Khamis, 25 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


80 terbunuh nahas kereta api Sepanyol

Posted: 25 Jul 2013 01:22 PM PDT

Gerabak tergelincir ketika melalui selekoh landasan

Santiago de Compostela: Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 140 lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir di luar bandar lama barat laut Sepanyol di sini, petang kelmarin.

Mayat ditutupi selimut dilihat bersebelahan gerabak terbalik dengan asap keluar berkepul-kepul dari bangkai gerabak dengan kejadian dianggap antara nahas kereta api terburuk Eropah.
Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar" Ricardo Montesco, Penumpang

Anggota bomba cuba mencari mangsa yang terselamat sementara anggota perubatan dalam ambulans dan bomba mengelilingi tempat kejadian.

Kerajaan mengandaikan punca kejadian itu, yang berlaku ketika kemuncak festival keagamaan penting bandar itu, sebagai kemalangan.

Sabotaj atau serangan agak mustahil, kata sumber rasmi, walaupun kemusnahan itu mengembalikan ingatan kepada pengeboman kereta api di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang.

Kereta api Santiago de Compostela dikendalikan syarikat Renfe membawa 247 penumpang ketika ia tergelincir di saat bandar itu bersiap sedia menyambut festival Saint James, apabila ribuan penganut Kristian dari seluruh dunia memenuhi jalanan.

Batal sambut keraian

Lembaga pelancongan bandar berkata, semua keraian termasuk 'High Mass' di gereja dibatalkan kerana seluruh bandar berkabung akibat nahas.

"Kejadian berlaku amat pantas. Kereta api mula tergelincir di selekoh dan gerabak menimpa antara satu sama lain," kata penumpang, Ricardo Montesco kepada stesen radio, Cadena Ser.

"Ramai penumpang terperosok. Kami cuba keluar dari bahagian bawah gerabak untuk menyelamatkan diri dan sedar kereta api sedang terbakar. Saya berada dalam gerabak kedua dan kebakaran berlaku. Saya lihat mayat," tambahnya.

Perdana Menteri, Mariano Rajoy, yang dilahirkan di bandar ini melawat tempat kejadian pagi semalam, kata jurucakapnya.

"Oleh kerana satu tragedi baru saja berlaku di Santiago de Compostela pada kemuncak hari besar, saya hanya dapat menyampaikan simpati mendalam sebagai rakyat Sepanyol dan penduduk Galicia," kata Rajoy dalam satu kenyataan.

Bergerak laju

Akhbar El Pais memetik sumber kepada siasatan sebagai berkata kereta api itu bergerak dua kali ganda had laju dibenarkan ketika melalui selekoh tajam.

Kedua-dua Renfe dan syarikat kerajaan Adif, yang bertanggungjawab menyelenggara landasan, membuka satu siasatan terhadap punca kejadian gelincir itu, kata Renfe.

Satu sumber rasmi berkata, tiada kenyataan dibuat berkaitan punca nahas sehingga kotak hitam kereta api diteliti namun berkata ia kemungkinan besar satu kemalangan.

"Kami akan melupakan teori ia disebabkan sabotaj atau serangan pengganas," katanya. - REUTERS/AGENSI

Caroline Kennedy duta AS ke Jepun

Posted: 25 Jul 2013 01:14 PM PDT

Washington: Presiden Barack Obama akan menamakan Caroline Kennedy, anak perempuan mendiang Presiden John F Kennedy sebagai duta Amerika Syarikat ke Jepun.

Caroline yang memiliki ijazah perundangan, adalah presiden kepada Yayasan Perpustakaan John F Kennedy dan mempengerusikan jawatankuasa penasihat di Institut Politik Universiti Harvard.

Penyokong Obama

Aktif dalam politik Demokratik, wanita berusia 55 tahun itu adalah seorang penyokong paling awal Obama dalam usaha awalnya menjadi presiden pada 2008. Pelantikannya, bagaimanapun, tertakluk kepada pengesahan Senat.

Sokongan Caroline, bersama bapa saudaranya, mendiang Senator Edward Kennedy, memberi Obama lesen besar mengaitkannya dengan nama paling penting politik dalam parti Demokratik dan menyediakan rangsangan besar kepada pencalonannya.

Bapa Caroline dan seorang lagi bapa saudaranya, Robert Kennedy, tumbang selepas kena tembakan pembunuh ketika di kemuncak kerjaya politik mereka.

Kembang kerjaya politik
Anggota keluarga lain dalam keturunan Kennedy juga mengembangkan kerjaya politik mereka.

Jepun adalah sekutu paling rapat dan penting Amerika dengan duta sebelumnya adalah individu politik terkenal termasuk bekas Naib Presiden, Walter Mondale.

Tokyo semalam mengalu-alukan berita itu, dengan Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mengatakan bahawa keku-rangan pengalaman Kennedy dalam diplomasi dan berurusan dengan Jepun tidak akan menjadi satu liabiliti.

"Saya dengar beliau rapat dengan Presiden Obama," katanya dalam sidang media. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan