Ahad, 15 April 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


AS mohon maaf kepada Shah Rukh Khan

Posted:

AS mohon maaf kepada Shah Rukh Khan

AS mohon maaf kepada Shah Rukh Khan

PEMANDANGAN kampus Universiti Yale di New Haven, Connecticut, tempat Shah Rukh Khan menyampaikan ucapan pada Khamis lalu. -Agensi


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memohon maaf kepada Shah Rukh Khan kelmarin selepas bintang filem Bollywood berkenaan menyatakan dia ditahan oleh pihak berkuasa AS semasa tiba di negara berkenaan dengan menaiki sebuah jet peribadi.

Washington turut menafikan dakwaan Shah Rukh Khan dijadikan sasaran perkauman dalam insiden tersebut.

India mengemukakan bantahan diplomatik selepas Shah Rukh memberitahu, dia ditahan lebih 90 minit pada petang Khamis lalu selepas pesawatnya mendarat di lapangan terbang kecil White Plains di negeri New York.

Hero filem Dilwale Dulhania Le Jayenge itu berada di AS kerana menerima undangan untuk berucap di Universiti Yale.

"Kami amat menghormati Shah Rukh sebagai seorang seniman dan juga kerja kemanusiaan yang dilakukannya," kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner kepada pemberita sekali gus mengulangi kenyataan serupa oleh Kedutaan AS di New Delhi.

"Kami memohon maaf atas segala kesusahan yang terpaksa ditempuh oleh Shah Rukh," tambahnya.

Namun, pada masa yang sama, Toner menafikan hero Bollywood itu dijadikan sasaran dalam insiden tersebut kerana dia memiliki nama orang Islam.

"Tuduhan ini tidak benar kerana puluhan ribu orang Islam masuk dan keluar dari AS setiap hari tanpa mereka ditahan atau dilengahkan," jelas Toner.

Katanya, Shah Rukh hanya dilengahkan ketika dia berada di dalam pesawatnya. Aktor Bollywood itu tidak pernah dibawa ke bilik tahanan.

Shah Rukh, 46, yang merupakan antara bintang filem Bollywood paling popular, meneruskan perjalanan ke Universiti Yale selepas insiden tersebut

Mengulas tentang kejadian memalukan itu, Shah Rukh memberitahu, dia juga pernah ditahan selama lebih dua jam di lapangan terbang Newark, dekat New York pada 2009.

"Justeru, saya sudah biasa dengan insiden seperti ini. Ia sentiasa berlaku kepada saya, ia bagus kerana setiap kali saya berasa besar kepala, saya akan membuat kunjungan ke Amerika (AS)," katanya dengan nada berseloroh ketika berucap kepada sekumpulan pelajar universiti ternama itu.

"Pegawai-pegawai imigresen pandai membuatkan anda berasa rendah diri walaupun anda sebenarnya seorang bintang pujaan," kata Shah Rukh.

"Lain kali, saya akan menjadikan insiden ini lebih menarik dengan memberikan sedikit cabaran. Apabila mereka (pegawai imigresen) bertanya: Apa bangsa anda? Saya akan menjawab saya orang kulit putih," kata aktor berkenaan yang pernah membintangi hampir 80 buah filem. – AFP

Brangelina sah akan berkahwin

Posted:

Brangelina sah akan berkahwin

Brangelina sah akan berkahwin


BRAD PITT bersama pasangannya, Angelina Jolie pada acara karpet merah Anugerah Akademi Ke-84 di Hollywood, California pada 26 Februari lalu.- REUTERS


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) – Selepas bertahun-tahun tinggal sebumbung dan bersekedudukan hingga mendapat tiga orang anak, aktor Hollywood, Brad Pitt akhirnya melamar pasangannya, Angelina Jolie, kata seorang jurucakap kelmarin.

"Ya, benar, mereka akan berumah tangga," kata pengurus Pitt, Cynthia Pett-Dante kepada majalah AS, People.

"Ia demi masa depan yang lebih baik dan anak-anak mereka amat gembira dengan keputusan ini," tambahnya.

Kenyataan Pett-Dante sekali gus menamatkan spekulasi tentang perkahwinan tersebut yang tersebar sejak beberapa bulan lalu.

Namun, menurutnya, tarikh pasangan itu disatukan dan lokasi majlis perkahwinan mereka masih belum ditetapkan.

Berita mengenainya turut disahkan oleh jauhari yang mereka bentuk cincin pertunangan mereka, Robert Procop.

Procop yang terkenal dalam kalangan selebriti AS, mengambil masa setahun untuk menghasilkan cincin berkenaan yang bertatahkan sebutir berlian paling berkualiti.

Pitt, 48, dan Jolie, 36, rapat semasa di set penggambaran filem Mr. and Mrs. Smith pada tahun 2006.

Pasangan yang popular dengan gelaran Brangelina itu memiliki tiga orang anak daripada zuriat sendiri di samping mereka memelihara tiga orang anak angkat. – AFP

Filipina gagal rampas hasil tangkapan nelayan China

Posted:

Filipina gagal rampas hasil tangkapan nelayan China

Filipina gagal rampas hasil tangkapan nelayan China


GAMBAR menunjukkan kapal perang terbesar Filipina berlabuh di pangkalan tentera laut di Manila pada 11 Disember 2011. -REUTERS


MANILA – Konfrontasi enam hari antara China dan Filipina melibatkan sebuah kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan berakhir semalam apabila sekumpulan bot nelayan China meninggalkan lokasi berkenaan, Beting Scarborough, bersama hasil tangkapan mereka.

Krisis berkenaan memberikan tamparan terhadap usaha Manila dalam menuntut hak kedaulatan dan melindungi sumber marin negara di lokasi itu yang terletak sekitar 124 batu nautika dari Pulau Luzon.

Pemerintah Filipina pada asalnya mahu kumpulan nelayan China terbabit menyerahkan sejumlah kima gergasi dan ikan yu yang ditangkap di lokasi berkenaan sebelum mereka dibenarkan meninggalkan Beting Scarborough dengan selamat.

China menghantar beberapa buah kapal pemerhati bagi melindungi nelayannya manakala Filipina mengerahkan kapal perang terbesar negara itu ke lokasi tersebut yang dituntut oleh Manila dan Beijing.

Rundingan berhubung isu berkenaan berlanjutan dengan kesemua lapan bot nelayan China terbabit beredar tanpa memulangkan hasil tangkapan mereka.

"Bot-bot nelayan China meninggalkan kawasan lagun Beting Scarborough seperti yang kami mahukan tetapi kami kesal kerana tidak dapat merampas hasil laut mereka," kata Setiausaha Hal Ehwal Luar, Alberto Del Rosario dalam satu kenyataan.

Seorang komander Filipina menyatakan, sebuah kapal perang negara itu dan sebuah kapal China terus berada di kawasan berkenaan.

Konfrontasi berlaku ekoran Manila menuduh bot-bot nelayan China itu menceroboh perairannya.

China berselisih dengan beberapa buah negara Asia Tenggara berhubung tuntutan ke atas sejumlah pulau, terumbu karang dan beting yang kaya dengan sumber gas dan minyak di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan