Khamis, 10 November 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


10 korban gempa bumi terbaru Turki

Posted: 10 Nov 2011 02:11 PM PST

Dunia

Berpuluh dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan

VAN: Seorang pekerja Jepun adalah antara 10 yang terbunuh dalam gempa bumi kedua di timur Turki manakala sekumpulan penduduk yang marah mengadakan bantahan menggesa pihak berkuasa menutup dua hotel yang musnah dalam kejadian gempa bumi yang pertama.

Polis pencegah rusuhan menggunakan penyembur lada hitam untuk menyuraikan tunjuk perasaan.

Demonstrasi tercetus berikutan pekerja bantuan menggunakan penyodok untuk mencari mangsa yang selamat dalam kejadian gempa bumi Rabu lalu yang melanda wilayah sama digegarkan dengan gempa bumi pada 23 Oktober mengorbankan 600 penduduk. Sekurang-kurangnya 28 penduduk dibawa keluar dari runtuhan di Van berikutan usaha menyelamat yang berterusan sepanjang malam menggunakan lampu berkuasa tinggi. Sepuluh kematian dilaporkan dalam dua hotel yang runtuh.

Mereka yang tertimbus termasuk sekumpulan wartawan Turki yang membuat liputan kejadian gempa pertama mengakibatkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal ketika cuaca sejuk mula melanda di wilayah pergunungan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata gempa kelmarin menumbangkan 25 bangunan di bandar Van, namun hanya tiga dihuni sementara yang lain dikosongkan selepas mengalami kerosakan dalam gempa kuat bulan lalu.

Gempa dengan magnitud 5.7 adalah susulan gempa dengan kekuatan 7.2 23 Oktober lalu, mengorbankan lebih 600 orang.
Stesen televisyen CNN-Turk melaporkan pekerja penyelamat mempercepatkan usaha mencari mangsa terselamat pada waktu siang semalam, cuba membuka laluan dalam runtuhan.

Pekerja menggunakan lampu berkuasa tinggi untuk bekerja sepanjang malam walaupun berlaku beberapa gegaran susulan.

Atalay berkata pekerja penyelamat memberi tumpuan kepada dua tapak hotel yang runtuh dan sebuah bangunan pangsapuri. Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata 28 mangsa yang terselamat ditarik keluar bersama tujuh mayat.

Satu daripada bangunan yang runtuh adalah Hotel Bayram, hotel terkenal di Van.
Agensi berita Dogan Turki, berkata dua wartawannya hilang.

Sebilangan pekerja penyelamat asing yang membantu mangsa dalam gempa sebelumnya juga menginap di hotel itu.

Persatuan Bantuan dan Penyelamat Jepun berkata seorang daripada anggotanya, Miyuki Konnai yang bergegas ke Turki untuk membantu mangsa dalam gempa sebelumnya, ditarik keluar hidup-hidup dari Hotel Bayram namun seorang lagi kakitangan, Atsushi Miyazaki, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

"Kami bercakap dengannya seketika, beliau berada di hospital," kata Ikuko Natori kepada The Associated Press menerusi telefon dari Tokyo, Jepun, memaklumkan keadaan Konnai, 32.

Natori, bagaimanapun, berkata mereka gagal menghubungi Miyazaki, 41.
"Kami cuba menelefon telefon bimbitnya, ia berdering namun dia tidak menjawab," kata Natori.

Seorang jurukamera agensi berita Cihan, Turki, Ozgur Gunes, berkata ada wartawan terperangkap menghantar mesej meminta diselamatkan.

Beliau meninggalkan hotel sebelum gempa namun bergegas semula mengambil kameranya apabila gempa melanda, tetapi mendapati bangunan itu sudah runtuh. – AP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Kapal angkasa Moscow gagal

Posted: 10 Nov 2011 02:09 PM PST

Dunia

PEKERJA menyediakan    kapal angkasa,  Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga RM535.93 juta di  tapak pelancar Baikonur, Kazakhstan bulan lalu. - Foto REUTERS

PEKERJA menyediakan kapal angkasa, Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga RM535.93 juta di tapak pelancar Baikonur, Kazakhstan bulan lalu. - Foto REUTERS

MOSCOW: Sebuah kapal angkasa Russia dalam perjalanan ke planet Marikh membawa 12 tan bahan api toksik terkandas di orbit bumi dan mungkin terhempas dalam tempoh beberapa minggu jika jurutera gagal membetulkan haluannya.

Pada masa sama, pakar angkasa lepas berharap enjin senyap kapal angkasa itu boleh ditujah untuk ke Marikh. Jika tidak, ia akan terjunam ke bumi. Namun kebanyakan pakar serpihan angkasa Amerika yakin bahan api di dalamnya mungkin meletup di ruang atmosfera dan tidak sampai ke bumi.

Kesilapan pelancaran itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri kegagalan Russia yang menambah kebimbangan mengenai keadaan industri angkasa lepas negara itu. Kapal angkasa, Phobos-Grunt tanpa pemandu berharga AS$170 juta (RM535.93 juta) berjaya memasuki orbit dengan tujahan roket pelancar Zenit-2 selepas tengah malam waktu tempatan kelmarin (2016 GMT Selasa) dari tapak pelancar Baikonur di Kazakhstan. Selepas berpecah daripada pelancar, 11 minit kemudian, ia sepatutnya menyalakan dua enjin dan menghala ke Marikh.

Bagaimanapun, kedua-dua enjin gagal dihidupkan. Berikutan itu, Phobos-Grunt tidak dapat meninggalkan orbit bumi, sebaliknya terus terbang mengeliling antara 207.61 kilometer dan 341.18 kilometer di atas bumi. Orbit itu sudah semakin menurun, menurut satelit Amerika yang mengesannya.

Agensi Angkasa Lepas Persekutuan berkata, orbit kapal itu dan sumber kuasanya mungkin membenarkannya mengelilingi bumi kira-kira dua minggu. Pengiraan itu dipersetujui Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

"Dari orbit Rangkaian Pemantauan Angkasa Lepas Amerika, ia mungkin begitu dalam tempoh dua minggu sebelum terhempas," kata ketua saintis serpihan kapal angkasa NASA, Nicholas Johnson tengah hari kelmarin. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan