Khamis, 28 Jun 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tumor gergasi berjaya dibuang

Posted: 27 Jun 2012 12:03 PM PDT

BANDAR RAYA MEXICO: Doktor di negara ini berjaya membuang 14.9 kilogram tumor yang lebih berat daripada kanak-kanak dua tahun yang menghidapnya, baru-baru ini.

Jesus Rodriguez dari Durango, negeri di utara Mexico dilahirkan dengan benjolan tidak berbahaya yang tumbuh di bahagian kanan tubuhnya dari ketiak hingga pinggangnya. Pengarah Pakar Kanak-Kanak di Hospital La Raza di mana pembedahan itu dilakukan, Dr Gustavo Hernandez berkata, tumor itu lebih berat daripada Rodriguez yang mempunyai berat 11.7 kilogram ketika dia menjalani pembedahan itu dua minggu lalu.


Doktor di hospital di bandar raya Mexico mengambil masa 10 jam untuk membuang ketumbuhan gergasi itu, menurut Dr Hernandez. Namun, ia keluar tanpa kesukaran dan kanak-kanak itu semakin pulih serta keadaannya baik-baik saja. Dr Hernandez berkata, pembedahan itu menandakan kali pertama doktor di negara terbabit dapat membuang tumor lebih besar daripada pesakit yang menghidapnya.

Pada Ogos 2010, doktor membuang tumor seberat hampir 25.4 kilogram daripada rahim seorang wanita warga Argentina berusia 54 tahun. Benjolan besar itu adalah antara tumor terbesar yang pernah dibuang, kata pegawai perubatan.


Ia tumbuh dalam rahim wanita itu selama 18 bulan dan mempunyai berat sama seperti kanak-kanak empat tahun atau pasangan kembar lima.


Pesakit berkenaan yang sukar berjalan atau membongkok untuk mengikat tali kasutnya sejurus selepas pembedahan mempunyai berat badan berkurangan sebanyak 31.7 kilogram ketika dia keluar hospital. - DM


Gadis nyaris maut dihempap treler

Posted: 27 Jun 2012 11:53 AM PDT

LONDON: Seorang gadis berusia 20 tahun berjaya melepaskan tali pinggang keledar dipakainya dan mengerekot tubuhnya ketika sebuah treler menghempap keretanya.

Gambar ngeri ini menunjukkan bagaimana dia nyaris terbunuh dalam kereta Nissan Micra dipandunya ketika ia dihempap di lebuh raya A50 di Staffordshire, semalam.


Wanita muda yang terkejut itu nampak treler mulai terbalik dan dia berjaya mengerekot seperti kedudukan janin bayi.

Reaksi pantasnya menyelamatkan nyawanya ketika kereta Nissan kelabunya remuk sepenuhnya. Bahagian kiri bawah kereta itu mengenai lantai dan treler berkenaan pula terbalik di atasnya. Dia kemudian dengan berani memanjat keluar dari kereta itu melalui bahagian penumpang hanya dengan kecederaan di tangan.


Jurucakap Khidmat Ambulans Midlands Barat berkata: "Insiden itu berlaku sejurus selepas pusingan bulatan. Treler itu berada di laluan luar jalan dua lorong berkenaan dan Nissan Micra terbabit di laluan dalam. "Treler itu menghempap kereta berkenaan hingga bumbungnya ranap ke bahagian tempat duduk penumpang," katanya. - DM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan