakutan. Seorang anggota majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk kampung itu supaya membawa bawang putih di dalam saku dan lambang salib di bilik rumah mereka bagi mengelak kehadiran puntianak. Mereka kini dilanda ketakutan tentang kehadiran puntianak legenda yang bernama Sava Savanovic. "Kisah Savanovic merupakan satu legenda tetapi beberapa perkara ganjil telah berlaku sejak kebelakangan ini," kata seorang suri rumah, Milka Prokic yang memegang bawang putih di tangannya. "Kami mewarisi legenda itu daripada nenek moyang dan kami menghidupkannya untuk generasi muda," tambahnya yang berusia 55 tahun. Kewujudan puntianak itu berkeliaran di kampung tersebut tersebar selepas sebuah kincir air di Sungai Rogacica di kampung tersebut runtuh beberapa bulan lalu. Kincir itu dipercayai menjadi tempat tinggal puntianak tersebut. Justeru, puntianak itu kini berkeliaran selepas kincir air yang menjadi tempat tinggalnya musnah. Puntianak itu kini marah kerana terpaksa mencari tempat untuk menggantung pakaiannya. Beberapa penduduk mendakwa mereka mendengar bunyi daun-daun kering di hutan dipijak dan suara ganjil datang dari puncak sebuah kawasan pergunungan. Kawasan pergunungan itu dipercayai menjadi tempat puntianak itu dibunuh dengan pancang tajam yang menembusi jantungnya. Namun, puntianak tersebut masih hidup dalam bentuk roh seperti menjadi rama-rama. Beberapa penduduk menyatakan mudah bagi orang di luar kampung itu untuk mentertawakan mereka ekoran kisah tersebut. "Baru-baru ini, lima orang telah mati selepas seorang demi seorang di dalam komuniti kita" kata seorang anggota majlis perbandaran, Miodrag Vujetic. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan