Kosmo Online - Dunia |
Pejabat Presiden Mesir dikerumuni rakyat Posted: Pejabat Presiden Mesir dikerumuni rakyatBEBERAPA penduduk mengetuk pintu pejabat Morsi manakala seorang lagi cuba memanjat pintu itu di Kaherah semalam. KAHERAH - Ratusan penduduk Mesir mula mengunjungi pejabat Presiden Mesir, Mohammed Morsi di sini bagi mengadu masalah dan mencari penyelesaian daripadanya. Pada Sabtu lalu, Morsi menyatakan pintunya akan dibuka kepada semua penduduk Mesir selepas beliau mengangkat sumpah jawatan. Beberapa kakitangannya membenarkan para penunjuk perasaan untuk memasuki pejabat Morsi dan menyerahkan tuntutan permintaan mereka. Seorang penduduk, Shehata Etman yang bekerja di sebuah kilang di Alexandria menyatakan beliau dipaksa untuk bersara awal dan tidak dibayar gaji. Shehata mahu Morsi menyelesaikan masalah tersebut. Beberapa wanita turut bergegas memasuki pejabat tersebut tetapi sempat dihalang oleh beberapa pengawal keselamatan. Situasi itu tidak pernah dilihat semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak yang meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu. Semalam, 50 guru mengadakan tunjuk perasaan bagi meminta mereka dijadikan staf tetap. Tunjuk perasaan itu diadakan di depan pejabat Morsi. - AFP |
Posted: Kubur Arafat mungkin digaliARAFAT (kanan) dibantunya isterinya, Suha meninggalkan Tebing Barat, Ramallah untuk menuju ke Perancis pada 29 Oktober 2004. RAMALLAH, Tebing Barat - Kubur pemimpin Palestin, Yasser Arafat mungkin akan digali bagi membolehkan lebih banyak ujian dilakukan untuk menentukan punca kematiannya, kata Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas semalam. Beliau membuat kenyataan tersebut selepas sebuah makmal Switzerland melaporkan, pihaknya menemui kandungan tinggi bahan radioaktif polonium pada beberapa barangan yang digunakan oleh Arafat beberapa hari sebelum kematiannya. Kenyataan itu dibuat selepas balu Arafat, Suha dalam satu temu ramah yang disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera menyatakan suaminya itu diracun dengan polonium. Pegawai kanan Palestin, Saeb Erakat memberitahu agensi berita AFP, satu siasatan antarabangsa perlu diwujudkan bagi menentukan punca kematian Arafat. Dalam wawancara bersama Al-Jazeera, Suha tidak menyatakan mengapa beliau menunggu hampir lapan tahun sebelum membenarkan beberapa barangan tersebut termasuk sebatang berus gigi dan topi untuk diuji. Pada hari kematian Arafat, wanita tersebut enggan membenarkan mayat suaminya itu dibedah siasat. Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di luar Paris, Perancis pada November 2004 semasa berumur 75 tahun. Beberapa doktor Perancis memberitahu, beliau mengalami pendarahan otak. Namun, beberapa minggu sebelum itu, Arafat jatuh sakit di kediamannya di Tebing Barat. Doktor-doktor termasuk beberapa pakar bebas yang menyemak rekod perubatan Arafat bagi pihak agensi berita Associated Press (AP) gagal mengenal pasti punca beliau mengalami pendarahan otak. Spekulasi telah tersebar di dunia Arab bahawa beliau dibunuh oleh Israel yang menganggapnya sebagai halangan perjanjian damai Asia Barat. Namun, seorang pegawai Israel menafikan rejim Zionis telah meracun Arafat. Dalam satu temu ramah radio, Dov Weisglass yang pernah menjadi ketua kakitangan Perdana Menteri Israel ketika Arafat masih hidup, Ariel Sharon, menafikan laporan Al-Jazeera, Menurut Weiglass, para pegawai Israel tidak pernah menimbang untuk membunuh Arafat. Ketua Institut Radiasi Fizik di Laussanne, Francois Bochud memberitahu AP semalam bahawa makmalnya menguji beberapa barangan yang digunakan pada hari-hari terakhir Arafat selain beberapa barangan lain milik pemimpin tersebut. Suha berkata, barangan itu disimpan di sebuah bilik selamat di pejabat peguamnya di Paris selepas kematian Arafat sehingga pihak Al-Jazeera menghubungi makmal berkenaan bagi pihaknya pada awal tahun ini. Selepas ujian dilakukan, beberapa pakar menemui kuantiti kecil bahan radioaktif polonium pada seluar dalam Arafat dan pakaian hospital yang dipakainya. Penemuan itu kata Bochud, tidak semestinya menunjukkan bahawa Arafat diracun. Katanya, sukar untuk mengenal pasti sumber polonium tersebut. "Apa yang kami tahu adalah terdapat tahap polonium yang tinggi yang membawa kepada hipotesis Arafat diracun tetapi hasil ujian ini bukan bukti bahawa beliau diracun," kata Bochud dalam satu wawancara telefon bersama AP. Polonium paling dikenali kerana menyebabkan kematian bekas ejen perkhidmatan risikan KGB, Alexander Litvinenko di London pada 2006. Litvinenko sebelum itu kerap mengkritik pemerintah Rusia. - Agensi |
Saintis temui 'partikel Tuhan' Posted: Saintis temui 'partikel Tuhan'HEUER (dua dari kanan) melihat skrin yang mendedahkan tentang penemuan 'partikel Tuhan' pada satu seminar di Organisasi Eropah Untuk Penyelidikan Nuklear, Geneva semalam. GENEVA, Switzerland - Saintis-saintis makmal Organisasi Eropah Untuk Penyelidikan Nuklear (CERN) bersorak gembira selepas mereka menemui partikel subatom baharu yang menyerupai partikel Higgs Boson yang dicari selama ini, kata satu kenyataan makmal berkenaan di sini semalam. CERN merupakan makmal terbesar di dunia yang melakukan eksperimen perlanggaran antara atom. Partikel baharu itu juga digelarkan sebagai 'partikel Tuhan'. Pengumuman tentang penemuan itu dibuat oleh beberapa saintis CERN kepada media di sini semalam selepas didedahkan pada satu seminar tentang partikel berkenaan. Penemuan itu menjelaskan tentang aspek kenapa semua benda di alam semesta mempunyai berat dan bentuk. Partikel baharu itu akan 'melekat' pada benda yang membolehkan sesuatu benda tersebut mempunyai bentuk dan saiz. "Kami kini menemui elemen penting yang membuka lembaran baharu bidang fizik partikel," kata Pengarah CERN, Rolf Heuer kepada sekumpulan saintis di sini. "Pendek kata, saya berpendapat kami telah berjaya. Kami menemui partikel baharu yang konsisten dengan Higgs Boson," tambahnya seperti dilaporkan agensi berita dpa. Nama Higgs Boson datang daripada seorang ahli fizik Britain, Peter Higgs yang membayangkan kewujudan partikel pemberi jisim pada alam semesta ketika dia bersiar-siar di Pergunungan Cairngorm, Scotland, pada tahun 1964. Partikel tersebut dilihat sebagai kunci kepada pemahaman tentang kenapa setiap objek mempunyai jisim yang apabila bercantum dengan graviti, akan memberikan berat pada objek berkenaan. Penemuan terbaharu ini dilihat sama pentingnya dengan penemuan graviti oleh saintis Britain, Isaac Newton. Pengetahuan tentang partikel Tuhan dapat memberikan pelbagai kegunaan dan faedah kepada para saintis. Penemuan itu diperoleh selepas beberapa eksperimen dilakukan dengan menggunakan sebuah mesin penghentam atom CERN juga dikenali sebagai Penghentam Hadron Besar (LHC) yang berharga AS$10 bilion (RM31.5 bilion). Mesin itu dibina di sempadan Switzerland-Perancis. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan