Khamis, 28 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


‘Turki sedia angkatan perang’

Posted: 28 Jun 2012 03:00 PM PDT

Dunia

ERDOGAN memberikan isyarat bagus dari kokpit pesawat Hurkus pada satu majlis di Industri Angkasa Lepas Turki di Ankara, kelmarin. - Foto REUTERS

ERDOGAN memberikan isyarat bagus dari kokpit pesawat Hurkus pada satu majlis di Industri Angkasa Lepas Turki di Ankara, kelmarin. - Foto REUTERS

ANKARA: Turki menempatkan senjata antipesawat dan kelengkapan perang lain di sepanjang sempadannya dengan Syria, lapor televisyen semalam, beberapa hari selepas tentera Syria menembak jatuh jet tentera Turki menyebabkan ketegangan kedua-dua negara.

Konvoi kecil trak tentera yang menunda senjata antipesawat, memasuki pangkalan luar tentera di kampung Guvecci, yang berdepan pangkalan luar tentera Syria di seberang sempadan dan lokasi tentera dan pemberontak negara itu bertempur beberapa bulan lalu, lapor televisyen TRT.

Beberapa senjata antipesawat juga ditempatkan di beberapa kawasan lain sepanjang sempadan. Beberapa trak dilihat membawa pelancar roket. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, Selasa lalu memberi amaran mana-mana unit tentera Syria yang mendekati sempadannya akan dianggap ancaman.
Sekutu Turki, pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan sokongan kepada Ankara dan mengutuk serangan Syria tetapi tidak menyebut mengenai serangan ke atas Damsyik.

Penempatan tentera itu dibuat sebelum Presiden Abdullah Gul mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan semalam, lapor TRT. Mesyuarat itu, yang dihadiri anggota Kabinet dan pegawai kanan tentera, dijangka memberi tumpuan kepada ketegangan dengan Syria.

Turki dan Syria mempunyai hubungan rapat sebelum kebangkitan bermula Mac 2011, tetapi sejak itu Turki menjadi pengkritik terhadap rejim Syria dan berulang kali menggesa Presiden Bashar al Assad supaya meletak jawatan ketika 33,000 rakyat negara itu mendapatkan perlindungan di Turki.
Turki turut memberikan tempat kepada kumpulan pembangkang awam selain beratus-ratus anggota tentera berpaling tadah mempunyai kaitan dengan Tentera Bebas Syria.

Seorang menteri Syria kelmarin, berkata tentera negaranya tersalah sangka pesawat Turki ditembak jatuh itu milik Israel.

Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoebi, memberitahu rangkaian A Haber di Turki kelmarin, negaranya tidak mahu sebarang krisis dengan Turki.

Al-Zoebi berkata, jet Turki dan Israel kebanyakannya buatan Amerika membawa kepada kesilapan tentera Syria yang menyangka ia jet Israel. – AP


Bangkai pesawat hilang 60 tahun ditemui

Posted: 28 Jun 2012 02:59 PM PDT

Dunia

ANCHORAGE (ALASKA): Bangkai pesawat yang ditemui di satu glasier berhampiran Anchorage awal bulan ini dipercayai sebuah kapal terbang yang hilang pada 1950-an bersama lebih 50 orang penumpang kata pihak berkuasa tentera semalam.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarika, Kapten Jamie Dobson, berkata beberapa bukti di kawasan bangkai dikaitkan dengan pesawat Globemaster C-124 yang hilang di wilayah itu pada November 1952.

"Beberapa bukti di bangkai pesawat ada sama dengan Globemaster G-124 milik Tentera Udara Amerika Syarikat yang terhempas pada 1952," kata Dobson. "Kami masih lagi menyiasat kemungkinan lain tetapi sehingga kini kami mengetahui bahawa kebanyakan bukti adalah dikaitkan dengan pesawat terbabit."

Hubungan kali terakhir dengan pesawat itu adalah ketika ia terbang di Pulau Middleton di Teluk Alaska, 257 kilometer ke tenggara Anchorage.

Pesawat itu membawa 41 penumpang dan 11 krew, termasuk juruterbang, Kapten Kenneth J. Duval, 37 dari Vallejo, California dan juruterbang kedua, Kapten Alger M.Cheney, 32 dari Lubeck, Maine.

Bangkai pesawat ditemui beberapa hari selepas kemalangan di Gunung Gannett tetapi tiada tanda-tanda ada mangsa terselamat dan keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi ketika itu. Pesawat itu terbiar dan operasi selepas itu gagal untuk mengesan bangkai pesawat.
Kini selepas hampir 60 tahun, bangkai terbabit ditemui semula pada 10 Jun oleh krew sebuah helikopter Pengawal Keselamatan Tentera Alaska apabila ia terbang rendah di kawasan berhampiran Knik, sebuah glasier di utara Pergunungan Chugach 64 kilometer ke Anchorage.

Selepas misi mencari dan menyelamat tambahan oleh Pasukan Tugasan Bersama Alaska dan Pengawal Kebangsaan Alaska, pihak berkuasa mengenal pasti pesawat itu sebuah pesawat tentera lama.

Pihak berkuasa pada awalnya gagal mengenal pasti pesawat itu menyebabkan pasukan penyiasat JPAC dihantar untuk melakukan siasatan.– Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan