Ahad, 30 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pesawat terhempas di Bandung

Posted:

Pesawat terhempas di Bandung

BEBERAPA anggota penyelamat memadamkan kebakaran pesawat ringan 202 Bravo yang terhempas di bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia di Bandung semalam.


JAKARTA - Sebuah pesawat ringan 202 Bravo yang sedang mengadakan pertunjukan aerobatik di Bandung Air Show 2012 di Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung terhempas semalam mengakibatkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut.

Pesawat itu jatuh di kawasan bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU).

Mangsa yang terbunuh merupakan bekas pegawai TNI-AU.

Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.42 pagi, lima minit selepas pesawat itu berlepas untuk persembahan aerobatik.

Berikutan kejadian itu, pihak penganjur telah membatalkan acara pertunjukan udara seterusnya sebagai tanda berkabung.

Bandung Air Show 2012, satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-202 Kota Bandung yang memasuki hari ketiga semalam diteruskan hanya dengan acara pameran.

Sejumlah 28 pesawat termasuk dari beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan Australia mengambil bahagian pada pertunjukan udara yang dijadual berlangsung selama empat hari mulai 27 September lalu. - Bernama

Wanita mengaku menghendap Cotillard

Posted:

Wanita mengaku menghendap Cotillard

NEW YORK - Seorang wanita, Teresa Yuan mengaku bersalah menghendap aktres Marion Cotillard (gambar) yang pernah membintangi filem Batman, The Dark Knight Rises.

Yuan membuat pengakuan itu di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn di sini kelmarin.

Pihak pendakwa raya menyatakan Yuan telah menghantar sebanyak 504 e-mel dan 120 rakaman video kepada sebuah laman web untuk para peminat Cotillard selama empat hari pada tahun lalu.

Sebahagian rakaman video yang disiarkan di mahkamah itu menunjukkan Yuan kelihatan berada dalam keadaan separuh bogel, berdesis seperti seekor kucing dan bercakap tentang permainan pistol.

Yuan boleh dihukum penjara sehingga 16 bulan. Hakim akan memutuskan hukuman terhadapnya. - Agensi

Penerbit filem hina Nabi Muhammad SAW tukar nama

Posted:

Penerbit filem hina Nabi Muhammad SAW tukar nama


NAKOULA kini dikenali sebagai Youssef.


LOS ANGELES - Pihak pendakwa raya persekutuan di sini menyatakan, penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula kini menggunakan nama lain yang diiktiraf undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Penolong Peguam Negara AS, Robert Dugdale kelmarin berkata, Nakoula, 55, kini dikenali sebagai Mark Basseley Youssef.

Nama itu terdapat dalam rekod mahkamah.

Beberapa dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Daerah Orange menunjukkan dia diberikan hak menukar nama pada 2002.

Nama penerbit tersebut ditukar kepada Youssef kerana Nakoula ialah nama seorang perempuan dan ia mencetuskan masalah kepadanya.

Youssef dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu selepas pihak berkuasa menyatakan dia melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Lelaki itu dibebaskan pada Jun 2011 setelah menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana didapati bersalah menipu bank pada 2010.

Pendakwa raya Robert Dugdale berkata, dia dituduh melakukan lapan kesalahan termasuk membuat kenyataan palsu kepada para pegawai perunding cara dan menggunakan tiga nama yang berlainan.

Hakim Suzanne Segal turut memutuskan lelaki tersebut ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin kerana bimbang dia akan melarikan diri selain dianggap berbahaya kepada masyarakat.

Dia ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di sini.

Youssef yang merupakan penganut Kristian Koptik akan ditahan sehingga seorang hakim memutuskan sama ada dia melanggar syarat-syarat pembebasannya.

Dia yang berketurunan Mesir kini merupakan warga AS.

Youssef menyembunyikan diri pada 15 September lalu sebelum ditangkap pada Khamis lalu.

Rumahnya di Cerritos di sini kini menunggu pembeli baharu.

Filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu telah menyebabkan tunjuk perasaan ganas berlaku di beberapa buah negara sehingga mengakibatkan 50 orang mati baru-baru ini. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan