Ahad, 15 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tanah naik 0.5 meter selepas gempa

Posted: 14 Apr 2012 04:34 PM PDT

Dunia

Ada kawasan pulau Simeule 'tersembul' dipercayai selepas gegaran terbaru landa Aceh

BANDA ACEH: Gempa bumi dengan kekuatan 8.5 skala Richter yang melanda Aceh, 11 April lalu menyebabkan sebahagian paras daratan di beberapa bahagian di Pulau Simeulue, satu daripada kawasan di wilayah autonomi itu naik hingga 0.5 meter.

Ketua Jabatan Polis Simeulue, Parluatan Siregar, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kawasan yang dilaporkan 'tersembul' dan sedang membuat penyiasatan. "Ia memerlukan pakar untuk membuat kajian lanjut. Namun, tidak dinafikan paras air laut yang biasa sudah berubah sejak gempa bumi landa, cuma sama ada ia berpunca daripada paras air yang menurun atau daratan yang naik belum dapat dipastikan."

Seorang penduduk di daerah Busung, Simeulue Timur, Ilham, berkata berdasarkan pemerhatiannya, memang ada kesan daratan yang naik di wilayah itu.

"Sebagai contoh, tempat yang biasanya digunakan nelayan tempatan untuk menambat sampan sebelum ini, tiba-tiba sudah berada di daratan.

"Dalam keadaan biasa sampan tidak pernah terkandas jika ditambat di kawasan ini walaupun ketika air surut, tetapi sekarang tidak lagi. Selain itu, paras air laut di beberapa bahagian pulau juga turun dan ini memberi isyarat bahawa bahagian daratan sudah naik," katanya.
Ilham menganggarkan paras daratan naik kira-kira 0.5 meter atau lebih rendah, manakala kesannya memerlukan penyelidikan lanjut.

Fenomena sama pernah berlaku ketika gempa bumi terkuat melanda Pulau Nias pada 2005 yang mengorbankan lebih 600 nyawa, apabila pantainya menjadi condong, manakala sebahagian kawasan laut berubah menjadi daratan, dipercayai berpunca daripada pergerakan plet bumi.

Kejadian gempa di Simeulue tidak menyebabkan kemalangan jiwa, tetapi merosakkan beberapa bangunan milik kerajaan.

Sementara itu Ketua Pusat Data dan Maklumat Agensi Menangani Bencana Kebangsaan (BNPB) Purwo Nugroho berkata paras air laut didapati meningkat di kawasan Nias Utara dan Meulaboh selepas gempa bumi melanda wilayah itu Rabu lalu tetapi tidak mencetuskan tsunami.

"Data yang diperoleh BNPB menunjukkan kenaikan paras permukaan laut hingga satu meter di Lahewa, Nias Utara dan 1.02 meter di Meulaboh, Banda Aceh," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, walaupun gempa bumi terbaru dikategorikan sebagai kuat, tsunami yang berlaku tidak besar.

"Maklumat yang diperoleh daripada Agensi Meteorologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan, tsunami berjaya dikesan di wilayah Sabang apabila paras air naik 0.06 meter, manakala di Meulaboh ketinggiannya mencapai 0.8 meter," katanya.

Nugroho berkata berpuluh ribu penduduk Aceh, di kawasan terjejas yang berpindah ke kawasan lebih tinggi sudah kembali ke rumah masing-masing, manakala aktiviti seharian pulih seperti biasa.

"Bagaimanapun, kami menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada. Pihak kami akan meneruskan pemantauan mengenai kemungkinan gempa bumi berlaku lagi," katanya. – Agensi

Peminat kenang sejarah Titanic

Posted: 14 Apr 2012 04:33 PM PDT

Dunia

PENUMPANG kecil yang menaiki MS Balmoral memakai kostum sempena pelayaran mengenang tenggelamnya Titanic.

PENUMPANG kecil yang menaiki MS Balmoral memakai kostum sempena pelayaran mengenang tenggelamnya Titanic.

Dua kapal persiaran bawa penumpang ke lokasi tragedi di Lautan Atlantik Utara

NEW YORK: Dua buah kapal persiaran dari Amerika Syarikat dan Britain, kelmarin memulakan pelayaran menuju lokasi tenggelamnya kapal penumpang paling mewah awal abad ke-20, Titanic, yang karam di Lautan Atlantik Utara pada 15 April 1912, mengorbankan 1,500 penumpang.

Kedua-dua buah kapal Azamara Club Cruises dan MS Balmoral, dipenuhi dengan peminat sejarah Titanic dengan kebanyakan mereka memakai pakaian dengan fesyen era berkenaan. Malam Selasa lalu, kapal pesiaran yang dikendalikan syarikat Azamara Club Cruises, memulakan pelayaran dengan membawa 440 penumpang dari dermaga West Side di New York sebelum berlabuh di Halifax, Nova Scotia dan melawat kawasan perkuburan 100 mangsa kapal Titanic yang dikebumikan di sini.

Dari Halifax kapal itu meneruskan pelayaran ke Lautan Atlantik Utara menuju ke kawasan tenggelamnya Titanic, bagi mengadakan upacara peringatan. Sepanjang pelayaran, penumpang berpeluang mendengar ceramah mengenai kehidupan di Titanic dan menghadiri majlis makan malam dengan pakaian era awal abad ke-20.

Harga tiket untuk menaiki kapal pesiaran itu dikurangkan pada saat akhir dari AS$5,000 (RM15,292) kepada hanya AS$1,000 (RM3,058).

"Ia adalah suatu tragedi menimpa kehidupan manusia dan kekal dalam ingatan sejak 100 tahun lalu. Apa yang akan dilakukan jika ia terjadi kepada kita?" kata Carol Owen Campbell, 61, dari Long Grove, Illinois, yang menaiki kapal itu bersama suaminya.
Seorang lagi penumpang, Sharon Lee Willing dari Tucson, Arizona, membeli tiket pelayaran bagi menghormati mendiang moyangnya, Herbert Chaffee yang maut dalam tragedi itu.

"Saya tahu bahawa jika saya ke sana, saya hanya akan melihat air, namun di dasarnya, sebuah kapal hebat kini terkubur. Hakikat ini memberikan suatu perasaan yang sukar digambarkan," katanya.

Namun di atas dek, suasananya lebih ceria dengan setiap penumpang kelihatan seperti ingin berpesta. Mereka mengambil peluang bersiar-siar dan meninjau semua bahagian kapal itu yang kelihatan sama seperti sebuah kapal pesiaran biasa.

Sementara itu, kapal MS Balmoral yang belayar dari selatan England, terpaksa berpatah balik apabila salah seorang penumpangnya jatuh sakit, menyebabkan perjalanannya terpaksa ditangguhkan.

Kapal berkenaan yang dikendali syarikat Fred. Olsen Cruise Lines, memulakan pelayan Ahad lalu dari selatan England dengan membawa 1,309 penumpang termasuk saudara mara penumpang Titanic yang terbunuh.

MS Balmoral berlabuh seketika di bandar Cobh di Ireland sebelum meneruskan pelayaran ke New York, tetapi terpaksa menangguhkan pelayaran berikutan masalah kesihatan yang dihadapi salah seorang penumpangnya.

Penganjur tidak mendedahkan identiti penumpang atau masalah kesihatan yang dialami, tetapi Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan bahawa jurukameranya, Tim Rex terpaksa diterbangkan dengan helikopter untuk mendapatkan rawatan perubatan. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan