Jumaat, 10 Februari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Mahkamah tolak rayuan Gilani

Posted: 10 Feb 2012 01:16 PM PST

Dunia

ISLAMABAD: Mahkamah tinggi Pakistan menolak rayuan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani, semalam dan mengarahkan beliau hadir di mahkamah Isnin ini untuk berdepan dakwaan menghina institusi kehakiman itu.

Mahkamah Agung mengekalkan arahan 2 Februari lalu supaya Gilani hadir untuk berdepan dakwaan menghina mahkamah berhubung keengganan kerajaan meminta pihak berkuasa Switzerland untuk membuka semula kes rasuah terhadap Presiden Asif Ali Zardari.

Jika disabitkan, Gilani berdepan hingga enam bulan penjara dan disingkirkan daripada jawatan dalam kes yang disifatkan ramai pemerhati berkemungkinan memberi tekanan berat kepada kerajaan untuk mengadakan pilihan raya awal dalam masa beberapa bulan ini. "Rayuan ditolak," kata Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry.

Zardari dan isterinya, Benazir Bhutto, disyaki menggunakan akaun bank Swiss untuk menyimpan kira-kira AS$12 juta (RM36 juta) didakwa dalam bentuk rasuah dibayar oleh syarikat yang mahukan kontrak pemeriksaan kesihatan di Pakistan pada 1990-an.

Khamis lalu, Chaudhry berkata mahkamah akan menggugurkan saman itu jika Gilani mematuhi arahan menulis surat kepada pihak berkuasa Switzerland, meminta mereka membuka semula kes bertarikh dua tahun lalu.

Semalam, Chaudhry sekali lagi menegaskan mahukan jawapan jelas mengenai sama ada Gilani akan menulis surat itu dan memberitahu peguamnya: "Kami sedia memberikan anda masa 10 minit untuk bercakap dengan Perdana Menteri menerusi telefon dan beritahu kami jawapannya."
"Saya tidak ada mandat melakukan perkara itu," jawab peguam Gilani, Aitzaz Ahsan.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Ahsan mengesahkan Gilani akan hadir di mahkamah Isnin lalu.

Kerajaan Switzerland mengenepikan kes itu pada tahun 2008, apabila Zardari menjadi ketua negara dan pendakwa di Switzerland berkata mustahil membuka semula kes berkenaan selagi dia kekal menjadi presiden dan kebal daripada sebarang pendakwaan.

Anggota kerajaan menuduh hakim bertindak melampaui kuasa dan cuba menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden, setahun sebelum pentadbiran sedia ada menjadi yang pertama di Pakistan menamatkan penggal mereka.

"Beritahu Perdana Menteri mengingkari perintah mahkamah tidak disukai di negara ini," kata Chaudhry kepada Ahsan.

Gilani sendiri hadir di Mahkamah Agung 19 Januari lalu dan menjelaskan mengenai kekebalan Zardari sebagai penjelasan keengganan presiden itu mematuhi perintah mahkamah.

Pakar perundangan berkata, Gilani cuma boleh mengelak daripada didakwa dengan memfailkan rayuan, meminta maaf atau berjanji menulis surat kepada kerajaan Switzerland.

Zardari yang dicemari dengan tuduhan rasuah sehingga menyebabkan dia diberi gelaran Mr 10 Percent sudah pun dihukum penjara 11 tahun atas pelbagai dakwaan daripada rasuah hingga membunuh. – AFP

Ikhwanul Muslimin desak pecat kerajaan dilantik

Posted: 10 Feb 2012 01:15 PM PST

Dunia

KAHERAH: Pergerakan Ikhwanul Muslimin mendesak majlis pemerintah tentera memecat kerajaan dilantik kerana gagal mengawal keselamatan dan keadaan ekonomi yang semakin meruncing di negara itu.

Pertubuhan itu yang menguasai hampir 50 peratus daripada kerusi di Parlimen, setakat ini menjadi parti tunggal terbesar muncul daripada pilihan raya Mesir paling adil dan bebas dalam masa beberapa dekad.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Mahmoud Ghozlan, berkata kelmarin tentera perlu melantik wakil pertubuhan itu sebagai Perdana Menteri, yang kemudian akan membentuk kerajaan baru. Desakan memecat Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Kamal el-Ganzouri, dibuat selepas rusuhan berdarah bola sepak yang mencetuskan pertempuran selama berhari-hari antara penunjuk perasaan dan polis. Sekurang-kurangnya 74 maut dalam rusuhan 1 Februari itu dan 15 lagi terbunuh dalam pertempuran yang menyusul tragedi berkenaan.

"Kami mendesak majlis tentera memecat kerajaan sedia ada kerana gagal mengendalikan majlis besar dan membentuk kerajaan lain. Jika ada kerajaan yang disokong oleh rakyat, ia akan bertindak tanpa tunduk kepada tekanan sesiapa. Ia akan memberi jaminan kepada rakyat dan menyediakan kawalan keselamatan," kata Ghozlan.

Bantahan dan pertempuran berdarah kerap berlaku sejak kebangkitan yang menyingkirkan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak setahun lalu. Jenayah juga banyak dilaporkan terutama rompakan bank sejak beberapa minggu lalu.

Tentera ditempatkan di seluruh negara bermula Rabu lalu dalam cubaan mengembalikan semula kawalan keselamatan dan seperti dilaporkan media, mengembalikan semua prestij negara.
Banyak pihak menyalahkan polis di atas kegagalan menghentikan rusuhan berdarah dan mengkritik polis kerana penggunaan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan. Kejadian itu mengulangi tuduhan majlis pemerintah tentera menyalah urus apa yang sepatutnya menjadi peralihan kepada demokrasi dan desakan diteruskan supaya tokoh tentera meletak jawatan.

Masalah keselamatan berlaku beberapa hari sebelum mogok besar-besarkan bermula 11 Februari ini, ulang tahun pertama kejatuhan Mubarak untuk menuntut peralihan segera kepada pemerintahan awam. Gesaan itu dikritik keras oleh tentera dan Ikhwanul Muslimin yang disifatkan sebagai cubaan mengkucar-kacirkan negara itu. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan