Sabtu, 21 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rosakkan pakaian demi seni

Posted: 20 Jul 2012 02:52 PM PDT

LONDON: Walaupun kebanyakan wanita mahu memastikan pakaian pengantin mereka berada dalam keadaan terbaik, sesetengah yang lain sengaja merosakkannya atas nama seni.

Amalan aneh dikenali sebagai Trash The Dress itu semakin popular di seluruh dunia, dengan ramai wanita menempah jurugambar bagi merakamkan gaun pengantin mereka dirosakkan. Tujuannya - mencipta imej kontras yang berkesan bagi mengiringi keindahan gaun pengantin yang dipakai mereka. Hasil daripada kerja seni itu memang dramatik.


Gambar yang tercipta juga seakan imej yang sering dipaparkan dalam majalah fesyen popular. Pelbagai lokasi dipilih untuk mengabadikan detik itu, termasuk pantai, tempat pembuangan sampah, bangunan tinggal dan jalan raya. Pengantin mungkin ditonjolkan dalam siri gambar yang pelbagai, atau jika tidak, hanya menggunakan satu gambar. Biasanya, apa yang diingini pengantin perempuan hanyalah imej yang unik dan luar biasa untuk menghiasi dinding rumah mereka. Satu rencana mengenai kecenderungan itu terbitan Persatuan Wartawan Perkahwinan menyatakan, gambar begitu turut digemari pengantin lelaki. Menurut penulisnya, pasangan pengantin mahu majlis perkahwinan mereka dikenang melalui gambar yang istimewa.

"Mereka mahu detik spontan dirakam dan pada masa sama, pasangan terbabit juga mahu jurugambar yang mampu menghasilkan imej kreatif dalam sesi bergambar," kata penulis rencana itu.


Disebabkan keinginan itu, kata rencana berkenaan, pasangan pengantin di seluruh dunia memakai gaun perkahwinan mereka untuk memasuki gua, berjalan di taman hiburan terbiar, merayau di ladang jagung atau meredah hutan.


Imej pengantin yang disimbah wain merah, misalnya, dirakam jurugambar Jeff Cooke, baru-baru ini.

Kata Cooke, pasangan itu hanya dikenali sebagai Bri dan Greg mengatur sesi fotografi bagi memperingati ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Satu lagi imej dirakam Cooke menunjukkan seorang wanita mengecat gaunnya dengan warna hitam. Seperti dapat disaksikan pada gambar itu, wujud "keghairahan, tenaga dan emosi" ketika aksi itu dirakamkan. Sebagai bukti amalan berkenaan begitu popular, majlis besar-besaran Trash The Dress pernah diadakan di Belanda pada September 2009 dengan lebih 150 wanita menyertainya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21


Pemilik anjing ganas dipenjara 4 bulan

Posted: 20 Jul 2012 02:48 PM PDT

LONDON: Seorang pemilik anjing dipenjara empat bulan semalam, selepas haiwan peliharaannya menyerang dan mencederakan budak berusia enam tahun.

Erfan Ali parah selepas anjing jenis Rhodesian Ridgeback biasanya dilatih untuk membunuh singa menyelinap melalui lubang pagar dari rumah sebelah ketika dia membantu ibunya mengangkat pakaian dari penyidai. Kedua-dua muka Erfan cedera dibaham anjing bernama Tyson itu.


Mahkamah Gabalfa di Cardiff diberitahu, Erfan terselamat apabila anjing berkenaan akhirnya berjaya diusir daripada terus menyerang budak terbabit.

Pemilik Tyson, Kevin Large, 27, mengaku gagal mengawal anjing 18 bulan itu.


Anjing berkenaan kemudian dibunuh.


Pendakwa, Huw Evans, berkata Erfan bermain di halaman rumahnya ketika Tyson membaham tangan kanannya. "Mangsa menjerit kesakitan dan ibunya cuba menariknya ke arah pintu dapur yang terbuka.

"Dengan terus memegang Erfan dan menolak anjing itu, akhirnya pasangan ibu dan anak itu berjaya masuk ke rumah," katanya.


Bagaimanapun, kata Evans, disebabkan gagal menutup pintu dengan cepat, Tyson mengekori mereka dan membaham muka Erfan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21


Tiada ulasan:

Catat Ulasan