Utusan Online - Luar Negara |
ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden Posted: ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden
KAHERAH 1 Feb. – Reformis Mesir, Mohamed ElBaradei hari ini berkata, beliau tidak berhasrat menjadi Presiden Mesir tetapi sedia mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya dilaksanakan sekiranya itu yang dimahukan rakyat. "Sekiranya rakyat sebulat suara mahu saya mengetuai kerajaan sementara, saya sedia melakukannya," kata aktivis demokrasi itu kepada akhbar Britain, The Independent hari ini. Elbaradei yang muncul sebagai tokoh pemimpin pembangkang utama Mesir turut mengulangi desakan supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan jika mahu selamat. "Apabila sesuatu rejim mengundurkan polis dari jalan-jalan, apabila pasukan polis dicemari samseng, cuba memberi gambaran bahawa tanpa Mubarak negara akan bergolak, ini adalah satu tindakan jenayah. Seseorang perlu bertanggungjawab. "Orang ramai kini bukan sahaja menuntut pengunduran Mubarak. Mereka mahu beliau dibicarakan. Sekiranya beliau mahu selamat, Mubarak perlu berundur menjelang hari Jumaat ini," katanya. Sementara itu, Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan ElBaradei dan menyokong pemimpin pembangkang itu bagi mengetuai kerajaan perpaduan Mesir. Parti tersebut menerusi kenyataan yang dibuat di laman webnya hari ini berkata, ia juga tidak mahukan jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru nanti, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada kepimpinan akan datang. "Kemahuan kami adalah kehendak rakyat. Kita perlukan satu rejim baru sekarang. "Kami menghormati Elbaradei. Beliau adalah individu paling berpotensi untuk mencapai hasrat ini," kata ketua cawangan Ikhwanul Muslimin di utara Kaherah, Helmi Gazzar. Ikhwanul Muslimin dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk menubuhkan satu jawatankuasa politik dengan Elbaradei bagi rundingan dengan pihak tentera. Parti itu malam tadi turut menyeru tunjuk perasaan diteruskan di seluruh negara sehingga Mubarak tunduk kepada desakan meletak jawatan. – AFP/Agensi | ||
Tentera Mesir jamin tidak lepaskan tembakan Posted: Tentera Mesir jamin tidak lepaskan tembakanKAHERAH 1 Feb. - Pasukan tentera Mesir memberi jaminan tidak akan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah secara aman, ketika orang ramai meneruskan kempen bantahan untuk menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak hari ini. Pihak berkuasa tentera yang dilihat mahu mengekalkan sistem ketenteraannya yang berusia 60 tahun berbanding kepimpinan Presiden, malam tadi mengeluarkan satu kenyataan menyifatkan tuntutan penunjuk perasaan sebagai 'sah' dan berjanji tidak akan menggunakan kekerasan ke atas mereka. Langkah pasukan tentera yang membantu Mubarak memerintah pada 1981, dilihat seolah-olah sedang menimbang untuk mengubah kesetiaannya daripada kerajaan serta membenarkan bantahan terus dijalankan penunjuk perasaan. "Pasukan tentera tidak akan menggunakan kekerasan sebagai jalan terakhir terhadap rakyat. "Pihak tentera yang sedar dengan kemahuan rakyat akan terus menjalankan tanggungjawab melindungi negara dan rakyat serta menegaskan kebebasan bersuara secara aman adalah hak semua individu," menurut tentera dalam kenyataan rasmi pertamanya semalam. Pasukan tentera bersama kereta kebal dikerahkan berkawal di jalan-jalan sejak Jumaat lalu apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan. Tidak seperti polis, anggota tentera dilihat lebih sabar dengan membiarkan penunjuk perasaan menyatakan kemarahan mereka terhadap pemerintahan diktator Mubarak dan kemiskinan negara. Sehingga malam tadi, kira-kira 140 orang dilaporkan maut sepanjang demonstrasi berlangsung di seluruh negara. Mubarak malam tadi turut mengumumkan pelantikan Kabinet baru yang menyaksikan sebahagian besar menteri-menterinya tidak berubah. Tindakan Presiden untuk meredakan kemarahan ramai juga tidak berkesan selepas penunjuk perasaan terus menolak pembaharuan demi pembaharuan yang dilaksanakan beliau. "Tuntutan kami jelas. Kami mahu Mubarak dan orang-orangnya berundur. Sebarang pendekatan selain perkara itu tidak akan memberi kesan," kata penunjuk perasaan, Omar el-Demerdash. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan