Utusan Online - Luar Negara |
Skandal rasuah di penjara Indonesia Posted: Skandal rasuah di penjara Indonesia
JAKARTA 7 Jan. - Apabila Kasiem, 55, dikenakan hukuman penjara tujuh bulan, wanita itu memutuskan dia tidak mahu menjalani hukuman tersebut, lalu dia mengupah seorang wanita lain untuk meringkuk di penjara bagi menggantikannya. Kasiem disabit kesalahan menjual baja subsidi kerajaan yang dianggap sebagai jenayah di Indonesia tetapi semasa proses pemindahan ke penjara, dia bertukar tempat dengan Karni, seorang balu berusia 50 tahun yang dibayarnya sebanyak Rp10 juta (RM3,454). Itu merupakan siri terbaru skandal rasuah penjara yang para aktivis mahu pembaharuan sepenuhnya dijalankan segera. Kes tersebut dibongkar minggu lalu apabila seorang daripada jiran Kasiem melawatnya di penjara, tetapi dia hanya bertemu Karni. Kasiem ditahan hari berikutnya dan memulakan tempoh hukuman, sementara Karni masih belum didakwa. Pengarah Yayasan Bantuan Perundangan Indonesia, Erna Ratnaningsih berkata, kejadian itu bukanlah yang pertama berlaku di Pusat Tahanan Bojonegoro, Jawa Timur dan Indonesia. Satu lagi kes membabitkan bekas ahli perniagaan, Artalyta Suryani yang didapati bersalah merasuah pendakwa raya didapati menikmati rawatan kecantikan menggunakan laser di penjara Jakarta semasa diserbu oleh Pasukan Petugas Bagi Pembasmian Kegiatan Mafia. "Sistem penjara di sini sangat lemah baik dari segi pentadbiran dan pengawasan. Bagaimana seseorang yang tidak bersalah boleh masuk ke penjara? "Penjara seolah-olah dilihat sebagai negara mereka sendiri. Sangat sukar bagi mana-mana badan luar untuk masuk membuat pemeriksaan di penjara," katanya kepada AFP. Katanya, satu pembaharuan sistem penjara menyeluruh termasuk pengawasan serta penyelarasan yang lebih baik perlu dilaksanakan, tetapi usaha itu mungkin terhalang ekoran kelakuan tidak berakhlak pegawai di kalangan anggota polis, pendakwa raya dan hakim sendiri. "Amat sukar untuk menyelesaikan masalah ini hanya dari sebelah pihak dengan adanya 'mafia undang-undang'. Kami mengesyaki pegawai turut terlibat dalam kes ini," katanya. - AFP | ||
Adik Thaksin mungkin tanding jawatan PM Thai Posted: Adik Thaksin mungkin tanding jawatan PM Thai
BANGKOK 7 Jan. - Adik perempuan bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra disebut-sebut sebagai calon parti pembangkang untuk merebut jawatan tersebut dalam pilihan raya akan datang. Jurucakap parti Puea Thai, Pormpong Nopparit berkata, beberapa anggota parti itu menyatakan sokongan kepada Yingluck Shinawatra sebagai seorang daripada calon Perdana Menteri tetapi mereka perlu berunding dan mengundi dahulu pada mesyuarat agung parti itu nanti. Beliau berkata, parti itu akan memilih calon mereka selepas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang memimpin Parti Demokrat membubarkan Parlimen, yang menurut undang-undang ia perlu dilakukan pada tahun ini. Thaksin, 61, kini tinggal di luar negara bagi mengelak dikenakan hukuman penjara di atas dakwaan rasuah. Beliau juga dikehendaki di atas tuduhan menghasut satu demonstrasi antikerajaan di Bangkok tahun lepas. Hartawan yang menjadi Perdana Menteri itu mendapat sokongan daripada penduduk miskin luar bandar ketika beliau mentadbir Thailand tetapi digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan menghadapi tuduhan rasuah selain penyalahgunaan kuasa. Thaksin masih mempunyai ramai penyokong terutama daripada pergerakan pembangkang Baju Merah yang mengadakan rusuhan jalanan besar-besaran di Bangkok pada April dan Mei lalu sehingga menyebabkan lebih 90 orang terbunuh ketika pertempuran antara askar dan perusuh. Yingluck, 43, yang kini merupakan Presiden Eksekutif SC Asset Corp, sebuah syarikat hartanah, adalah anak bongsu dalam keluarganya. Jika beliau dicalonkan, beliau akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara itu. Wanita itu juga pernah menjawat jawatan Presiden Unit Telefon Bimbit Shin Corp, kumpulan telekomunikasi yang diasaskan oleh Thaksin dan berada di tengah-tengah skandal cukai berhubung penjualan saham keluarga dalam kumpulan itu pada 2006. ''Beliau seorang yang merendah diri dan memiliki hubungan baik tetapi tidak dapat dikatakan sekarang bahawa Yingluck adalah pilihan kami,'' kata penasihat undang-undang kepada Thaksin, Noppadon Pattama. Sebelum ini, laporan berita tempatan menyebut Thaksin yang kini berpangkalan di Dubai menyatakan sokongan kepada bekas Menteri Kewangan, Mingkwan Saengsuwan untuk memimpin parti itu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan