Isnin, 26 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


90 kali bedah untuk tampan

Posted: 25 Nov 2012 11:41 AM PST

NEW YORK: Justin Jedlica sudah menjalani 90 pembedahan plastik untuk mendapatkan susuk tubuh yang sempurna.

Lelaki berusia 32 tahun ini sudah membelanjakan lebih RM300,000 sepanjang 10 tahun lalu dalam usaha untuk kelihatan seperti anak patung hidup.


Dengan mukanya yang cantik, dia memiliki bentuk tubuh seperti GI Joe, lengkap dengan perut berulas dan lengan berotot, semuanya diperoleh tanpa mengangkat berat atau bersenam di gym.

Seperti anak patung plastik, semua ototnya adalah palsu. Hampir setiap inci bahagian atas tubuhnya diltiupi dengan implan, lapor ABC News.


Selain itu, Justin juga menjalani pelbagai pembedahan hidung, pipi, tulang kening serta bibir untuk mendapatkan muka yang sempurna.


Malah, pinggulnya yang tegang juga palsu, hasil kerja pakar bedah yang memberinya implan pinggul.

Jedlica mengaku dia boleh melakukan senaman untuk mendapatkan bentuk tubuh seperti itu tetapi enggan melakukan aktiviti itu yang disifatkannya sebagai tidak menarik dan tidak glamor.


Ketaksubannya dengan penampilan itu bermula ketika berusia belasan tahun apabila dia tidak sukakan saiz hidungnya yang dianggap terlalu besar.

Dia melakukan lima pembedahan untuk mendapatkan hidung yang ideal.


Bagaimanapun, menurut Jedlica, dia masih belum 100 peratus berpuas hati dengannya, sambil menunjukkan kepada wartawan keadaan hidung yang diingininya.


Dari hidung, dia melakukan pembedahan untuk mencantikkan pinggul, dada dan kemudian lengan.


Jedlica berkata, dia tidak melihat sebarang alasan untuk menghentikan ketaksubannya terhadap pembedahan plastik.


Katanya, pembedahan pertama hidungnya adalah satu keperluan sementara yang lain hanya kemahuannya saja. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26



Gangnam Style catat rekod tontonan di Youtube

Posted: 25 Nov 2012 11:38 AM PST

SEOUL: Video 'Gangnam Style' oleh sensasi pop Korea Selatan, Psy, semalam menjadi video paling banyak ditonton di YouTube.

Video berkenaan mencatatkan lebih 805 juta tontonan. mengalahkan 'Baby' oleh penyanyi remaja dari Kanada, Justin Bieber.

Penyanyi berusia 34 tahun itu menjadi terkenal sejak 'Gangnam Style,' yang menyaksikan dia melakukan tarian kuda, mendapat sambutan hangat sejak diterbitkan pada Julai lalu.

Sehingga petang kelmarin, video muzik itu mengumpulkan catatan 805 juta tontonan, berbanding 'Baby' yang mencatatkan 803 juta.


YouTube berkata, video itu 'mendapat sambutan di peringkat global yang tidak pernah kami saksikan sebelum ini.


"Setiap hari, 'Gangnam Style' ditonton antara tujuh hingga 10 juta kali berbanding 350,000 hingga 500,000 untuk Baby," kata Kevin Allocca, Pengurus Trend Youtube, dalam blognya.

'Gangnam Style' mencatatkan rekod itu hanya dalam masa empat bulan.

Lagu Psy yang menceritakan mengenai kawasan kediaman elit di Seoul, menduduki carta muzik teratas di Britain ke Australia dan menjadi sebutan orang kenamaan, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Sementara itu, populariti Psy yang nama sebenarnya Park Jae-Sang terus meningkat dengan mendapat penghormatan dalam industri muzik awal bulan ini apabila membuat persembahan bersama ikon pop, Madonna di konsertnya di Madison Square Garden, New York.

Dalam wawancara dengan CNN baru-baru ini, Psy mendedahkan rancangan untuk menerbitkan lagu terbaru dengan lirik berbahasa Inggeris dan Korea. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26



Tiada ulasan:

Catat Ulasan