Selasa, 9 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bapa, bayi maut dalam sungai

Posted: 08 Apr 2013 01:54 PM PDT

Hangzhou: Seorang bapa melihat sendiri detik-detik akhir anak lelakinya tenggelam bersama kereta sorong dalam sebuah sungai sejurus selepas dia mengambil gambar.

Lebih tragik, tindakan lelaki terbabit terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya berakhir dengan dia sendiri mati lemas. Media semalam melaporkan, sebelum kejadian, lelaki terbabit, Sun Wen, meletakkan bayinya, Lin Sun, di tebing sungai di Hangzhou di wilayah Zhejiang untuk merakamkan gambar.


Sun mengunjungi kawasan berkenaan bersama anaknya bagi melawat kubur keluarga mereka sempena perayaan tradisional masyarakat Cina.

Bagaimanapun, tiba-tiba kereta sorong dinaiki Lin bergerak dan menggelongsor ke dalam sungai.


Sun bergegas terjun untuk menyelamatkan anaknya yang baru berusia 18 bulan itu tetapi gagal.


Jurucakap penyelamat berkata, walaupun Sun tidak pandai berenang, dia nekad terjun ke sungai demi menyelamatkan anaknya.

Foto

ANGGOTA penyelamat membawa keluar kereta sorong dari sungai, semalam.

Foto

KERETA sorong dan kamera milik Sun.

"Sun dan anaknya hanya dapat ditarik keluar selepas 20 minit di dalam air," katanya. Sementara itu, pegawai penyiasat polis berkata, ada kemungkinan Sun terlupa memasang brek pada kerusi tolak dinaiki Lin. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Pertunjukan udara bertukar jadi tragedi

Posted: 08 Apr 2013 01:45 PM PDT

Santo Domingo: Pertunjukan udara di Republik Dominica bertukar menjadi tragedi apabila sebuah pesawat ringan terhempas ke laut dan membunuh dua juruterbang yang ada di dalamnya.

Insiden itu turut disaksikan ribuan pengunjung yang memenuhi pameran berkenaan.


Jurucakap polis berkata, pesawat udara itu terhempas hanya kira-kira 500 meter dari orang ramai. "Dalam tempoh kurang dari 60 saat, seluruh pesawat itu tenggelam ke laut," katanya. Dipercayai juruterbang terbabit gagal mengawal pesawat berkenaan ketika cuba melakukan aksi yang sukar di udara. Laporan awal mendakwa, enjin pesawat berkenaan terhenti seketika sejurus sebelum kemalangan berlaku. Dua mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Rafael Sanchez, 25, dan pembantunya, Carlos Manuel Guerrero, 27.

Penganjur kemudian menamatkan serta-merta pertunjukan yang sepatutnya berlangsung selama dua hari itu. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan