Jumaat, 11 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gesa cegah keganasan terhadap media

Posted: 04 May 2012 03:27 PM PDT

Dunia

SEBAHAGIAN wartawan menyertai  perarakan sempena  Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di  Tbilisi, Georgia, kelmarin.

SEBAHAGIAN wartawan menyertai perarakan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Tbilisi, Georgia, kelmarin.

GENEVA: Semakin ramai wartawan dibunuh ketika menjalankan tugas setiap tahun di seluruh dunia. Laporan menyatakan sekurang-kurangnya 67 wartawan maut tahun lalu manakala 22 lagi terbunuh sejak awal tahun ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyifatkan serangan itu sebagai keterlaluan dan menggesa semua negara berusaha menghalangnya.

Beliau juga meminta semua negara mencegah keganasan terhadap media dan mengambil langkah memastikan keselamatan wartawan dan kebebasan akhbar. Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar PBB kelmarin, Ban meminta semua diplomat yang hadir, wakil media dan wakil masyarakat awam untuk bertafakur seminit bagi memperingati wartawan yang terbunuh ketika bertugas tahun lalu.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang beribu pejabat di New York menyatakan, seramai 179 wartawan ditahan pada 2011, dengan 20 peratus peningkatan berbanding 2010 dan kadar paling tinggi sejak 1990, kata Ban.

"Ramai lagi terpaksa menghadapi ugutan, gangguan dan tapisan oleh kerajaan, perbadanan dan individu yang mahu mengekalkan kuasa mereka atau menyembunyikan perbuatan silap dan salah laku mereka," katanya.

Presiden Ireland yang juga bekas wartawan penyiaran, Michael Higgins, berkata kematian itu menunjukkan risiko yang terpaksa dihadapi wartawan dan pekerja media.
"Ramai wartawan menjadi sasaran pembunuhan manakala yang lain dibunuh tanpa sebarang alasan yang jelas," katanya.

Sementara itu kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan mengemaskinikan senarai wartawan yang menjadi mangsa akibat tugas kepada 41 individu dan kumpulan.
Ia juga mengecam tindakan ke atas wartawan termasuk diserang dan dibunuh.

Kumpulan itu berkata suku pertama 2012 jelas menunjukkan pemangsa dunia diketuai Presiden Syria, Bashar Assad dan kumpulan Islam Somalia yang mampu bertindak sebagai penjual daging yang keterlaluan.

Organisasi penyokong media, yang beribu pejabat di Perancis, mencela peningkatan serangan dan pembunuhan penyedia berita, yang meningkat daripada 57 pembunuhan pada 2010 kepada 67 pada 2011 serta 22 pembunuhan setakat ini tahun ini termasuk lima wartawan pembunuhan di Somalia, empat di Syria, dan dua masing-masing di Bangladesh, Brazil dan India.

Di ibu negara Somalia, Mogadishu, puluhan wartawan Somalia mengadakan pertemuan dengan suasana suram untuk menyambut Hari Kebebasan Akhbar, mesyuarat yang berlaku jam saja selepas pembunuhan wartawan kelima Somalia tahun ini. – AP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Aktivis ditawar belajar di Amerika

Posted: 04 May 2012 03:25 PM PDT

Dunia

BEIJING: China semalam menyarankan aktivis buta, Chen Guangcheng supaya memohon belajar di luar negara dalam satu usaha menyelesaikan krisis berikutan tindakan lelaki itu lari daripada tahanan rumah dan berlindung di kedutaan Amerika Syarikat.

Saranan itu dibuat selepas Chen mendakwa 'menghadapi ancaman besar' dan menggesa kerajaan China memberi jaminan keselamatan selepas menelefon ahli perundangan Amerika Syarikat bagi merayu mereka membantunya meninggalkan negaranya.

Chen yang juga peguam banyak mendedahkan pengguguran paksa dan pemandulan di bawah dasar 'seorang anak' di China. Dia mencetuskan kekecohan diplomatik selepas berada di kedutaan Amerika selama enam hari.

Chen, 40, keluar dari kedutaan Amerika pada Rabu lalu selepas Beijing memberi jaminan beliau dan keluarganya akan dilayan secara berperikemanusiaan, namun sejak itu merasa diabaikan dan bimbang pihak berkuasa China membalas dendam.

"Saya berada dalam keadaan amat bahaya. Saya harap kerajaan akan hormati komitmen menjamin hak saya seperti dipersetujui dengan Amerika," katanya menerusi telefon dari hospital tempat dia dirawat.

China memberi reaksi berang terhadap perkara itu, menuntut Amerika memohon maaf atas campur tangan dalam urusannya. Namun, dalam satu pengumuman yang membuka pintu penyelesaian, Kementerian Luar berkata, Chen mungkin boleh memohon untuk belajar di luar negara.
"Jika dia mahu belajar di luar negara, dia boleh memohon menerusi saluran biasa, sama seperti warga China lain," kata jurucakap Kementerian Luar, Liu Weimin.

Ulasan itu muncul ketika Amerika mengadakan rundingan baru dengan Chen mengenai langkahnya selepas ini, kata pegawai.

Amerika berusaha menamatkan pertikaian diplomatik berhubung Chen yang meletus beberapa hari sebelum Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton tiba di sini untuk rundingan. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan