Khamis, 28 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pejabat Microsoft dibakar

Posted:

Pejabat Microsoft dibakar

SEBUAH van hangus terbakar di pejabat Microsoft di Athens semalam.


ATHENS - Beberapa penyerang membakar pejabat syarikat perisian komputer, Microsoft Corp di sini menjelang subuh semalam, kata polis.

Mereka merempuh pintu masuk dengan sebuah van mini sebelum membakar kenderaan tersebut yang dipenuhi tong berisi gas.

Polis antipengganas dan pihak berkuasa menolak serangan itu didalangi sebuah kumpulan pelampau.

Menurut polis, dua atau tiga lelaki bertopeng mengusir dua pengawal keselamatan sekitar pukul 3.45 pagi waktu tempatan.

Kebakaran dan letupan telah merosakkan pintu masuk dan tingkat bawah bangunan yang menempatkan ibu pejabat korporat gergasi teknologi Amerika Syarikat itu.

Seorang jurucakap bomba memberitahu, terdapat kerosakan teruk di tingkat bawah bangunan dan menganggarkan kerugian sebanyak AS$75,000 (RM239,289).

Syarikat Microsoft diasaskan oleh bilionair Bill Gates dan Paul Allen. - Agensi

Stesen TV di Syria diserang

Posted:

Stesen TV di Syria diserang

BANGUNAN ibu pejabat Al-Ikhbariya rosak terusk selepas dibom sekumpulan lelaki bersenjata di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu ibu pejabat stesen televisyen propemerintah, Al-Ikhbariya di sini semalam.

Tiga buah bangunan ibu pejabat itu dibom manakala tiga pekerja mati dalam kejadian tersebut.

Serangan itu dilancarkan selepas Presiden Bashar Al-Assad kelmarin membuat perisytiharan bahawa Syria kini berada dalam peperangan.

Beberapa pegawai perisikan Amerika Syarikat memberitahu, rejim Bashar akan terus bertahan dan bersiap sedia untuk menghadapi peperangan melibatkan tempoh masa yang panjang bagi mementang kumpulan pemberontak.

Serangan itu berlaku pada waktu subuh.

Ibu pejabat stesen tersebut terletak sekitar 20 kilometer dari sini.

Namun, stesen itu menyambung siaran tidak lama selepas serangan tersebut berakhir.

Dalam laporan beritanya, ia menyiarkan keadaan dinding bangunan pejabat dua tingkat yang berlubang akibat dibedil penyerang.

Darah turut berlumuran di lantai bangunan itu.

"Saya terdengar satu letupan kecil diikuti bunyi letupan kuat dengan beberapa lelaki bersenjata menyerbu masuk.

"Mereka menggeledah semua pejabat dan memusnahkan bilik berita," kata seorang pekerja di sebuah bangunan pejabat berkenaan.

Satu lagi bangunan hampir musnah akibat dibom kumpulan pemberontak.

Syria dilanda pergolakan selepas para pemberontak bertempur dengan tentera rejim Bashar sejak Mac tahun lalu.

Lebih 14,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Para pemberontak itu menentang kepimpinan Bashar yang dianggap melakukan salah guna kuasa. Kumpulan pemberontak itu melancarkan tentangan terhadap Bashar selepas para penunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir berjaya menyebabkan kedua-dua presiden di negara tersebut meletakkan jawatan. - Agensi

The Avengers filem No.3 di dunia

Posted:

The Avengers filem No.3 di dunia

SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem The Avengers.


LOS ANGELES - Filem The Avengers kelmarin diumumkan menduduki No.3 dalam senarai kutipan tiket tertinggi di dunia.

Ia berada di belakang filem Avatar yang menduduki tempat pertama diikuti Titanic.

Filem arahan Joss Whedon dengan kerjasama Marvel Comics itu memperoleh kutipan sebanyak AS$7 juta (RM22.3 juta) pada minggu lalu.

Filem itu menampilkan beberapa watak adi wira seperti Iron Man, Captain America dan Hulk.

Dianggarkan kutipan filem tersebut setakat ini ialah AS$1,438.3 juta (RM4.59 bilion) sejak ia ditayangkan pada Mei lalu.

Filem Avatar arahan James Cameron mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$2.78 bilion (RM8.8 bilion).

Titanic yang turut diarahkan Cameron memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$2.19 bilion (RM6.9 bilion). - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan