Utusan Online - Luar Negara |
Posted: 26 parti Thai bertanding
BANGKOK 19 Mei - Sebanyak 26 parti politik mendaftarkan calon-calon mereka yang akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang hari ini, genap setahun tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan Baju Merah yang mengorbankan 92 nyawa tahun lalu. "Banyak pihak berharap pilihan raya pada 3 Julai ini akan membawa kestabilan kepada Thailand. "Pilihan raya ini adalah untuk masa depan negara. Dunia akan memerhatikan kita," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Apichart Sukakanond semasa perasmian proses pendaftaran. Dua calon utama yang dijangka mendapat perhatian pada pilihan raya ini ialah Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, 46, yang mewakili Parti Demokrat dan adik perempuan Thaksin Shinawatra, Yingluck, 43, dari parti pembangkang Pheu Thai yang akan mencabar Abhisit bagi jawatan tersebut. "Saya mengambil keputusan membubarkan Parlimen kerana mahu memulangkan kuasa kepada rakyat. "Saya mahu lihat persaingan yang sihat dan negara terus maju," kata Abhisit hari ini semasa menyerahkan senarai calon untuk 500 kerusi Dewan Perwakilan yang dipertandingkan. Yingluck dalam satu wawancara pertamanya dengan media berkata, beliau sedia berkempen di kawasan pedalaman. "Saya rasa bertemu dengan pengundi lebih penting berbanding mengadakan perbahasan politik dengan Abhisit," katanya. – dpa/Agensi | ||
Kerajaan Australia dituduh 'panik, terdesak' Posted: Kerajaan Australia dituduh 'panik, terdesak'SYDNEY 19 Mei - Pembangkang Australia menuduh kerajaan berada dalam keadaan 'panik dan terdesak' kerana awal-awal lagi sudah berjanji pencari suaka akan dihantar ke negara ketiga sebelum Malaysia atau Papua New Guinea (PNG) menandatangani perjanjian dengan Canberra untuk menerima mereka. Jurucakap Parti Liberal bagi hal-ehwal imigresen, Scott Morrison hari ini berkata, pendatang yang tiba dari Indonesia baru-baru ini telah memasuki 'zon polisi terawang-awang' kerana mereka tidak akan diproses di Australia dan belum ada negara ketiga yang bersedia untuk menerima mereka. "Selepas tergesa-gesa untuk membuat pengumuman besar, kerajaan sudah pun mengisi kuota pendatang untuk dihantar ke Malaysia sebelum perjanjian ditandatangani. "Pendatang yang tiba telah memasuki zon polisi terawang-awang, kerana tidak ada perjanjian untuk menghantar sesiapa pun ke mana-mana negara," kata Morrison. Kerajaan Perdana Menteri Julia Gillard sudah mempersetujui perjanjian pertukaran pencari suaka dengan Malaysia. Di bawah perjanjian yang belum ditandatangani itu, 4,000 pencari suaka yang sudah diproses oleh Malaysia akan ditempatkan semula di Australia manakala Kuala Lumpur sebagai balasan akan menerima 800 pencari suaka yang tiba di Australia dengan bot. Akhbar di Malaysia memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai berkata, Malaysia tidak akan menerima pencari suaka yang tiba di Australia sebelum perjanjian tersebut ditandatangani. Gillard berkata, kedudukan perjanjian itu tidak terancam. "Kenyataan beliau (Hishammuddin) memang munasabah, iaitu pencari suaka tidak akan dibawa masuk ke Malaysia sehingga perjanjian itu dimeteraikan. "Kita sedang bekerjasama dengan Malaysia seperti yang saya nyatakan sebelum ini," kata Perdana Menteri itu. Beliau mendakwa akhbar The Star di Malaysia telah tersalah lapor kenyataan Hishammuddin. - dpa |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan