Kosmo Online - Dunia |
Posted: Obama menang presiden AS
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi pilihan raya presiden AS dengan menewaskan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney kelmarin. Obama, 51, yang merupakan penduduk kulit hitam pertama menjadi presiden pada 2008 memenangi dengan mudah 303 undi pemilih berbanding Romney, 65, yang memperoleh 206 undi. Obama menang di 26 negeri tanpa mengambil kira pengiraan di Florida. AS mempunyai 50 buah negeri. Kemenangan Obama pada pilihan raya kali ini adalah di kebanyakan negeri yang pernah dimenanginya pada pilihan raya 2008. Obama turut mencipta sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama yang memegang jawatan presiden AS bagi tempoh dua penggal. Sementara itu di negeri Florida memperuntukkan 29 undi pemilih kepada pemenang undi popular. Pengiraan undi di Florida masih belum diketahui setakat pukul 11 malam semalam waktu Malaysia. Bagaimanapun, Obama dari parti Demokrat sudah dianggap memenangi pilihan raya presiden kerana beliau hanya memerlukan 270 daripada 538 undi pemilih untuk memegang jawatan tersebut buat penggal kedua. Pada pilihan raya 2008, Obama memenangi 365 undi pemilih berbanding pencabarnya, Senator McCain dari parti Republikan dengan 173 undi. Undi pemilih itu diberikan kepada calon presiden yang memenangi undi popular terbanyak di sesebuah negeri kecuali di Maine dan Nebraska. Negeri Maine menetapkan dua undi pemilih diberikan kepada pemenang undi keseluruhan terbanyak manakala dua lagi diberikan kepada calon presiden yang memperoleh undi paling banyak di dua daerah Kongres AS. Bagaimanapun, di negeri tersebut, Obama menyapu bersih keempat-empat undi tersebut. Pada tahun 2008, Obama mendapat empat undi pemilih di negeri itu. Di negeri Nebraska, tiga undi pemilih diberikan kepada pemenang undi terbanyak di tiga daerah Kongres AS manakala dua lagi diberikan kepada calon presiden yang memenangi paling banyak undi popular. Romney menyapu bersih kesemua undi pemilih di negeri itu. Pada tahun 2008, Obama hanya memperoleh satu undi pemilih di negeri berkenaan. Pada pilihan raya presiden menyaksikan, bilangan undi pemilih yang diperoleh Romney lebih banyak daripada McCain yang menentang Obama pada pilihan raya 2008. Pada pilihan raya 2008, Obama menang di Carolina Utara dan Indiana. Namun pada kali ini, Romney menang di kedua-dua negeri itu. Menurut akhbar Wall Street Journal, Romney menang 60 peratus undi penduduk kulit putih manakala Obama hanya memperoleh 38 peratus kurang lima peratus pada pilihan raya 2008. Romney merupakan bekas gabenor Massachusetts dan seorang jutawan bertanding buat kali pertama menentang Obama. - Agensi | |
Posted: Obama janji bawa pembaharuan
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin berjanji untuk melakukan pembaharuan selepas dia memenangi pilihan raya presiden AS. Presiden yang ke-44 itu menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan kemenangannya di Chicago selepas keputusan pilihan raya diketahui. "Pada malam tadi, anda mengundi untuk tindakan bukan dasar seperti kebiasaannya. "Dalam tempoh beberapa minggu dan bulan, saya memandang ke hadapan untuk bekerja dengan para pemimpin daripada pelbagai pihak untuk menemui cabaran baharu yang akan kita selesaikan bersama, mengurangkan defisit, memperbaharui kod cukai dan memperbaiki sistem imigresen," kata Obama. Beliau juga meminta penduduk AS untuk terus menyimpan harapan tentang masa depan AS. "Saya meminta anda untuk meneruskan harapan itu. "Saya selalu percaya bahawa harapan merupakan suatu perkara yang degil di dalam diri kita yang wujud," tambahnya. Pencabar Obama, bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney mengaku kalah pada pilihan raya itu. "Ini merupakan waktu cabaran hebat untuk negara kita. Saya berdoa presiden akan berjaya mengetuai negara kita," katanya. Sementara itu, pergerakan Taliban semalam meminta Obama menumpukan masalah di dalam negaranya dan menarik semua anggota tenteranya dari Afghanistan dengan segera. "Obama menyedari bahawa Amerika letih dengan peperangan dan kos perang itu. "Beliau perlu menarik semua anggota tentera dari negara kita dengan segera bagi mengelak lebih ramai anggota tentera Amerika," kata jurucakap Taliban, Zabiulla Mujahid dalam satu kenyataan. Terdapat 67,000 anggota tentera AS yang menentang anggota Taliban. Lebih 2,000 anggota tentera AS terbunuh sejak 2001 di Afghanistan. - Agensi | |
Ikan kap panggang jadi menu istimewa di Iraq Posted: Ikan kap panggang jadi menu istimewa di IraqSEORANG penjaja memanggang seekor ikan kap di Baghdad pada 5 Oktober lalu. BAGHDAD - Rata-rata pengunjung yang tiba di al Khadra, Iraq pasti akan memilih menu istimewa masgouf yang merupakan santapan popular Iraq dengan menggunakan ikan kap yang dipanggang. Ikan segar itu dibelah dua dan dimasak dengan kombinasi bawang, rempah-ratus dan sos tomato. Haiwan tersebut kemudian dipanggang di atas rak di dalam sebuah lubang yang dipenuhi bara api. Pelanggan dikenakan bayaran sekitar 40,000 dinar (RM100) untuk setiap hidangan masgouf. Harga untuk hidangan ini dipercayai mahal mengikut standard restoran di Iraq. Bagaimanapun, kebanyakan penduduk di sini memilih untuk membeli ikan di pasar dan memasaknya di rumah. Seorang penduduk Iraq Umm Ahmed memilih seekor ikan kap di sebuah pasar di Shawka yang terletak di pusat bandar Baghdad untuk dijadikan menu masgouf. "Saya memasak menu masgouf dan ia menjadi memori untuk anak dan suami saya. "Mereka terbunuh dalam satu serangan pada tiga tahun lalu, semasa solat Jumaat," katanya sedih. Seorang peniaga, Harith Faraj, yang mengusahakan sebuah gerai jualan ikan segar bersetuju dengan mendakwa bahawa harga ikan lebih murah berbanding daging. "Sekilo ikan berharga 6,500 dinar (RM15.25). "Kini, ikan semakin mampu dibeli oleh setiap orang. Beberapa tahun lalu ia terlalu mahal," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan