Khamis, 8 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Amerika ditimpa bencana Obama menang: Trump

Posted: 08 Nov 2012 02:21 PM PST

Washington: Hartawan hartanah terkenal Amerika Syarikat, Donald Trump, nyata bengang dengan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya presiden yang berakhir kelmarin.

Trump yang menyokong calon Republikan, Mitt Romney, semalam menggunakan Twitter untuk menghina kemenangan Obama sebelum membuangnya selepas ramai membidasnya.

Ketika meluahkan kekewaannya, Trump menyifatkan kemenangan Obama sebagai satu penipuan dan bencana kepada demokrasi.

Malah, hartawan berusia 66 tahun itu menggesa revolusi dilancarkan ke atas sistem politik Amerika termasuk mengadakan perhimpunan di Washington DC.

Penerbit program realiti 'The Apprentice' itu menyiarkan sembilan mesej kepada hampir 1.9 juta pengikutnya, sejurus selepas Obama diisytiharkan pemenang.

"Rancang semula strategi. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kita perlu berarak di Washington dan henti ejekan ini. Negara itu sudah berpecah. Lawan dan hentikan ketidakadilan menjijikkan ini. Dunia sedang ketawakan kita.

"Pilihan raya ini satu penipuan. Kita tidak demokrasi. Negara kita kini menghadapi masalah serius terburuk. Negara kita sudah berpecah.
"Keputusan pilihan raya ini mengikut undian Kolej Pemilih adalah bencana kepada demokrasi," tulisnya.

Trump meminta ahli politik Republikan tidak berputus asa dan menggesa ditamatkan Obamacare, skim insurans yang diperbaharui Obama.

Trump kemudian membuang mesejnya yang kemudian didapati salah apabila menyatakan Obama mengalahkan Romney meskipun tidak menang undi popular.

Namun, komennya mencetuskan reaksi balas beribu-ribu orang lain termasuk selebriti seperti Alec Baldwin, penyokong kuat Obama.

Baldwin menulis: "@realdonaldtrump.

Anda percaya kepada pengundi apabila mereka mengundi peserta The Apprentice. Mengapa tidak sekarang?"

Penerbit eksekutif rancangan komedi, Steve Levitan, pula menulis: "Trump, adakah anda tonton ucapan kekalahan Romney? Itu sebenarnya contoh seorang yang murah hati dan rambut yang elok."

Pembaca berita NBC News, Brian Williams, juga mengkritik Trump dengan mengatakan hartawan itu tidak lagi relevan.

Program realiti Trump disiarkan oleh saluran itu.

Trump tidak bertanggungjawab Williams memberitahu penonton: "Kenyataan Trump sudah diketahui ramai. Anda juga patut tahu mengenainya."

"Trump sudah tidak lagi relevan dan bertindak tidak bertanggungjawab malam ini," katanya sebelum membaca beberapa kiriman.

Ketika berkempen, Trump turut campur tangan termasuk membantu memeterai perjanjian pelik menderma AS$5 juta (RM15 juta) kepada badan kebajikan jika Obama bersetuju menyiarkan rekod kolej dan pasportnya.

48 maut gempa di Guatemala

Posted: 08 Nov 2012 02:18 PM PST

San Marcos: Gempa bumi magnitud 7.4 melanda kawasan dekat pantai Guatemala semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh.

Ramai lagi dipercayai tertimbus selepas gempa melanda selain meranapkan rumah, kenderaan, merosakkan jalan raya dan memaksa perpindahan penduduk sehingga Mexico City.

Kebanyakan yang maut tertimbus di sekitar San Marcos, negeri pergunungan dekat sempadan Mexico.

Gempa itu juga membawa kepada tanah runtuh menyebabkan laluan lebuh raya tersekat serta menyukarkan operasi menyelamat mangsa.

Gegaran itu adalah yang terkuat melanda sebuah negara Amerika Tengah sejak 1976 apabila gempa magnitud 7.5 membunuh lebih 20,000 penduduk.

Presiden Guatemala, Otto Perez yang mengesahkan angka korban selepas pulang ke ibu negara, Guatemala City dari San Marcos.

Amat menyedihkan Katanya, seramai 23 orang lagi masih hilang dan 153 penduduk diberi perlindungan sementara.
"Keadaan amat menyedihkan bagi mereka yang menunggu anggota keluarga dikeluarkan selepas tertimbus.

"Ini satu tragedi dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka," kata Perez di San Marcos selain mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Anggota penyelamat bertopi kuning berusaha semalaman untuk menarik keluar mayat di San Pedro Sacatepequez, San Marcos, sambil diperhatikan penduduk yang masih terkejut. REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan