Khamis, 22 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Roke mengarah ke loji nuklear

Posted: 21 Sep 2011 04:34 PM PDT

Dunia

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan bandar Toyokawa  tengah Tokyo ditenggelami banjir  selepas Taufan Roke membadai Jepun, semalam.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan bandar Toyokawa tengah Tokyo ditenggelami banjir selepas Taufan Roke membadai Jepun, semalam.

Taufan ragut enam nyawa, lebih 575,000 penduduk Tokyo bergelap

TOKYO: Taufan Roke dengan kelajuan angin 220 kilometer sejam kini dilaporkan menghala ke loji nuklear Fukushima yang rosak teruk akibat gempa bumi Mac lalu, selepas membadai Tokyo semalam.

Di ibu negara Jepun itu, Roke yang membawa hujan lebat, menyebabkan sekurang-kurangnya enam terbunuh, ratusan penerbangan dibatalkan, manakala beribu-ribu penumpang kereta api terkandas. Jurucakap syarikat pengendali elektrik Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Junichi Matsumoto, berkata pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga tahap tertinggi di loji Fukushima, tetapi meramalkan taufan itu tidak akan memusnahkan loji terbabit.

"Apa yang paling membimbangkan ialah kemungkinan paras air dicemari radioaktif mungkin meningkat di dalam turbin. Loji itu masih mempunyai kadar air yang banyak untuk digunakan sebagai penyejuk reaktor, selepas terjejas akibat gempa dan tsunami Mac lalu.

"Kami juga khuatir, hujan lebat akan menyebabkan air dicemari radioaktif melimpah ke laut. Bagaimanapun, setakat ini kami yakin dapat menahan limpahan air, jika parasnya meningkat tiba-tiba," katanya.

Jabatan Meteorologi Jepun melaporkan, Roke, taufan kedua terkuat melanda Jepun bulan ini, juga mengakibatkan hujan lebat sehingga 40 sentimeter di timur dan barat negara itu sejak 24 jam lalu.
"Kami perlu mengambil tindakan berjaga-jaga tahap tertinggi berikutan hujan lebat, angin kencang dan ombak besar yang kini melanda bahagian timur dan utara Jepun," kata Ketua Setiausaha Kabinet, Osamu Fujimura dalam pada sidang media di sini, semalam.

Taufan Roke menyebabkan lebih 575,000 penduduk di wilayah yang mendapat perkhidmatan TEPCO, termasuk loji industri kereta, Nissan dan Mitsubishi bergelap apabila bekalan elektrik terputus.

Toyota menyatakan, pihaknya bercadang untuk menutup 11 buah kilang di bahagian tengah negara itu lewat petang ini dan membatalkan syif kerja pada sebelah petang.

Roke mengakibatkan hujan lebat di wilayah Hamamatsu, 200 kilometer ke barat Tokyo, kira-kira jam 2 petang waktu tempatan sebelum menghala ke utara bandar raya itu pada sebelah petang. – Reuters


China, Russia sokong Palestin sertai PBB

Posted: 21 Sep 2011 04:33 PM PDT

Dunia

AKTIVIS Palestin membawa sepanduk menuntut Amerika, Israel dan Eropah berlaku adil terhadap usaha menjadi anggota PBB.

AKTIVIS Palestin membawa sepanduk menuntut Amerika, Israel dan Eropah berlaku adil terhadap usaha menjadi anggota PBB.

Dua negara kuasa besar faham kehendak Abbas mahu pengesahan hak etnik antarabangsa

NEW YORK: China dan Russia masing-masing menyatakan sokongan mereka terhadap usaha Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpunan Agung badan dunia itu minggu ini.

"China memahami, menghormati dan menyokong usaha bagi keahlian Palestin dalam PBB," kata jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei pada sidang media harian kelmarin. Beliau menegaskan negara itu sentiasa menyokong tindakan Palestin dan Arab untuk mendesak pengesahan hak etnik mereka selain meminta masyarakat antarabangsa meneruskan usaha ke arah keamanan, menggalakkan rundingan dan desakan meneruskan semula rundingan di antara Palestin-Israel. Sementara itu Timbalan Menteri Luar Russia, Mikhail Bogfanov yang bercakap kepada pemberita Russia di New York berkata pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas memaklumkan kepada mereka mengenai usaha Palestin untuk membawa usul itu kepada Majlis Keselamatan.

"Apa yang kami difahamkan ia akan dikemukakan pada 23 September," kata timbalan menteri itu dalam komen yang dilaporkan agensi berita Interfax.

Ditanya sama ada Russia akan menyokong usaha Palestin itu, Bogdanov berkata: "Sudah pasti."

Palestin perlu mendapatkan sekurang-kurangnya sembilan undi di Majlis Keselamatan dan mengelak daripada kuasa veto jika mahukan usaha mereka mendapatkan keahlian PBB itu diluluskan.
Sementara itu, Perancis dan Amerika Syarikat terus mendesak agar tekanan dikenakan ke atas Palestin dalam usaha memujuk Presiden Mahmoud Abbas menghentikan usahanya untuk mendapatkan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan juga Presiden Barack Obama akan membuat gesaan itu dalam ucapan ketika sesi pembukaan Perhimpunan Agung PBB terbabit.

Obama akan menggesa secara peribadi terhadap usaha Palestin itu apabila bertemu Abbas pada Rabu.

Pemimpin Amerika Syarikat merumuskan mereka tidak dapat menghentikan Abbas daripada meneruskan kesnya secara rasmi bagi mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan bagi penubuhan sebuah negara yang diiktiraf tetapi mahu memastikan pemimpin Palestin itu menggugurkan langkah berkenaan selepas menyerahkan suratnya kepada PBB.

Abbas dijangka membuat satu permohonan rasmi bagi pengiktirafan sebuah negara pada Jumaat apabila beliau berucap kepada Perhimpunan Agung berkenaan. Tetapi ia mungkin akan mengambil masa berminggu atau berbulan bagi PBB untuk bertindak terhadap permohonan Palestin itu. – AP/Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan