Berita Harian: Dunia |
Posted: 04 Jul 2012 10:07 AM PDT Laluan bawa bekalan ke Afghanistan dibuka selepas 7 bulan disekat Karachi: Beribu-ribu pemandu trak Pakistan semalam bersedia menyambung konvoi bekalan utama pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Afghanistan dan menamatkan ketegangan selama tujuh bulan selepas Washington meminta maaf berhubung serangan udara. Pakistan bersetuju membuka semula laluan bekalan utama ke Afghanistan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, memohon maaf di atas kematian 24 anggota tentera Pakistan dalam serangan udara November lalu. Persetujuan itu, yang diumumkan Clinton selepas bercakap di telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, berikutan berbulan-bulan sesi rundingan. Islamabad, sekutu utama kempen memerangi Taliban, menegaskan Washington perlu meminta maaf berikutan serangan pada November lalu apabila pesawat Amerika tersalah membunuh 24 anggota tentera Pakistan. "Khar dan saya mengakui kesilapan yang menyebabkan kematian tentera Pakistan. Kami minta maaf di atas kehilangan yang dialami tentera Pakistan. Pakistan mengesahkan ia memutuskan untuk membuka semula laluan ke Afghanistan yang penting ketika tentera Amerika dan NATO mengundurkan tentera dan peralatan dari Afghanistan menjelang tarikh akhir 2014. "Pertemuan jawatankuasa pertahanan Kabinet Pakistan memutuskan untuk membuka semula laluan bekalan NATO," kata Menteri Penerangan, Qamar Zaman Kaira, kepada wartawan di Islamabad. - AFP |
Pakar seludup ubat masuk Syria Posted: 04 Jul 2012 10:05 AM PDT Doktor hadapi risiko kena tangkap rawat penduduk cedera Dubai: Bantuan perubatan yang dikumpul oleh pakar diseludup ke Syria ketika doktor yang berdepan risiko ditangkap dan diseksa, bergelut dalam diam untuk merawat semakin ramai penduduk yang cedera di negara bergolak itu, kata aktivis. Penyeludup membawa bantuan dengan berjalan kaki selama lebih sejam di sepanjang laluan sukar antara Turki dan Syria sebelum tiba di sempadan untuk diserahkan kepada anggota sindiket berkenaan yang membawanya dengan kenderaan ke kawasan yang memerlukan. "Bagi pihak berkuasa Syria, ditangkap membawa ubat sama seperti menyeludup senjata," kata Khaled Mustafa, aktivis yang mengetuai jawatankuasa membantu pelarian Syria di Lubnan dan membantu mengumpul dan menyampaikan bantuan kepada mangsa konflik di tanah airnya itu. Ketika pihak berkuasa Turki membantu memudahkan perjalanan bantuan, aktivis berkata proses itu lebih sukar dari Lubnan berikutan pendirian berkecuali kerajaan negara itu terhadap pemberontakan di Syria. "Namun sumbangan yang diperoleh daripada pihak yang bersimpati dan bekalan perubatan dibeli daripada farmasi di seluruh Lubnan," katanya. Bekalan diserahkan kepada aktivis di dalam negara itu yang membawanya ke tempat memerlukan dengan kawalan Tentera Pembebasan Syria. "Banyak bekalan perubatan dirampas dan banyak pasukan cuba menyeludup bantuan atau rakyat yang cedera ditangkap atau dibunuh oleh pihak berkuasa Syria," kata Mustafa. Lebih 16,500 terbunuh sejak konflik 15 bulan itu bermula, kata kumpulan hak, dan rakyat Syria di luar negara meningkatkan usaha memberi bantuan kepada rakan senegara. - AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan