Berita Harian: Dunia |
Posted: 14 Jul 2012 02:31 PM PDT Ahli parlimen bersama 24 lagi maut serangan bunuh diri Mazar-i-Sharif: Seorang ahli parlimen terkenal di wilayah ini dan sekurang-kurangnya 24 lagi terkorban dalam satu serangan bunuh diri ketika majlis perkahwinan anak perempuan beliau semalam, manakala lebih 100 lagi cedera kata pihak berkuasa. "Penyerang dikatakan memeluk ahli parlimen berkenaan, Ahmad Khan, seorang bekas komander militia di hadapan tetamu majlis sebelum meletupkan bom yang diikat pada pinggangnya," kata jurucakap pasukan keselamatan. Setakat ini tiada siapa mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, manakala jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid berkata, beliau tidak mengetahui mengenai serangan oleh kumpulan militan di utara Afghanistan. Mayat dibawa ke hospital "Mangsa yang terkorban termasuk Ahmad Khan dan ketua perisikan Samangan," katanya. Jurucakap pasukan keselamatan, Lal Mohammad Ahmadzai berkata angka kematian mungkin lebih tinggi. "Setakat ini kami merekodkan 25 orang termasuk Ahmad Khan yang terkorban dan lebih 100 cedera," katanya. Serangan di Samangan menyamai ciri pemberontakan Taliban yang merebak dari utara ke selatan dan timur, di mana mereka secara tradisinya melakukan serangan. Afghanistan Utara secara biasanya aman namun keganasan berlaku sekali-sekala. April lalu, satu serangan bunuh diri di wilayah Faryab mengorbankan 12 orang, kebanyakannya orang awam. Pada 2011, satu serangan bunuh diri dilakukan Taliban mengorbankan Jeneral Daud Daud, seorang komander polis wilayah dan pernah menjadi ketua anti-dadah di Taloqan, ibu kota wilayah utara Takhar. Serangan terbaru Serangan majlis perkahwinan itu adalah terbaru ke atas ahli politik. Seorang pegawai hal ehwal wanita tempatan dibunuh Jumaat lalu, apabila sebutir bom yang diletakkan pada kenderaannya meletup, dalam serangan yang turut menyebabkan suami dan anak perempuannya parah, kata polis. Pengarah hal ehwal wanita wilayah Laghman, Hanifa Safi, terbunuh apabila sebutir bom magnetik diletakkan pada kenderaannya. Jurucakap kerajaan wilayah Laghman, Sarhadi Zwak menyalahkan pemberontak Taliban atas serangan terbabit. - AFP |
Posted: 14 Jul 2012 02:27 PM PDT Banjir di barat daya Jepun makin buruk Tokyo: Kira-kira 400,000 orang diarah atau dinasihatkan berpindah di barat daya Jepun semalam selepas hujan lebat masuk hari ketiga berturut-turut menyebabkan 29 maut atau dikhuatiri hilang, kata pihak berkuasa dan media. Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran lebih banyak kejadian tanah runtuh dan banjir di pulau selatan utama Kyushu ketika hujan lebat sehingga 11 sentimeter (4.3 inci) setiap jam dicatat semalam. Diarah pindah Mereka diarah berpindah ke tempat perlindungan ditetapkan seperti sekolah dan kemudahan awam lain. Hampir 140,000 penduduk lain dinasihat meninggalkan rumah mereka bagi mengelak kemungkinan bencana, menurut pegawai yang dihubungi AFP di empat wilayah terjejas di Kyushu. Di sepanjang sungai Yamakuni di wilayah Oita, paras air dilihat sampai ke bumbung sebuah restoran tepi sungai sebelum tenggelam kemudian. Di wilayah Fukuoka saja, 78,600 penduduk diarah meninggalkan kediaman mereka ketika air sungai melimpah di berpuluh kawasan dan 181 kejadian tanah runtuh berlaku, kata seorang pegawai. Kira-kira 820 buah rumah rosak dan tiga jambatan dihanyutkan, kata jurucakap wilayah Fukuoka Hiroaki Aoki kepada AFP menerusi telefon. "Dua lelaki diselamatkan daripada tanah runtuh tetapi keadaan mereka tidak diketahui. "Seorang wanita masih terperangkap "Saya tidak dapat mengingati kejadian banjir yang menjangkau kawasan lebih luas di wilayah kami,"katanya. Lebih 75 sentimeter hujan turun dalam masa 72 jam di bandar Aso, yang terletak di kaki gunung berapi di wilayah Kumamoto, kata agensi kaji cuaca itu. Angka kematian kekal 20 semalaman, dengan 19 kematian akibat tanah runtuh dan runtuhan rumah di sekitar dan berhampiran Aso. - AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan