Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Tolak undang-undang syariahSYDNEY 17 Mei - Kerajaan Australia hari ini menolak permohonan sebuah pertubuhan Islam terkemuka supaya beberapa aspek undang-undang syariah, terutamanya undang-undang keluarga Islam digabungkan ke dalam sistem perundangan di negara ini. Peguam Negara, Robert McClelland berkata, undang-undang negara ini akan sentiasa diberi keutamaan jika berlaku pertentangan budaya. Persekutuan Majlis Islam Australia (AFIC) telah menggesa kerajaan menimbangkan 'pluralisme undang-undang' untuk penduduk Islam di negara ini dalam permohonannya kepada sebuah jawatankuasa inkuiri Parlimen yang sedang mengkaji dasar baru mengenai fahaman berbilang budaya (multikulturalisme). McClelland, bagaimanapun menolak sebarang perubahan dalam sistem perundangan Australia. "Seperti dijelaskan dalam ikrar kita sebagai warganegara, kedatangan kita ke Australia bermakna mematuhi undang-undang Australia dan menegakkan nilai-nilai hidup Australia. "Versi multikulturalisme yang diamalkan di Australia menggalakkan integrasi, dan jika timbul ketidakselarasan antara nilai-nilai budaya dengan kedaulatan undang-undang, undang-undang Australia akan diutamakan," katanya kepada agensi berita AAP. AFIC dalam permohonannya berkata, sungguhpun undang-undang Syariah dilihat sebagai sesuatu yang mutlak dalam Islam, sebilangan berpendapat ia boleh dipinda mengikut perubahan dalam masyarakat dan dengan itu, boleh dilaksanakan di Australia mengikut cara yang bersesuaian dengan negara ini. Presiden AFIC, Ikebal Adam Patel berkata, undang-undang keluarga Islam termasuk perceraian adalah satu aspek dalam Syariah yang boleh berdiri di sisi sistem perundangan Australia. "Bagi seseorang Islam atau Yahudi yang mengamalkan ajaran agamanya, adalah penting beberapa aspek agama kami boleh digabungkan ke dalam sistem perundangan lebih luas. "Perkara ini adalah mengenai isu-isu peribadi berkaitan dengan keluarga dan tidak melibatkan rakyat Australia yang lain," kata Patel kepada akhbar The Australian. - AFP |
Posted: ICC: Waran tangkap GaddafiTRIPOLI 17 Mei - Tekanan semakin meningkat ke atas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini apabila ketua pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon waran tangkap ke atas beliau, ketika jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terus membedil Tripoli dan tawaran gencatan senjata rejimnya ditolak. Memburukkan lagi keadaan, sebuah bangunan perkhidmatan keselamatan dan ibu pejabat agensi antirasuah Libya di sini terbakar awal hari ini, dipercayai dibedil oleh tentera NATO. Di The Hague, ketua pendakwa raya ICC, Luis Moreno-Ocampo semalam memohon waran tangkap terhadap Gaddafi, anak lelakinya Seif al-Islam dan ketua agensi perisikan, Abdullah Senussi atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan. Ketua pendakwa raya dari Argentina itu berkata, terdapat bukti menunjukkan 'Gaddafi mengarahkan serangan ke atas penduduk awam Libya'. Sebuah panel hakim ICC akan memutuskan sama ada hendak menerima atau menolak permohonan Moreno-Ocampo itu. Katanya, beribu-ribu penduduk terbunuh dan kira-kira 750,000 lagi terpaksa melarikan diri sejak Gaddafi mengarahkan tenteranya menumpaskan protes antikerajaan yang tercetus pada 15 Februari lalu. Pemberontak yang menentang pemerintahan Gaddafi menyambut baik langkah ICC itu tetapi mahu beliau dibicarakan di Libya terlebih dahulu. "Majlis Peralihan Kebangsaan menyambut baik keputusan ketua pendakwa raya ICC memohon waran tangkap, tetapi kami mahu Gaddafi dibicarakan di Libya dahulu sebelum dibawa ke mahkamah antarabangsa," kata Naib Presiden pentadbiran pemberontak di Benghazi, Abdel Hafez Ghoga. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan