Isnin, 26 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kuasa Mursi dicabar

Posted: 26 Nov 2012 01:17 PM PST

Mahkamah tentukan bicara 4 Disember

Kaherah: Mahkamah pentadbiran menetapkan perbicaraan pertama pada 4 Disember ini dalam kes mencabar perintah kuasa Presiden Muhammad Mursi yang memberikan lebih kuasa kepadanya, kata mahkamah dalam satu kenyataan semalam.

Kes berkenaan dibawa oleh peguam dan aktivis, kata sumber mahkamah. Langkah lain yang dibuat Mursi dicabar di mahkamah ketika peralihan penuh gelora Mesir, dan kadang-kadang pelbagai cabaran dibuat berhubung tindakannya.

Mursi bertemu dengan hakim kanan semalam untuk cuba menenangkan krisis berhubung tindakannya meluaskan kuasa yang mencetuskan bantahan ganas menyamai revolusi tahun lalu.

Pasaran saham Mesir menjunam kelmarin pada hari pertama dibuka sejak Mursi mengeluarkan perintah kuasa Khamis lalu untuk meluaskan kuasanya buat sementara dan melindungi keputusan itu daripada tindakan perundangan, mengundang tuduhan beliau bertindak seperti diktator baru.

Lebih 500 orang cedera

Lebih 500 orang cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan yang bimbang dengan matlamat pergerakan Ikhwanul Muslimin untuk menguasai era pasca Hosni Mubarak selepas memenangi pilihan raya presiden dan Parlimen demokratik pertama Mesir tahun ini.
Seorang anggota pergerakan itu terbunuh dan 60 lagi cedera kelmarin dalam serangan ke atas pejabat utama Ikhwanul Muslimin di Delta Nil di Damanhour, menurut laman web Parti Kebebasan dan Keadilan pergerakan itu.

Pihak berkuasa perundangan tertinggi Mesir membayangkan untuk bertolak ansur bagi mengelakkan pertelingkahan berlanjutan walaupun pembangkang Mursi mahu beliau membatalkan sepenuhnya perintah kuasa itu yang dilihat sebagai bahaya kepada demokrasi.

Majlis Kehakiman Agung berkata, perintah kuasa Mursi perlu dikenakan hanya kepada masalah kedaulatan, menyatakan ia tidak menolak deklarasi itu secara terang dan menggesa hakim dan pendakwa, sebahagiannya yang memulakan mogok kelmarin, supaya kembali bekerja.

Beri jaminan

Pejabat Mursi berulang kali memberi jaminan langkah itu bersifat sementara, dan berkata beliau mahu mengadakan dialog dengan kumpulan politik untuk mencari persefahaman berhubung apa perlu diisi dalam Perlembagaan Mesir, antara isu yang menjadi punca krisis.

Profesor sains politik di Universiti Kaherah, Hassan Nafaa, melihat usaha oleh presiden dan badan perundangan untuk menyelesaikan krisis itu tetapi menambah kenyataan mereka kabur.

"Keadaan kini menuju ke arah lebih bermasalah," katanya.

Pasaran saham kelmarin jatuh hampir 10 peratus dihentikan oleh sekatan automatik, adalah yang terburuk sejak kebangkitan yang menyingkirkan Mubarak pada Februari 2011. - Reuters

10 kanak-kanak maut serangan tentera Syria

Posted: 26 Nov 2012 01:09 PM PST

Amman: Serangan udara kerajaan Syria ke atas perkampungan dikuasai pemberontak berhampiran Damsyik mengorbankan 10 kanak-kanak yang bermain di luar rumah, kelmarin kata aktivis pembangkang.

Kumpulan kanak-kanak terbabit keluar selepas keadaan pertempuran reda di Deir al-Asafir, sebuah perkampungan di timur Damsyik, apabila jet pejuang menyerang, kata aktivis dan penduduk.

Rakaman video diambil aktivis menunjukkan mayat dua kanak-kanak perempuan, seorang memakai baju ungu, seorang lagi merah, di atas jalan di perkampungan itu dengan kecederaan pada leher dan kepala. Seorang wanita yang menangis mengangkat seorang daripada kanak-kanak itu dan memeluknya tubuh anaknya yang terkulai itu.

Dua lagi budak lelaki yang maut, terkena tembakan di kepala dan muka, ditunjukkan di tempat duduk belakang sebuah kereta. Lelaki mengangkat mayat dua kanak-kanak lain sementara satu lagi mayat terbaring berhampiran roda hadapan sebuah kenderaan. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan