Ahad, 9 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dua juruhebah diancam bunuh

Posted: 08 Dec 2012 04:29 AM PST

LONDON: Kematian jururawat yang berdedikasi, Jacintha Saldanha semalam mencatatkan peristiwa hitam dalam kisah kehamilan Duchess of Cambridge. Pasangan diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton amat terkejut mendengar berita kematian Jacintha yang dipercayai membunuh diri.

Jacintha, 46, diperdaya apabila menyambungkan panggilan palsu daripada juruhebah stesen radio Australia, 2DayFM, Mel Greig dan Michael Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles kepada jururawat yang merawat Kate. Ibu dua anak itu ditemui mati di kediamannya dekat Hospital Raja Edward VII di pusat bandar London, di mana Kate dirawat.


Dalam kenyataannya, Istana St James berkata: "Duke dan Duchess of Cambridge sangat bersedih apabila mendapat tahu mengeanai kematian Jacintha. "Mereka dilayan dengan baik sekali oleh semua kakitangan di hospital berkenaan. Doa dan ingatan mereka ditujukan khas buat Jacintha, keluarga dan rakannya dalam detik sukar ini," kata kenyataan itu.

Ketua Eksekutif Hospital terbabit, John Lofthouse berkata, semua kakitangan hospital terkejut dengan kehilangan jururawat yang sangat disayangi dan dihargai ramai itu.


"Jacintha seorang jururawat yang hebat, sangat dihormati dan popular di kalangan kakitangan kami. "Kami dapat mengesahkan Jacinta adalah mangsa kepada panggilan palsu yang dibuat ke hospital ini," katanya.


Sementara itu, Mel dan Christian yang bertanggungjawab membuat panggilan palsu dan dikaitkan dengan kes bunuh diri Jacintha tidak bertugas semalam selepas menerima ancaman bunuh dari seluruh dunia.

Mel dan Christian yang berbangga dengan panggilan palsu dilakukan, bagaimanapun, turut terkejut dengan berita kematian jururawat terbabit dan meminta maaf selepas dihujani mesej kebencian di Twitter dan Facebook ekoran tragedi itu.


Mereka juga membatalkan akaun Twitter masing-masing sejurus mendapat tahu mengenai komen pengguna Twitter yang tersebar dengan meluas mendakwa "ada darah di tangan mereka". Dalam satu kenyataan, stesen radio Australia itu berkata: "Dua juruhebah kami memutuskan untuk tidak bertugas hingga notis diberitahu kelak sebagai tanda menghormati tragedi yang berlaku." Personaliti media dan bintang The Apprentice BBC1, Lord Sugar berkata di Twitter, kematian Jacintha adalah kes bunuh diri yang tragik sambil menambah pihak yang memperdayanya "patut ditahan dan didakwa".

Bagaimanapun, menurut polis Australia, kedua-dua juruhebah itu tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang. Jurucakap polis New South Wales berkata: "Juruhebah radio itu tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang Australia," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Penunjuk perasaan tendang, pijak polis

Posted: 08 Dec 2012 03:40 AM PST

WELLINGTON: Satu bantahan untuk mengganggu perbincangan perdagangan Kerjasama Trans Pasifik (TPP) di New Zealand semalam bertukar ganas apabila penunjuk perasaan menyerang anggota polis.

Dua pengawal keselamatan ditendang beberapa kali dan seorang wanita dituduh memijak kepala seorang anggota polis apabila penunjuk perasaan cuba memasuki bangunan SkyCiti di Auckland, tempat perbincangan berlangsung.


Laporan media mengatakan seramai 300 orang menentang 50 anggota polis dan sekumpulan pengawal keselamatan di bangunan itu sebelum membakar kotak berhampiran pintu masuk pusat persidangan itu. "Pengawal keselamatan cuba menghalang penunjuk perasaan memasuki bangunan itu, tetapi mereka diserang dan ditendang beberapa kali. Anggota bomba dihubungi ke tempat kejadian untuk membantu," kata polis dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09



Tiada ulasan:

Catat Ulasan