Jumaat, 11 Mei 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Serangan berani mati di Damsyik

Posted:

Serangan berani mati di Damsyik

Serangan berani mati di Damsyik

GAMBAR menunjukkan lokasi dua letupan bom di Damsyik semalam.


DAMSYIK, Syria - Seramai 55 orang terbunuh dalam dua serangan pengebom berani mati yang menggegarkan ibu kota Syria di sini semalam.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, cebisan badan manusia bertaburan di beberapa jalan raya manakala banyak kenderaan turut rosak.

Menurut kementerian berkenaan, serangan kali ini adalah yang terburuk sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.

Kebangkitan menentang kepimpinan Bashar bermula sejak 14 bulan lalu.

Letupan berkembar itu memusnahkan bahagian hadapan sebuah bangunan perisikan tentera yang menjadi sasaran serangan itu.

Menurut kenyataan yang sama, lebih 370 orang cedera dalam letupan tersebut dan ia melibatkan bahan letupan seberat 1,000 kilogram.

Beberapa saksi memberitahu, letupan pertama menarik perhatian orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Satu lagi letupan kuat berlaku beberapa saat kemudian.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggung jawab melancarkan serangan itu. - AGENSI

Polis tumpaskan penipuan kad bank

Posted:

Polis tumpaskan penipuan kad bank

Polis tumpaskan penipuan kad bank


BEBERAPA anggota polis berdiri dekat barang-barang yang dirampas dalam serbuan membanteras sindiket penipuan kad bank di Montreal kelmarin.


MONTREAL - Polis Kanada menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang bertanggungjawab melesapkan sekitar AS$100 juta (RM307 juta) daripada akaun pemilik kad bank di seluruh dunia.

Seorang jurucakap polis Kanada memberitahu kelmarin bahawa 45 orang telah ditangkap dalam beberapa serbuan melibatkan 250 anggota polis di kawasan Montreal, Ottawa dan Vancouver.

Menurutnya, waran tangkap untuk 61 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan telah dikeluarkan tetapi cuma seorang suspek terdiri daripada rakyat Kanada.

Pihak berkuasa menyatakan rangkaian itu bergerak aktif di Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Tunisia.

Sindiket berkenaan membahagikan tugas dalam kalangan anggotanya dengan sebahagian mereka pakar dalam merakamkan dan mengubah suai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Beberapa anggota lain pula mahir mencuri nombor pin kad bank dan menggodam terminal komputer pasar raya manakala konco-konco mereka akan membuat kad ATM palsu untuk mengeluarkan wang secara haram.

Sebahagian kes penipuan itu membabitkan kecurian maklumat kad kredit dan debit dalam komputer mesin pembayaran ketika pengguna melakukan transaksi di restoran dan premis perniagaan lain.

Semua suspek berkenaan akan didakwa kerana menipu, membuat kad palsu dan mencuri identiti orang lain.

- AFP

Vidal Sassoon meninggal dunia

Posted:

Vidal Sassoon meninggal dunia

Vidal Sassoon meninggal dunia


GAMBAR fail menunjukkan Sassoon membantu mendandan rambut seorang model di Shanghai, China pada 9 September 1997.


LOS ANGELES - Pendandan rambut terkenal dunia, Vidal Sassoon meninggal dunia kelmarin semasa dia berusia 84 tahun selepas 'bertarung' dengan penyakit leukimia, kata keluarganya.

Sassoon meninggal dunia di rumahnya di Bel Air, California, Amerika Syarikat.

Beberapa anggota keluarganya berada bersamanya semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seorang jurucakap polis, Kevin Maiberger berkata, anggota-anggota polis yang tiba di rumahnya selepas dihubungi mendapati dia telah meninggal dunia.

Salah satu gaya rambut yang diciptanya untuk wanita dan terkenal di seluruh dunia ialah gaya potongan pendek.

Sassoon juga terkenal kerana mencipta gaya rambut yang mudah untuk dibersihkan dengan air.

Dia dilahirkan di London pada 17 Januari 1928 dan merupakan anak seorang jurujual permaidani berketurunan Yahudi.

Bapa Sassoon meninggalkan keluarganya untuk bersama dengan wanita lain semasa dia berusia lapan tahun.

Semasa berusia 14 tahun, dia berhenti sekolah dan bapa tirinya bersetuju untuk membiayai pembelajarannya sebagai perantis pendandan rambut.

Sassoon membuka salun pertamanya di London pada tahun 1954.

Kerjayanya meningkat pada tahun 1960-an apabila para pelanggannya terdiri daripada pelakon filem terkenal antaranya Mia Farrow dan Glenda Jackson.

Sassoon meninggalkan isterinya, Rhonda dan tiga orang anak hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu.

Dia pernah berkahwin sebanyak empat kali.

Sassoon merupakan peminat kelab bola sepak Chelsea. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan