Sabtu, 7 Mei 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


PAP terus berkuasa

Posted:

PAP terus berkuasa

PAP terus berkuasa

SINGAPURA 7 Mei - Parti-parti pembangkang Singapura kelihatan memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi dalam pilihan raya umum Singapura hari ini, sekali ganda daripada dua kerusi yang dimilikinya pada penggal yang lepas, lapor media tempatan.

Akhbar Straits Times memetik calon bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai berkata, kerusi paling panas yang dipertandingkan iaitu Aljunied, telah jatuh ke tangan Parti Pekerja (WP).

Laman-laman web bebas turut menyiarkan laporan yang serupa.

Pegawai-pegawai pilihan raya masih belum mengumumkan sebarang keputusan setakat pukul 12 tengah malam ini tetapi Aljunied, yang mana lima kerusi menjadi taruhan, disebut-sebut dikuasai oleh pembangkang.

Seandainya keputusan itu disahkan, Menteri Luar Singapura, George Yeo yang mengetuai PAP di kawasan tersebut, akan kehilangan jawatan kabinet beliau.

Kebanyakan 87 kerusi yang dipertandingkan hari ini adalah sebahagian daripada Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) yang mana pengundi memilih secara kelompok empat hingga enam calon.

PAP telah menguasai politik Singapura sejak 52 tahun lalu dan pembangkang tidak pernah memenangi GRC. Pada penggal sebelum ini, pembangkang memenangi dua daripada 84 kerusi parlimen Singapura.

Sementara itu, Channel NewsAsia melaporkan keputusan pilihan raya Singapura akan diumumkan lewat malam ini sehingga awal pagi esok.

Peti undi dari semua pusat pengundian di negara bandar raya ini telah ditutup dengan kemas dan dibawa ke pusat penjumlahan undi, selepas proses pengundian tamat pada 8 malam ini.

Undi dikira di hadapan calon dan ejen dari parti politik yang bertanding.

Undi dari GRC terbesar — Ang Mo Kio, Bishan-Toa Payoh dan GRC yang mendapat saingan paling sengit iaitu Aljunied — akan dijumlahkan di Sekolah Menengah Deyi, selaku pusat penjumlahan utama.

Setakat 5 petang, kira-kira 1.8 juta atau 83.46 peratus warga Singapura telah melaksanakan tugas sebagai pengundi di 782 pusat pengundian di republik ini, menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura.

Enam parti pembangkang meletakkan calon dalam pilihan raya umum itu untuk menentang calon parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Parti itu adalah Parti Reformasi (RP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Pekerja (WP). – AFP/ BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Proses pengundian berjalan lancar

Posted:

Proses pengundian berjalan lancar

Proses pengundian berjalan lancar

Daripada MOHAMAD FIKRI ROSLY

SINGAPURA 7 Mei - Para pengundi Singapura hari ini menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 untuk memilih pemimpin di 782 pusat pengundian dengan harapan sama iaitu pembaharuan dan kebajikan rakyat, tidak kira parti mana yang diumumkan sebagai pemenang.

Tinjauan Mingguan Malaysia ke pusat pembuangan undi di beberapa Kawasan Pilihan Raya Berkumpulan (GRC) mendapati kebanyakannya tenang dengan aliran masuk pengundi berterusan, situasi berbeza berbanding proses demokrasi serupa tetapi lebih meriah di Malaysia.

Seorang pesara, Aziz Mokhtar, 60, berkata, apa yang dimahukan beliau adalah kestabilan dan keamanan berkekalan agar Singapura terus maju dalam pelbagai bidang.

"Undi adalah rahsia tetapi faktor pemilihan saya adalah berdasarkan rekod pencapaian sesebuah parti itu," katanya ketika ditemui sebaik selesai mengundi bersama isterinya di Rosyth School, Serangoon North Avenue 4 di bawah GRC Ang Mo Kio di sini hari ini.

Seorang lagi pengundi dalam GRC sama, Lee Suang Hoe, 47, berkata, parti pemerintah dan pembangkang tahun ini menonjolkan ramai calon yang kompetetif dan mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

Menurutnya, tidak kira siapa juga yang akan diumumkan sebagai pemenang bagi kawasan ini atau di kawasan lain, mereka harus menunaikan janji mereka dan diminta menyelesaikan isu-isu yang menyukarkan kehidupan rakyat.

Keadaan di pusat pembuangan undi Geylang Methodist Primary School di Geylang East Central, di bawah GRC Marine Parade juga memperlihat keadaan serupa dan setakat tengah hari tadi media tempatan melaporkan lebih separuh daripada 2.21 juta telah mengundi.

Bagi Abdul Kadir Sulaiman, 57, ketika ditemui berpendapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan terus berkuasa namun apa yang diharapkan adalah pendekatan berbeza daripada pemerintah kelak.

"Harapan saya ada perubahan kerana sebelum ini pun diakui hasrat pemerintah bagus tetapi kita tidak dapat menyuarakan perkara yang kita tidak sukai," katanya.

Rasyidah Saadiq, 42, tidak menolak kemungkinan beberapa senario yang mungkin berlaku dalam pilihan raya umum Singapura kali ini kerana undi golongan muda tidak dapat dijangka.

"Tidak boleh buat jangkaan kali ini. Mungkin saja satu atau dua GRC dimenangi pembangkang, siapa tahu? Tidak kira siapa yang menang nanti, mudah-mudahan apa yang diuar-uarkan akan dilaksanakan," katanya ketika ditemui sebelum mengundi.

Tempoh mengundi adalah sehingga pukul 8 malam ini dengan persaingan sengit antara PAP dan pembangkang di beberapa GRC seperti Aljunied, Holland Bukit Timah dan Bishan Toa Payoh dan keputusan dijangka diperoleh beberapa jam selepas itu sebaik pengiraan selesai. - mingguan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan