Khamis, 19 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


10 hari tertimbus dalam selut

Posted: 18 Jul 2012 09:50 AM PDT

LONDON: 'Kesibukan' polis menyebabkan dua mayat mangsa banjir lumpur terbiar di bawah selut selama 10 hari lapor media semalam.

Sebelum ini, pasukan penyelamat menutup sebuah terowong yang dilanda banjir lumpur tanpa menyedari Rosemary Snell dan pasangannya terperangkap dalam kereta di situ.


Ahli majlis tempatan, Ron Bond, berkata dia sangat berang kerana mayat Rosemary, 67, dan lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai Mike terbiar dalam lumpur di Terowong Beaminster Dorset begitu lama.

Namun, pegawai polis Dorset, James Vaughan, berkata pasangan terbabit dipercayai mati 'serta-merta' disebabkan beban berat lumpur berkenaan. Bekas pekerja sosial dan pemandu pelancong berdaftar, Rosemary baru saja menjalin hubungan dengan Mike, 70-an, selepas menetap di kawasan kampung di Misterton, Somerset.


Pasangan itu dilihat menaiki kereta Skoda Fabia perak pada petang 7 Julai lalu.


Saksi, Ivor Herring, 66, berkata dia melihat Rosemary ada di kerusi penumpang depan kira-kira jam 4 petang dan melambai kepadanya. "Itulah kali terakhir saya melihat dia," katanya. Pasangan itu dipercayai dalam perjalanan ke Beaminster.

Pada malamnya, mereka dalam perjalanan pulang ke Misterton dalam hujan lebat apabila runtuhan tanah, lumpur dan pokok meranapkan kereta mereka ketika keluar dari terowong. Anggota penyelamat dikejarkan ke situ selepas dimalumkan orang awam, tetapi mereka pulang selepas alat pengesan haba digunakan gagal mengesan sebarang pergerakan di bawah runtuhan.


Laluan itu kemudian ditutup kepada lalu lintas dan ia terbiar tidak dibersihkan untuk beberapa lama kerana pasukan penyelamat sibuk menguruskan banyak insiden lain di kawasan berkenaan.

Hanya selepas Rosemary tidak muncul dalam temu janji makan tengah hari dengan jirannya dua hari kemudian, barulah kehilangan wanita itu disedari. Polis segera dimaklumkan dan selepas disiasat, pasangan itu didapati menggunakan kad kredit mereka di Beaminster pada 7 Julai.


Akhirnya, pelbagai maklumat susulan yang dikumpul membawa polis ke terowong berkenaan.


Apabila diperiksa dengan teliti, didapati kereta dinaiki Rosemary dan Mike tertimbus kira-kira dua meter di bawah lumpur.


Beban berat runtuhan itu menyebabkan kereta mereka remuk sama sekali.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, mereka memang "sibuk" apabila orang ramai menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan. "Ada 150 amaran banjir pada ketika itu dan penghuni 180 rumah dipindahkan, selain 400 insiden lain yang dimaklumkan kepada polis," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


Rajesh Khanna meninggal dunia

Posted: 18 Jul 2012 09:47 AM PDT

MUMBAI: Rajesh Khanna yang sering disebut sebagai 'superstar pertama' Bollywood dan pelakon filem Hindustan paling diminati pada zamannya, meninggal dunia semalam, selepas sakit selama beberapa bulan.

Dia berusia 69 tahun.


Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, Khanna yang lebih dikenali sebagai 'Kaka' (pakcik) di kalangan peminatnya, meninggal dunia di kediaman keluarganya di Mumbai selepas keluar dari hospital awal minggu ini.

Khanna bukan berasal dari dinasti pelakon seperti kebanyakan aktor Bollywood lain. Dia dilahirkan di Amritsar, barat laut India pada 1942 dan mula berlakon di pentas pada zaman persekolahannya.


Filem pertamanya berjudul 'Aakhri Khat' (Surat Terakhir) yang diterbitkan pada 1966. Bagaimanapun, popularitinya meledak tiga tahun kemudian menerusi filem 'Aaradhna' (Sembah), diikuti dengan lebih banyak kejayaan menerusi filem selepas itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/19


Tiada ulasan:

Catat Ulasan