Rabu, 4 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Bashar kesal jet Turki ditembak

Posted:

Bashar kesal jet Turki ditembak

SEBUAH bangunan musnah rosak teruk akibat pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di Homs kelmarin.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad menyatakan, beliau kesal berhubung insiden sebuah jet pejuang Turki ditembak jatuh oleh tenteranya, lapor sebuah akhbar Turki semalam.

Bashar juga dilaporkan berkata, beliau tidak akan membiarkan ketegangan antara dua negara berjiran itu meruncing sehingga mencetuskan konflik bersenjata.

Syria menembak jatuh sebuah jet pejuang RF-4E milik Turki pada 22 Jun lalu.

Damsyik memberitahu, pihaknya membedil pesawat tersebut selepas mendapati jet itu terbang rendah di ruang udara Syria tetapi Turki mendakwa, pesawatnya di ruang udara antarabangsa dan hanya tersasar ke Syria untuk seketika.

Dalam satu wawancara bersama akhbar Cumhuriyet, Bashar enggan memohon maaf berhubung insiden tersebut. Beliau sebaliknya memberitahu, jet itu ditembak jatuh di Syria dan tenteranya bertindak untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata, pesawat itu terbang dalam laluan ruang udara Syria yang pernah digunakan oleh beberapa pesawat Israel pada tahun 2007 ketika rejim Zionis mengebom sebuah bangunan yang sedang dibina di utara Syria.

Agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, bangunan tersebut adalah sebuah reaktor hampir siap yang digunakan untuk menghasilkan plutonium bagi kegunaan membuat senjata nuklear.

"Pesawat itu menggunakan laluan sama yang digunakan oleh beberapa jet Israel sebanyak tiga kali pada masa lalu," kata Bashar kepada Cumhuriyet.

"Askar-askar kami menembak jatuh jet tersebut kerana kami tidak dapat mengesan pesawat ini dalam radar dan kami tidak diberitahu tentang penerbangan ini," jelas Bashar.

"Saya 100 peratus berkata bahawa saya berharap kami tidak menembak jatuh jet ini," tambahnya.

Bercakap kali pertama berhubung pelan tajaan PPB bagi peralihan politik di Syria yang kini diguna pakai kuasa dunia pada satu persidangan di Geneva Sabtu lepas, Bashar memberitahu, beliau 'gembira' kerana keputusan berhubung masa depan Syria diletakkan pada bahu rakyatnya.

Pelan tersebut menggesa supaya satu pentadbiran peralihan yang memiliki kuasa eksekutif diwujudkan di Syria.

Namun, ekoran permintaan Rusia, satu jalan tengah dipersetujui dengan Bashar turut dibenarkan menyertai pentadbiran peralihan tersebut manakala anggotanya pula dipilih menerusi persetujuan bersama antara pentadbiran beliau dan pihak penentang.

"Rakyat Syria akan menentukan segalanya," kata Bashar.

Konflik di Syria telah menyebabkan lebih 14,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Bashar bermula pada Mac 2011.

Kebangkitan itu melibatkan pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak.

Sementara itu, pasukan keselamatan Syria didakwa mengendalikan lebih 24 pusat penyeksaan yang menyaksikan kuku para tahanan dicabut dan arus elektrik dialirkan pada kemaluan mereka serta beberapa bahagian badan yang lain.

Sebuah pertubuhan hak asasi yang beribu pejabat di New York, Human Rights Watch semalam menyatakan, penyeksaan tahanan yang kerap berlaku di pusat-pusat tahan di Syria boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.

Justeru, pertubuhan tersebut menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak bagi menghentikan kekejaman tersebut.

"Penyeksaan dan layanan buruk yang direkodkan Human Rights Watch jelas menunjukkan amalan menyeksa tahanan dilakukan oleh pemerintah sekali gus melibatkan jenayah kemanusiaan," kata pertubuhan berkenaan.

Pertubuhan sama menggesa Majlis Keselamatan PBB merujuk situasi di Syria kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda.

Badan dunia itu turut digesa mengenakan sekatan terhadap mereka yang mengamalkan dan mengendalikan penyeksaan. - Agensi

Ketua Eksekutif Bank Barclays letak jawatan

Posted:

Ketua Eksekutif Bank Barclays letak jawatan

DIAMOND


LONDON - Ketua Eksekutif Bank Barclays, Bob Diamond meletak jawatan semalam dalam skandal terbaharu yang melanda pasaran kewangan.

Skandal tersebut turut menyaksikan pengerusi bank berkenaan mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan dengan pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap sektor perbankan di Britain.

Peletakan jawatan Diamond yang berkuat kuasa serta-merta, berlaku sehari selepas pengerusi bank berkenan, Marcus Agius turut terpalit dalam skandal tersebut.

Bagaimanapun, Agius akan mengetuai usaha mencari seorang ketua eksekutif baharu dan akan meninggalkan institusi perbankan tersebut selepas seorang pengerusi baharu dilantik.

Pengurusan Barclays dikecam sejak bank tersebut didenda AS$453 juta (RM1.42 bilion) oleh pihak berkuasa perbankan Amerika Syarikat dan Britain pada minggu lalu kerana menyerahkan laporan palsu berhubung kadar faedah pinjaman antara tahun 2005 hingga 2009.

Kebanyakan aktiviti tersebut berasa daripada pedagang Barclays Capital yang merupakan divisyen pelaburan perbankan diketuai oleh Diamond.

"Tekanan luar ke atas Barclays mencapai satu tahap yang berisiko menjejaskan bank ini, saya tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku," kata Diamond semalam dalam satu kenyataan bersama peletakan jawatannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Penipuan Serius Britain kelmarin menyatakan, pihaknya akan memutuskan dalam masa sebulan sama ada untuk mengemukakan dakwaan jenayah dalam kes tersebut. - Agensi

Pereka kereta Ferrari meninggal dunia

Posted:

Pereka kereta Ferrari meninggal dunia

SEBUAH kereta Ferrari P4/5 yang direka syarikat Pininfarina dipamerkan pada Pameran Kenderaan Paris di Paris pada 29 September 2006.(gambar kecil) Sergio Pininfarina


MILAN - Pereka bentuk kereta sport Ferrari, Sergio Pininfarina meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di sini semalam.

Punca kematiannya tidak didedahkan tetapi dia pernah sakit sebelum ini.

Sergio dibimbing bapanya, Gian Battista yang merupakan pengasas firma reka bentuk kereta Farina pada tahun 1930-an, untuk menggantikannya sejak beliau masih kanak-kanak.

Dilahirkan pada 1926, beliau menyertai firma keluarga itu selepas memperoleh ijazah kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Politeknik Turin.

Sergio dilantik ketua eksekutif Farina pada 1961 dan pengerusi apabila bapanya meninggal dunia pada 1966.

Ketika itu, firma berkenaan telah mencipta nama dalam mereka bentuk kereta bercirikan aerodinamik terkini yang menjadi tumpuan orang ramai.

Nama Farina kemudian ditukar kepada Pininfarina pada 1961 selepas mendapat restu presiden syarikat berkenaan.

Antara kereta terkenal yang direka bentuk firma tersebut termasuk kereta coupe Cisalfa pada 1947 yang kini dipamerkan di Muzium Seni Moden di New York.

Hubungan Pininfarina dengan Ferrari dimulakan oleh Gian Battista pada 1952 dan dipopularkan oleh Sergio sehingga menjadi jenama yang terkenal di seluruh dunia.

Sejak 50 tahun beliau menerajui Pininfarina, pengeluaran kenderaan syarikat itu meningkat daripada 524 unit setahun kepada lebih 50,000 kenderaan.

Selain perkongsian bersejarah dengan Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati (kesemuanya dimiliki oleh Fiat), Pininfarina turut mereka bentuk kereta untuk Rolls-Royce dan beberapa jenama luar lain.

Antaranya kereta Chevrolet Corvette Rondine pada 1963, Cadiilac Alante pada 1986, Bentley Azure pada 1996 dan kereta coupe Peugeot 406 pada 1996.

Sergio turut mereka bentuk kereta Fiat 124 Spider keluaran 1986, Ferrari Testarossa pada 1984 dan dan Ferrari Scagliettia pada 2004. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan