Kosmo Online - Dunia |
- Sekutu Taliban serang Kabul
- Breivik mengaku bunuh 77 orang
- Nilai cincin tunang Jolie dianggarkan RM765,750
Posted: Sekutu Taliban serang Kabul
KABUL - Seorang militan yang ditangkap berhubung serangan di ibu kota Afghanistan di sini dan tiga bandar lain mengaku bahawa serangan selama 18 jam itu dilakukan oleh rangkaian Haqqani, sebuah kumpulan pejuang yang mempunyai hubungan dengan Taliban dan Al-Qaeda, kata seorang pegawai kanan keselamatan Afghanistan semalam. Menteri Dalam Negeri, Besmillah Mohammadi berkata, seramai 36 orang pemberontak terbunuh dalam serangan itu yang turut meragut nyawa lapan anggota polis dan tiga orang awam. Walaupun angka kematian itu rendah berbanding beberapa serangan lain, serangan ke atas pelbagai sasaran itu menunjukkan kumpulan militan masih mampu menembusi kawalan keselamatan di Afghanistan termasuk di ibu kota ini selepas 10 tahun negara berkenaan dilanda peperangan. Serangan di sini dan wilayah Nangarhar, Paktia serta Logar juga membayangkan cabaran keselamatan yang dihadapi oleh tentera pemerintah ketika askar-askar Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melakukan persiapan untuk berundur menjelang tahun 2014. Semalam, Presiden Aghanistan Hamid Karzai berkata, siri serangan itu menunjukkan kegagalan perkhidmatan perisikan negaranya dan NATO yang menyebabkan kumpulan militan memasuki Kabul dan beberapa bandar lain. Beliau meminta satu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung siri serangan tersebut. Bagaimanapun, Hamid memuji tindak balas pasukan keselamatan Afghanistan dalam insiden itu. Rangkaian Haqqani yang memiliki sekitar 10,000 pejuang dianggap antara ancaman paling serius terhadap NATO di Afghanistan. "Seorang pengganas yang ditangkap dalam wilayah Nangarhar mengaku bahawa semua serangan itu dilancarkan oleh rangkaian Haqqani," kata Mohammadi kepada pemberita di sini. Haqqani yang diketuai oleh Jalaluddin Haqqani dan anak lelakinya, Sirajuddin beroperasi dalam wilayah di sepanjang sempadan Afghanistan dengan Pakistan di timur negara berkenaan. - Agensi | ||
Breivik mengaku bunuh 77 orang Posted: Breivik mengaku bunuh 77 orang
OSLO, Norway - Seorang fanatik berhaluan kanan semalam mengaku dia melancarkan serangan bom dan tembakan yang meragut nyawa 77 orang di Norway. Namun, lelaki berkenaan, Anders Behring Breivik tidak mengaku salah atas dakwaan melakukan jenayah dengan alasan serangan tersebut dilakukan bagi mempertahankan diri. Pada hari pertama perbicaraannya di sini, Breivik enggan mengiktiraf kuasa mahkamah berkenaan. Dia dibicarakan kerana melancarkan serangan pada 22 Julai tahun lalu yang menggemparkan Norway dan mengubah imej keganasan di Eropah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan orang Islam. Berpakaian sut gelap dan berjanggut pendek, Breivik tersenyum apabila seorang pengawal membuka garinya di bilik perbicaraan mahkamah berkenaan yang dipenuhi orang ramai. Lelaki berusia 33 tahun itu kemudian mengepal jarinya dan memberikan tabik hormat sebelum berjabat tangan dengan pihak pendakwa raya dan pegawai mahkamah. "Saya tidak mengiktiraf mahkamah Norway kerana anda mendapat mandat daripada parti politik Norway yang menyokong masyarakat berbilang kaum," kata Breivik. Seramai lapan orang maut dalam serangan bom oleh Breivik di ibu kota Norway di sini manakala 69 yang lain terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah kem belia anjuran Parti Buruh di Pulau Utoya, dekat sini. "Saya mengaku melakukan dua serangan tersebut tetapi saya tidak bersalah kerana perbuatan jenayah," ujarnya sambil menambah, perbuatan itu dilakukan untuk mempertahankan diri. Perkara utama yang perlu diselesaikan semasa perbicaraan selama 10 minggu itu berlangsung melibatkan isu kesihatan mental Breivik. Ia akan menentukan sama ada dia akan dihantar ke penjara atau ditahan di hospital sakit jiwa. Jika Breivik disahkan tidak gila, dia berdepan hukuman penjara 21 tahun. Namun, hukuman terhadapnya akan dilanjutkan jika dia didapati masih merbahaya kepada orang awam. - Agensi | ||
Nilai cincin tunang Jolie dianggarkan RM765,750 Posted: Nilai cincin tunang Jolie dianggarkan RM765,750
LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Angelina Jolie memakai sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai AS$250,000 (RM765,750) semasa dia melawat sebuah muzium di sini pada Rabu lalu, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam. Ia merupakan cincin pertunangan yang diberikan oleh kekasihnya, Brad Pitt, 48. Cincin itu ditempah daripada tukang emas, Robert Procop. Rekaan cincin yang berbentuk segi empat itu mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Jolie, 36, memakai cincin itu ketika dia mengunjungi pameran koleksi seni Cina di Muzium Daerah Los Angeles. Berita pertunangan pasangan itu disiarkan media pada Jumaat lalu. Pasangan itu ketika ini tinggal bersama walaupun mereka masih belum melangsungkan perkahwinan. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan