Kosmo Online - Dunia |
- Banjir landa Indonesia, Britain
- 60 maut semasa beratur beli roti
- Pengumpul pakaian siri televisyen mahu bina muzium
Banjir landa Indonesia, Britain Posted: Banjir landa Indonesia, Britain
JAKARTA - Banjir melanda bandar raya ini semalam dengan air naik setinggi 2.5 meter di beberapa kawasan, lapor akhbar Jakarta Post semalam. Antara kawasan yang dinaiki air akibat hujan lebat itu ialah Kampung Pulo dan Kampung Melayu di Jakarta Timur. Menurut beberapa penduduk, banjir tersebut berlaku dipercayai akibat hujan lebat di Bogor, Jawa Barat. Beberapa jalan raya turut dilanda banjir manakala sejumlah rumah ditenggelami air di Pos Pengumben, Kebon Jeruk. Menurut seorang penduduk di kawasan tersebut, Sri Rejeki, dia tidak menyangka banjir akan berlaku. "Pada pukul 2 pagi, paras air naik setinggi para paha," katanya. Menurut polis, paras air di beberapa kawasan naik setinggi 15 hingga 50 sentimeter. Kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah di Ciracas, Jakarta Timur. Kawasan Bukit Duri di Jakarta Selatan juga dinaiki air. Beberapa kawasan di Bandung, Jawa Barat tidak terkecuali daripada dilanda banjir. Sementara itu, di Britain, hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir menjelang sambutan Krismas. Banjir itu menyebabkan rel kereta api dan jalan raya ditenggelami air sekali gus menjejaskan perjalanan penduduk. Penduduk di Braunton, selatan England mendapati kampung mereka ditenggelami air ekoran paras Sungai Caen meningkat. Di Kampung Umberleigh berdekatan Braunton, seorang wanita diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat selepas dia berpaut pada dahan sebatang pokok selama hampir sejam. Agensi Alam Sekitar mengeluarkan 150 amaran banjir kelmarin, kebanyakannya di barat daya dan tengah England. - Agensi | |
60 maut semasa beratur beli roti Posted: 60 maut semasa beratur beli rotiKLIP video dari Rangkaian Berita Shaam menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan dan sejumlah orang cedera dalam serangan udara di sebuah kedai roti di Halfaya, Syria kelmarin. DAMSYIK - Seramai 60 orang awam yang sedang beratur untuk membeli roti di bandar Halfaya terbunuh kelmarin dalam satu serangan udara yang didakwa pihak penentang dilakukan pesawat tentera Syria, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria. Pihak Jawatankuasa Penyelaras Penduduk Tempatan (LCC) bertindak mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad itu. Pihak LCC berkata, ketika kejadian, berpuluh-puluh orang awam sedang beratur di luar sebuah kedai roti. Bagaimanapun, agensi berita milik pemerintah Syria, SANA semalam melaporkan, kejadian itu didalangi kumpulan pejuang penentang Bashar. Ia menafikan kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berpunca daripada serangan udara tentera rejim. "Satu kumpulan pengganas bersenjata menyerang bandar Halfaya, membunuh ramai wanita dan kanak-kanak," kata agensi berita itu. Ia melaporkan tentera Syria kemudian campur tangan ketika serangan berlaku dan berjaya membunuh serta mencederakan ramai penentang. Bagaimanapun, perikatan yang mewakili kumpulan penentang Bashar, Majlis Kebangsaan Syria menyalahkan rejim Presiden itu melakukan jenayah menentang kemanusiaan. Sementara itu, para aktivis penentang Bashar menyatakan, enam orang yang berjuang menentang tentera Bashar mati kelmarin akibat terhidu bau gas dan asap putih di Homs. Menurut para aktivis, tentera Bashar mungkin menggunakan bom yang mengandungi gas pembunuh. Jet-jet tentera turut melakukan serangan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di Ghouta Timur dekat Damsyik. Sementara itu, Utusan Damai Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi menyatakan kebimbangan tentang keadaan di Syria semasa mengadakan mesyuarat dengan Bashar di Damsyik semalam. "Bashar menyuarakan pandangannya tentang situasi itu dan saya memberitahunya mengenai mesyuarat saya dengan para pemimpin dan rantau ini dan di luar negera (berhubung isu Syria," katanya. Menurut stesen televisyen pemerintah Syria, Bashar menganggap pertemuan sebagai mesra dan membina. "Pihak pemerintah komited untuk memastikan kejayaan semua usaha dengan bermatlamatkan untuk melindungi kedaulatan dan kebebasan negara ini," kata Bashar. Dalam perkembangan berkaitan, lebih 700 penduduk Palestin mati di Syria sejak konflik di negara tersebut berlaku pada Mac tahun lalu. Maklumat itu didedahkan oleh seorang pegawai pelarian Pertubuhan Pembebasan Palestin, Zacharia al-Agha. Lebih 43,000 orang terbunuh sejak kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bertempur dengan tentera Bashar. Sebahagian besar penduduk tempatan mahu Bashar dugulingkan ekoran kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara di negara ini. - Agensi | |
Pengumpul pakaian siri televisyen mahu bina muzium Posted: Pengumpul pakaian siri televisyen mahu bina muziumDUA helai pakaian yang pernah digunakan dalam siri televisyen Star Trek juga berada dalam simpanan Comisar. PHOENIX, Amerika Syarikat - Seorang peminat dan bekas penulis skrip televisyen, James Comisar merancang untuk membina sebuah muzium televisyen di sini, dalam negeri Arizona. Dia mengumpulkan banyak koleksi pakaian watak-watak dalam siri televisyen dan filem termasuk dari tahun 1930-an sehingga kepada sepasang kasut but yang dipakai pelakon Larry Hagman dalam drama bersiri Dallas. Comisar juga mempunyai koleksi peralatan yang digunakan dalam siri-siri televisyen. Jika dia menjual semua koleksinya, dia akan menjadi seorang jutawan, lapor agensi berita AP semalam. Pada bulan lalu, terdapat seorang peminat membayar sebanyak AS$480,000 (RM1.47 juta) untuk memiliki sehelai pakaian yang dipakai Judy Garland dalam filem The Wizard of Oz pada tahun 1939. "Saya mahu membina sebuah muzium untuk menceritakan segala-galanya tentang perkembangan televisyen sejak lebih 60 tahun lalu," katanya. Mempunyai keluasan sekitar 4,645 meter persegi, Comisar, 48, berkata, dia memerlukan AS$35 juta (RM11.42 juta) untuk membina muzium berkenaan yang menyimpan koleksinya. Menurutnya, dia berharap muzium tersebut dapat dibuka kepada orang ramai dalam tempoh tiga tahun lagi. Setakat ini, Comisar menggunakan wang sendiri untuk merealisasikan impiannya tetapi dia berharap idea tersebut dapat menarik sumbangan penderma-penderma yang berminat. Dia mengumpul koleksi itu sejak 25 tahun lalu. Comisar berkata, mengumpulkan koleksi itu amat mudah bagi seseorang yang dapat memasuki studio televisyen. Menurutnya, kebanyakan barang-barang itu hanya dibuang atau diberikan kepada orang lain selepas penerbitan sesebuah siri televisyen ditamatkan. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan