Rabu, 7 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tuduh pengawal curi berlian

Posted: 07 Mar 2012 02:43 PM PST

Dunia

Bekas isteri Sultan Brunei dakwa barang kemas dijual RM57.25j bayar hutang judi

LONDON: Bekas permaisuri Sultan Brunei, Mariam Aziz, 55, menuduh bekas pengawal peribadinya, Fatimah Kumin Lim, 34, mencuri dan menjual berlian kepunyaan beliau bernilai £12 juta (RM57.25 juta) sebelum menggantikannya dengan yang palsu.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini semalam, Mariam mendakwa, Fatimah 'mengambil tanpa kebenaran' seutas gelang tangan berlian bernilai £3.5 juta (RM16.6 juta) dan dua bentuk cincin berlian berharga £8.7 juta (RM41.50 juta) pada 2008 dan 2009 untuk digunakan bagi membayar hutang judinya. Peguam Mariam, Max Mallin, memberitahu Mahkamah Tinggi, Fatimah mengaku mengambil 'secara salah' kedua-dua barang kemas berkenaan ketika ia disimpan di rumah anak guamnya di Kensington, ketika disoal siasat polis di Brunei.

Beliau bagaimanapun menambah, Fatimah sekarang mendakwa bahawa dia 'dipaksa' membuat pengakuan.

"Fatimah berkata, dia diarahkan oleh Mariam agar menjual berlian berkenaan untuk membayar hutang judi bekas permaisuri itu sendiri tetapi menggunakan nama pengawal peribadinya.

Mahkamah juga diberitahu bahawa anak angkat Mariam, Afifa Abdullah, 26, diperdaya untuk 'meminjamkan' Fatimah dua bentuk cincin berlian biru dan kuning, tetapi tidak pernah dikembalikan.
Afifa berkata, Fatimah meminta untuk meminjam kedua-dua cincin berkenaan dua kali pada November dan Disember 2009, selama beberapa jam dan berjani akan 'memulangkannya secepat mungkin'.

"Fatimah memberitahu saya bahawa dia sedang menjalankan satu urus niaga hartanah dan bertanya jika saya boleh meminjamkan barang kemas berharga kepunyaan bonda saya. Ketika itu saya benar-benar percayakannya. Dia seperti sahabat karib saya," katanya.

Afifa berkata, Fatimah merayu kepadanya agar tidak memberitahu Mariam, apabila cincin dipinjamnya diganti dengan cincin palsu.

"Bonda saya panik apabila mendapati bahawa cincin sebenar sudah hilang, manakala sebentuk lagi cincin yang menyerupainya sudah diubah," katanya.

Afifa berkata, bondanya tidak memberi izin untuk menyerahkan berlian berkenaan kepada tertuduh, sambil menambah bahawa beliau mendapat tahu bahawa Fatimah mengaku mencuri barang kemas itu di Brunei.

Fatimah yang tidak hadir pada perbicaraan berkata, dia tidak diwakili peguam kerana kekurangan wang, juga dituduh mengambil gelang berlian daripada majikannya pada 2008 sebelum menjualnya.

Mariam mengemukakan saman ganti rugi bagi nilai penuh gelang tangan itu dan mengemukakan satu lagi kes menuntut cincin berlian biru dan kuning itu dikembalikan daripada seorang peniaga yang dikatakan membelinya di Geneva.– Agensi

CCTV intip ‘sampah pembunuh’

Posted: 07 Mar 2012 02:28 PM PST

Dunia

Singapura pasang kamera pengawasan di kawasan tinggi kadar buang sampah

SINGAPURA: Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) akan memasang kamera pengawasan (CCTV) di kawasan yang mempunyai kadar masalah berterusan pembuangan sampah dari bangunan tinggi.

Sebelum ini, ia memerlukan beberapa jam untuk mengintip bagi menahan pesalah yang membuang sampah dari bangunan tinggi, lapor channelnewsasia.com yang dipetik akhbar The Jakarta Globe. NEA berkata jumlah kes membuang sampah dari bangunan tinggi meningkat kepada 5,232 kes tahun lalu, hampir 700 lebih berbanding tahun sebelum ini.

Agensi itu sudah menahan dan mendakwa 40 orang dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pembuangan sampah dari bangunan tinggi, dikenali 'sampah pembunuh' berdepan dengan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.

Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) akan mengambil alih secara wajib rumah pangsa HDB atau menamatkan penyewaan rumah pangsa jika 'sampah pembunuh' dibuang dari mana-mana hartanah HDB.
Bercakap di Parlimen kelmarin, Menteri Kanan Negeri untuk Sumber Air dan Alam Sekitar, Grace Fu, berkata usaha lebih giat perlu dilakukan supaya masyarakat peka dengan kebersihan alam sekitar.

"Sedih memikirkan masih ada warga Singapura yang tidak mahu memikul tanggungjawab membersih dan menghijaukan alam sekitar yang sudah sekian lama kita berusaha untuk mencapai sasarannya. Malah, orang ramai sudah lupa apa yang perlu dilakukan dan hanya cuba mengelak daripada ditangkap," kata wakil rakyat Ang Mo Kio GRC, Yeo Guat Kwang.

"Masuk campur dalam isu pembuangan sampah ini bukanlah boleh menyelesaikan sepenuhnya masalah tetapi apa yang penting mendidik nilai yang betul. Kita mesti membina rasa kekitaan di kalangan individu dan tindakan komuniti jika kita mahu meningkatkan standard kebersihan di kawasan awam," kata Fu.

"Kita perlu menanam tabiat dan nilai daripada usia muda dan kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memasukkan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kurikulum sekolah," katanya lagi. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan