Selasa, 1 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki genius kawal lalu lintas

Posted: 30 Apr 2012 11:14 AM PDT

LONDON: Seorang lelaki genius yang memiliki 11 ijazah universiti dan boleh bercakap lima bahasa dengan lancar, bekerja sebagai pengawal lalu lintas di sebuah sekolah.

Dr Bruce Berry adalah antara orang paling pintar di Britain.


Tetapi, selama lima hari seminggu, dia mengayuh basikal sejauh enam setengah kilometer untuk membantu kanak-kanak sekolah menyeberang jalan. Bruce, 70, yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah dengan tesis 425 muka mengenai penulis kelahiran Russia, Andrei Makine, berkata: "Saya gemar berusaha mendapatkan ijazah. Tetapi saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat. Saya seronok dapat membantu memastikan kanak-kanak selamat ketika pergi dan balik sekolah." Selain PhD, Bruce mempunyai tiga Ijazah Sarjana Muda, tujuh Ijazah Sarjana dan lancar bercakap bahasa Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Russia.

Berry yang masih bujang dan berasal dari Sharlston, West Yorks, mula bekerja sebagai kerani pejabat pos dan belajar ketika mempunyai waktu terluang sebelum menjadi penterjemah.


Bruce menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan untuk mengawal lalu lintas di luar Sekolah Crofton, Wakefield, tempat bapanya pernah mengajar.


"Saya merasakan diri saya sebahagian daripada keluarga di sana," katanya. - DM


Kapal stealth dilelong untuk jadi besi buruk

Posted: 30 Apr 2012 11:12 AM PDT

LOS ANGELES: Ia adalah bot stealth pertama di dunia, kapal eksperimen paling sulit yang dibina untuk tentera laut Amerika Syarikat pada 1980-an dengan kos RM570 juta.

Kini, Sea Shadow, yang menjadi inspirasi untuk bot penjahat dalam filem James Bond terbitan 1997, Tomorrow Never Dies, boleh menjadi milik anda dengan harga lebih murah daripada itu selepas ia diiklankan untuk dijual menerusi laman gaya e-Bay.


Tetapi jangan berharap ia akan belayar untuk misi tertentu. Kapal seberat 563 tan itu sebenarnya dijual untuk dijadikan besi buruk.

Bidaan untuk Sea Shadow semalam mencecah RM305,000 dan lelongan akan tutup Khamis ini.


Kapal itu siap dibina pada 1985 tetapi orang awam tidak menyedari kewujudannya sehingga 1993.


Dengan panjang 50 meter dan lebar 21 meter, kapal yang dibina untuk tentera laut Amerika Syarikat oleh sebuah agensi Jabatan Pertahanan negara itu dan Lockheed Martin mampu belayar selaju 14 knot. Tetapi, pihak tentera tidak pernah menggunakan perkhidmatannya dan ia kemudian digunakan untuk menilai teknologi baru dalam persekitaran realiti di laut sebelum tersadai di limbungan kering di California.

Pihak berkuasa berharap untuk mencari sebuah muzium bagi menempatkannya tetapi kini ia sudah diiklankan untuk dilelong menerusi laman web GSA Auction.


Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pembidaan perlu meletakkan wang pendahuluan sebanyak RM30,000. - DM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan