Kosmo Online - Dunia |
- Rusia akan jual 10 jet pejuang MiG kepada Syria
- Serangan dron rahsia CIA cetus kontroversi
- Pesawat ringan rempuh apartmen
Rusia akan jual 10 jet pejuang MiG kepada Syria Posted: Rusia akan jual 10 jet pejuang MiG kepada Syria
MOSCOW - Pembuat jet MiG di Rusia menyatakan semalam ia merancang untuk menandatangani perjanjian baharu untuk menghantar sekurang-kurangnya 10 jet pejuang ke Syria. Pengumuman itu dibuat ketika beberapa pemimpin dunia mengkritik laporan penjualan sistem peluru berpandu S-300 kepada negara tersebut. Pengarah Urusan MiG, Sergei Korotkov berkata, satu delegasi Syria berada di Moscow untuk membincangkan laporan terperinci tentang kontrak baharu berhubung penghantaran jet MiG-29 M/M2. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa agensi berita Rusia, beliau berkata, mahu membeli lebih sepuluh jet tersebut. Bagaimanapun beliau tidak memberikan bilangan jet tersebut dengan terperinci. Rusia menyatakan, ia hanya membekalkan rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad dengan senjata-senjata yang bertujuan untuk melindungi Syria daripada pencerobohan asing seperti sistem pertahanan peluru berpandu. Namun, Rusia mendakwa ia tidak menghantar senjata-senjata yang akan digunakan dalam peperangan saudara di Syria. Peperangan saudara di Rusia itu telah menyebabkan lebih 70,000 orang terbunuh dan berjuta-juta penduduk melarikan diri. Jet pejuang itu merupakan versi canggih MiG-29 enjin berkembar. Dalam pada itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry mencetuskan persoalan tentang komitmen Rusia untuk membantu mewujudkan keamanan di Syria. Beliau membuat komen tersebut ekoran terdapatnya laporan bahawa Rusia akan menghantar sistem pertahanan peluru berpandu S-300 kepada Syria. Kenyataan itu dibuat pada sidang akhbar bersama dengan Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle di Washington semalam. "Adakah Rusia serius tentang itu (keamanan di Syria?" kata Kerry. Perang yang bermula pada Mac 2011 itu telah menyebabkan lebih 94,000 orang terbunuh. Ia berlaku ekoran sebahagian penduduk tempatan bangkit menentang kepimpinan Bashar. Penduduk tempatan itu mahu menggulingkan Bashar yang gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran termasuk demokrasi. - Agensi | |
Serangan dron rahsia CIA cetus kontroversi Posted: Serangan dron rahsia CIA cetus kontroversiBEBERAPA orang menyaksikan sebuah pesawat dron tanpa juruterbang, Fire Scout Mq-8B untuk Skuadron 35 Helikopter Maritim di Pangkalan Udara dan Laut Pulau Utara di San Diego, Amerika Syarikat pada 2 Mei lalu.- AP WASHINGTON - Serangan sebuah pesawat dron tanpa juruterbang yang membunuh seorang timbalan ketua sebuah pergerakan Taliban di Pakistan, Waliur Rehman merupakan satu isyarat jelas yang dibuat oleh pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS). Isyarat itu menunjukkan CIA bakal melancarkan serangan rahsia ke atas para militan di utara Pakistan tanpa memberitahu mana-mana pihak. Ia juga merupakan isyarat bahawa serangan rahsia seperti itu akan diteruskan walaupun Presiden AS, Barack Obama membuat janji pada minggu lalu bahawa akan terdapat ketelusan dalam program penggunaan dron. Sebuah dron milik CIA itu berlepas dari Afghanistan dan melancarkan serangan di kawasan penduduk suku kaum yang terpencil di Pakistan pada Rabu lalu. Pihak CIA percaya, Waliur yang merupakan Timbalan Ketua Tehrik-e-Taliban Pakistan, tinggal di lokasi itu. Pergerakan Taliban kemudian mengesahkan kematian Waliur yang dipercayai salah seorang perancang utama dalam serangan pengebom berani mati di sebuah pangkalan CIA pada tahun 2009 yang menyebabkan tujuh warga AS terbunuh. Seorang jurucakap White House, Jay Carney pada Rabu lalu menyatakan, Waliur bertanggungjawab dalam serangan merentasi sempadan di Afghanistan dengan menyerang askar-askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara termasuk serangan membawa maut ke atas anggota-anggota tentera Pakistan dan orang awam. Bagaimanapun, beberapa pegawai pejabat Presiden AS itu tidak membuat sebarang pengesahan berhubung serangan itu sekali gus mencetuskan persoalan tentang isu ketelusan walaupun Obama membuat janji dalam ucapannya pada minggu lalu tentang keselamatan negara bahawa beliau akan menjadi lebih telus berkaitan isu serangan antipengganas AS. Serangan yang membunuh Waliur berusia 42 tahun itu merupakan yang pertama dilakukan selepas Obama mengumumkan garis panduan baharu tentang penggunaan dron itu. Seorang lagi jurucakap White House, Josh Earnest kelmarin juga tidak membuat pengesahan tentang serangan yang membunuh Waliur tetapi beliau hanya menyatakan bahawa Obama berasa bertanggungjawab untuk melindungi tentera AS dalam peperangan di Afghanistan yang turut melibatkan Pakistan selain menyediakan perlindungan untuk askar-askar negaranya. Dalam ucapan itu, Obama mengumumkan garis panduan baharu tentang dasar Presiden AS berhubung piawaian yang digunakan pentadbirannya apabila membuat keputusan untuk melancarkan serangan yang membawa kematian. Piawaian itu termasuk garis panduan untuk melancarkan serangan hanya ke atas sasaran yang dianggap membawa ancaman terhadap keselamatan negara AS. Garis panduan itu turut menyatakan, serangan tersebut akan dilakukan jika sasaran serangan itu gagal untuk ditangkap. Obama juga menyatakan keutamaannya untuk menggunakan tentera dan bukan CIA bagi tujuan melakukan serangan seumpama itu. Bagaimanapun, Presiden AS itu memberi petunjuk bahawa CIA mungkin akan meneruskan kawalan program rahsia dron di tempat-tempat lain seperti Pakistan dan Yemen. Pihak CIA telah mendapat kebenaran daripada pemerintah Yemen untuk melakukan serangan seperti itu. Namun, dron agensi perisikan AS itu beroperasi tanpa mendapat kebenaran di Pakistan walaupun bakal Perdana Menteri negara itu, Nawaz Sharif menuntut supaya program dron tersebut ditamatkan. Program penggunaan dron itu telah menyebabkan lebih 3,000 orang terbunuh sejak tahun 2004. Menerusi program dron itu, puluhan militan termasuk Timbalan Ketua Al-Qaeda, Abu Yahya al-Libi terbunuh pada tahun lalu. Bagaimanapun, beberapa pegawai AS berkata, ucapan Obama itu bertujuan untuk meredakan kontroversi berhubung serangan dron dengan membuat janji bahawa pihak tentera akan melancarkan serangan pada masa depan jika ia dianggap perlu dilakukan. Beberapa pegawai AS juga menyatakan, serangan dron akan terus dilakukan dan ia akan dilancarkan di Pakistan dari Afghanistan atau dari lokasi tempat pergerakan Al-Qaeda serta sekutu-sekutunya beroperasi. Para pegawai itu turut memberitahu, pentadbiran pemerintah tempatan tidak mampu untuk bertindak balas berhubung serangan itu. Dalam pada itu, seorang penganalisis keselamatan, Hasan Askari berkata, serangan dron itu akan meningkatkan tekanan ke atas Taliban kerana pergerakan itu tidak mampu untuk melancarkan serangan balas terhadap tentera AS. "Ia merupakan satu tamparan buat Taliban Pakistan. Serangan itu menunjukkan kemampuan AS dan ia akan melakukan lebih banyak kesan psikologi terhadap Taliban," katanya. - AP/AFP | |
Pesawat ringan rempuh apartmen Posted: Pesawat ringan rempuh apartmenGAMBAR menunjukkan ekor sebuah pesawat ringan yang merempuh sebuah bangunan apartmen di Herndon semalam.- AP Herndon, Virginia - Sebuah pesawat ringan dua tempat duduk merempuh dinding dan siling sebuah bangunan apartmen di sini awal semalam, kata pihak berkuasa. Seorang juruterbang, penumpang dan seorang daripada enam orang yang sedang tidur di tingkat tiga sebuah unit apartmen itu mengalami kecederaan akibat rempuhan tersebut. "Suami saya berasa bangunan itu bergoyang. Dia menggerakkan saya daripada tidur dan kemudian kami berlari," kata seorang penduduk, Glendanid Colon. "Syukur kepada Tuhan. Semua orang selamat. Kebimbangan saya sebelum ini ialah pesawat tersebut akan meletup," tambahnya. Empat orang dewasa dan dua kanak-kanak sedang tidur di dalam bangunan apartmen itu ketika kejadian tersebut berlaku. Beberapa pegawai berkata, juruterbang pesawat itu, William Larson, 61, dan seorang penumpangnya sedang terbang untuk melakukan kerja-kerja merakamkan gambarnya dari udara sebelum pesawat itu merempuh bangunan tersebut. Pesawat itu dalam penerbangan dari Philadelphia ke Manassas, Amerika Syarikat. Larson dihantar ke Hospital Inova Fairfax dengan mengalami kecederaan yang serius. Penumpangnya itu dirawat di tempat kejadian kerana mengalami cedera ringan. Seorang wanita berusia 33 tahun yang tinggal di dalam bangunan tersebut juga dihantar ke hospital kerana mengalami kecederaan yang tidak membahayakan nyawa. Punca nahas masih disiasat. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan