Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Fatah, Hamas berdamai
KAHERAH 28 April – Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam memeterai perjanjian dengan musuh ketatnya, Hamas untuk menamatkan perseteruan berlarutan antara mereka. Kedua-dua pihak juga bersetuju membentuk sebuah kerajaan interim menjelang pilihan raya dalam tempoh setahun. Israel yang menganggap Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas tidak menyenangi perjanjian tersebut yang dirundingkan secara rahsia di Mesir. Rejim Zionis itu berkata, perjanjian Fatah-Hamas tidak akan menjamin keamanan di Asia Barat dan Abbas perlu terus memulaukan pergerakan berhaluan Islam yang memerintah Genting Gaza sejak 2007 selepas mengusir Fatah dalam satu perang saudara. Mencapai perpaduan Palestin dianggap penting untuk memulihkan sebarang prospek penubuhan sebuah negara Palestin merdeka, tetapi kuasa Barat enggan berurusan dengan Hamas kerana pendiriannya untuk tidak mengiktiraf Israel dan menghentikan perjuangan bersenjata. "Kami sudah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kerajaan terdiri daripada tokoh-tokoh bebas yang akan mula membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya Presiden dan Parlimen," kata ketua pasukan perunding Fatah di Kaherah, Azzam al-Ahmad. Katanya, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh lapan bulan dari sekarang, sementara Liga Arab akan menyelia pelaksanaan perjanjian itu. Di bandar Ramallah, Tebing Barat, jurucakap Abbas, Nabil Abu Rdaineh berkata, perpaduan Palestin bukan urusan Israel. "(Benjamin) Netanyahu mesti memilih sama ada perdamaian yang adil dengan bangsa Palestin yang bersatu atau pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi," kata Abu Rdaineh yang merujuk kepada Perdana Menteri Israel itu. Pada sidang media di Kaherah yang dihadiri para pemimpin Fatah dan Hamas, Ahmad mengakui rakyat Palestin telah menanggung kerugian besar disebabkan perbalahan sesama sendiri. "Kami berbangga kerana kami kini mempunyai kemahuan untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri supaya kami boleh menamatkan pendudukan Palestin, pendudukan terakhir dalam sejarah," katanya. Timbalan pemimpin Hamas, Moussa Abu Marzouk pula berkata, perbalahan itu telah membuka peluang kepada rejim pendudukan dan 'hari ini, kami membuka lembaran baru'. – Reuters Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Thai, Kemboja kuatkuasa gencatan senjata Posted: Thai, Kemboja kuatkuasa gencatan senjataPHNOM PENH 28 April – Tentera Thai dan Kemboja hari ini bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata, selepas pertempuran selama seminggu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang di sempadan kedua-dua negara yang menjadi pertelingkahan selama bertahun-tahun. Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, kedua-dua negara juga setuju membuka semula kawasan sempadan berhampiran sebuah kuil Hindu kurun ke-12 bagi membolehkan penduduk yang berpindah pulang ke kampung masing-masing. "Kami akan mematuhi gencatan senjata ini berkuatkuasa sekarang dan komander-komander tempatan akan selalu bertemu bagi mengelakkan salah faham. Situasi di sempadan kini reda," katanya. Kolonel Kemboja, Suos Sothea berkata, pertempuran di kawasan yang menjadi pertikaian juga telah berhenti selepas satu pertempuran tercetus pagi tadi. Sebelum itu, Thailand mengumpulkan kereta kebal di kawasan itu berikutan satu serangan Kemboja malam tadi yang mengorbankan seorang tenteranya dan menyebabkan tujuh yang lain cedera. Sebanyak lapan kereta kebal Thai ditempatkan di barisan hadapan kawasan sempadan yang dikawal ketat kedua-dua pihak, dalam jarak tujuh kilometer antara satu sama lain. Kenyataan Kemboja itu mendapat reaksi positif dari Thailand apabila komandernya, Thawatchai Samutsakorn menyifatkan isyarat yang ditunjukkan Kemboja adalah satu tindakan yang bagus. – Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan