Kosmo Online - Dunia |
- Sony perkenal PlayStation 3
- Majalah Perancis siar karikatur hina nabi
- Calon Parti Republikan dikritik hebat
Posted: Sony perkenal PlayStation 3PLAYSTATION 3 dipamerkan pada satu sidang media di Tokyo, semalam. Sony Corp. menyatakan gajet terbaharunya itu adalah lebih kecil, nipis dan ringan. TOKYO - Syarikat pengeluar barangan elektrik, Sony Corp. memperkenalkan gajet permainan videonya iaitu PlayStation 3 (PS3) yang lebih kecil, nipis dan ringan menjelang cuti akhir tahun nanti. Langkah itu dilakukan sebagai persediaan untuk menangani saingan yang semakin sengit daripada telefon pintar. Pengumuman itu dibuat semalam, sehari sebelum menjelang acara tahunan Tokyo Game Show yang akan dihadiri oleh pencipta-pencipta permainan video bersama produk masing-masing. Model terbaharu PS3 itu mempunyai saiz yang hampir sama dengan sebuah komputer riba dan separuh lebih kecil berbanding saiz model asal yang diperkenalkan pada tahun 2006. Model terbaharu itu ditawarkan dengan dua pilihan cakera keras dalaman lebih besar iaitu 500 gigabit dan 250 gigabit berbanding model sedia ada iaitu 320 dan 160 gigabit. Pelancaran global akan bermula pada 25 September di Amerika Utara menerusi versi PS3 yang memiliki kapasiti cakera dalaman 250 gigabait. Gajet itu dijual pada harga AS$269 (RM823) seunit. - AP |
Majalah Perancis siar karikatur hina nabi Posted: Majalah Perancis siar karikatur hina nabiKETUA editor Charlie Hebdo, Charb menunjukkan muka PARIS - Sebuah majalah Perancis menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad semalam sekali gus memburukkan lagi ketegangan global berhubung filem Innocence of Muslims yang memperlekehkan agama Islam. Perkembangan tersebut menyebabkan Perancis meningkatkan kawalan keselamatan di semua kedutaan negara itu. Karikatur biadap itu disiarkan majalah mingguan tempatan, Charlie Hebdo, beberapa hari selepas bantahan ganas tercetus dari Benua Asia hingga ke Afrika kerana memprotes filem Innocence of Muslims. Setakat ini, lokasi pemerintah Amerika Syarikat (AS) terutama kedutaan negara kuasa besar itu menjadi sasaran penunjuk perasaan. Keganasan berkaitan filem amatur tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di tujuh buah negara termasuk Duta AS yang maut di Libya. AS turut menutup sementara konsulatnya di Jakarta ekoran demonstrasi serupa, manakala beratus-ratus penunjuk perasaan membakar patung Presiden Barack Obama di ibu negara Sri Lanka, Colombo. Kementerian Luar Perancis mengeluarkan amaran perjalanan semalam dengan menggesa rakyatnya yang berada di dunia Islam supaya berwaspada dan mengelakkan perhimpunan awam dan mengunjungi "bangunan sensitif" seperti bangunan keagamaan dan kedutaan Barat. Mengulas berhubung tindakan majalah Charlie Hebdo, Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault berkata, kebebasan bersuara adalah terjamin di Perancis tetapi menegaskan kebebasan tersebut perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab dan hormat kepada bangsa dan agama lain. Menteri Luar, Laurent Fabius pula mengeluarkan komen lebih keras apabila menyifatkan tindakan Charlie Hebdo menyiarkan karikatur tersebut umpama mencurahkan minyak ke dalam api. Dalam perkembangan berkaitan, pasukan polis pencegah rusuhan berkawal di luar beberapa pejabat majalah berkenaan. Tahun lalu, pejabat majalah itu dibaling dengan bom api selepas ia menerbitkan edisi memperlekehkan gerakan radikal Islam. Ketua Editor Charlie Hebdo yang dikenali sebagai Charb diletakkan di bawah perlindungan polis selama setahun selepas insiden tersebut. Ditanya berhubung kontroversi terbaharu majalah berkenaan, Charb mempertahankan keputusan untuk menyiarkan karikatur biadap tersebut. "Nabi Muhammad bukan suci buat saya," katanya dalam satu temu bual di sebuah pejabat majalah berkenaan di sini. "Saya tidak menyalahkan orang Islam kerana tidak tertawa melihat kartun kami. Saya hidup di bawah undang-undang Perancis dan bukan undang-undang al-Quran," tambahnya. Menurut ketua editor berkenaan, dia tidak menyesal dan tidak berasa bertanggungjawab berhubung sebarang keganasan yang bakal tercetus ekoran penerbitan tersebut. "Saya bukan orang yang keluar ke jalan-jalan raya sambil membawa batu dan raifal automatik Kalashnikov," ujarnya. - AP |
Calon Parti Republikan dikritik hebat Posted: Calon Parti Republikan dikritik hebatCALON pilihan raya Presiden daripada Parti Republikan, Mitt Romney berucap pada kempen politik di bandar Salt Lake City, Utah kelmarin. WASHINGTON - Peluang calon Parti Republikan, Mitt Romney untuk memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tercalar kelmarin selepas satu klip video rahsia mendapati beliau menolak perjuangan rakyat Palestin dan usaha damai di Asia Barat. Komen Romney itu membangkitkan kemarahan perunding keamanan Palestin, Saeb Erakat yang menyifatkan kenyataan tersebut tidak boleh diterima. Klip video tersebut turut memberi peluang kepada kem Presiden Barack Obama untuk mengkritik Romney sebagai calon yang tidak sesuai dipilih sebagai Presiden AS. Kenyataan beliau dirakam pada satu majlis mengumpul dana Republikan di AS pada 17 Mei lalu. Pada acara tersebut, Romney, 65, turut menyelar penyokong Demokrat sebagai "mangsa" yang hidup bergantung kepada subsidi dan bantuan pemerintah. Komen panas Romney yang dibuat pada majlis di Florida itu didedahkan oleh sebuah majalah AS, Mother Jones, kelmarin. Ditanya sama ada isu Palestin boleh diselesaikan, Romney berkata, rakyat Palestin tidak berminat untuk berdamai dan jalan ke arah keamanan mustahil untuk dicapai. "Saya melihat rakyat Palestin tidak mahu melihat keamanan. Mereka komited kepada kemusnahan dan kehancuran Israel, berhubung isu sukar ini (usaha damai Asia Barat), saya katakan tiada jalan penyelesaian," katanya. Mengulas komen Romney, White House menyatakan bahawa beliau tidak layak untuk mentadbir AS kerana dua Presiden AS sebelum Obama iaitu Bill Clinton dan George W. Bush berusaha keras ke arah keamanan di Asia Barat. Clinton merupakan anggota Demokrat, manakala Bush pula ahli Republikan. Pilihan raya Presiden AS dijadual diadakan pada 6 November depan yang menyaksikan pertembungan antara Romney dan Obama. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan