Ahad, 13 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


3 negara ikrar atasi isu Korea

Posted: 13 May 2012 03:16 PM PDT

Dunia

  LEE   (kiri),   Wen Jiabao  dan  Noda (kanan) berpegangan tangan ketika bergambar menjelang sidang kemuncak tiga hala di Beijing, semalam. - Foto REUTERS

LEE (kiri), Wen Jiabao dan Noda (kanan) berpegangan tangan ketika bergambar menjelang sidang kemuncak tiga hala di Beijing, semalam. - Foto REUTERS

BEIJING: Pemimpin China, Korea Selatan dan Jepun semalam berkata, mereka akan bekerjasama menenangkan ketegangan di Semenanjung Korea sambil berusaha mengeratkan hubungan ekonomi ketiga-tiga negara dengan mewujudkan kerja asas bagi kawasan perdagangan bebas serantau.

Ketiga-tiga negara yang bersama-sama membentuk 90 peratus ekonomi Asia Timur, mengadakan persidangan tiga hala tahunan kelima, dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, menjadi hos dan dihadiri oleh Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda.

Lee berkata, ketiga-tiga negara bersetuju sebarang provokasi dari Korea Utara tidak boleh diterima. Kegagalan roket yang dilancarkan rejim komunis itu bulan lalu mengundang sekatan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kini wujud kebimbangan Pyongyang bersedia melakukan ujian nuklear ketiganya. Wen pula menggesa semua pihak kembali ke landasan asal dialog dan rundingan.
"Tugas utama ialah mencuba untuk menghalang tekanan di Semenanjung Korea daripada semakin memuncak," katanya.

China yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan, adalah sekutu diplomatik paling rapat Korea Utara.

Noda berkata, Beijing, Tokyo dan Seoul perlu bekerjasama untuk cuba menghalang provokasi seterusnya dari Korea Utara.
Lee, sementara itu berkata, Korea Selatan gembira dengan tindakan China menggesa Korea Utara memperbaiki taraf hidup rakyatnya.

Persidangan itu, yang menyusul pertemuan menteri ekonomi dan perdagangan ketiga-tiga negara – juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaburan, membuka jalan bagi penubuhan kawasan perdagangan bebas di kalangan tiga negara berkenaan.

Pemimpin bersetuju rundingan bagi kawasan perdagangan bebas perlu bermula menjelang akhir tahun ini. Inisiatif dibuat di tengah-tengah pemulihan perlahan ekonomi global.

"Ketika krisis untuk kebaikan sendiri, menjalankan idea menyokong perlindungan, pemulihan ekonomi akan mengambil masa lama," kata Lee. – AP


Harta Firaun di kuil purba kena curi

Posted: 13 May 2012 03:15 PM PDT

Dunia

KAHERAH: Krisis politik yang tidak berkesudahan di Mesir memberi peluang kepada pencuri melakukan penggalian haram untuk mencuri harta warisan Firaun negara itu.

Penggalian haram berhampiran kuil purba dan di kawasan padang pasir terpencil meningkat menjadi 100 kali ganda sejak 16 bulan lalu sejak kebangkitan yang menjatuhkan pemerintahan Hosni Mubarak dan ketika kawalan keselamatan semakin longgar di kebanyakan tempat apabila polis tidak lagi menjalankan tugas.

Rompakan menduduki tempat teratas dalam jenayah pecah masuk di gudang arkeologi tahun lalu malah di Muzium Mesir yang terkenal, pusat penyimpanan artifak zaman Firaun terbesar negara itu. Pakar arkeologi dan pihak berkuasa antikuiti yang bimbang dengan keadaan itu berusaha menghalang penyeludupan, memantau rapi pusat lelongan Eropah dan Amerika jika artifak yang dicuri ada di situ.

"Penjenayah semakin berani sehingga menggali di kawasan penting termasuk berhampiran Piramid di Giza, dan kawasan lain berdekatan piramid dan kuil utama di Luxor.

"Ia bukan lagi jenayah yang didorong oleh kemiskinan. Ia ketamakan dan membabitkan orang berpendidikan tinggi," kata komander Jabatan Polis Pelancongan dan Antikuiti, Mejar Jeneral Abdel-Rahim Hassan.

Di negara dengan tamadun berusia lebih 5,000 tahun tertanam di bawahnya, penggalian haram sudah lama menjadi masalah. Rakyat Mesir suka berjenaka anda boleh menggali di mana saja dan akan menemui sesuatu yang berharga.
Namun dengan kawalan keselamatan longgar, keadaan itu bertambah dengan 5,697 kes penggalian haram sejak bermulanya kebangkitan anti-Mubarak pada awal 2011 iaitu 100 kali lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, menurut perangkaan yang diperoleh The Associated Press daripada Kementerian Dalam Negeri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan