Sabtu, 14 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pyongyang mahu uji bom nuklear

Posted: 13 Apr 2012 04:21 PM PDT

Dunia

Usaha selamat maruah selepas gagal melancarkan roket Unha-3

PYONGYANG: Kegagalan melancarkan roket Unha-3 yang menerima banyak publisiti, dijangka mendorong Korea Utara untuk menguji bom nuklear dalam usaha menyelamatkan maruahnya, kata penganalisis.

Pelancaran yang ditunggu-tunggu itu berakhir dengan kegagalan memalukan awal semalam, apabila roket terbabit berpecah menjadi serpihan yang menjunam ke dalam Laut Kuning sejurus dilancarkan. "Perasaan terhina akibat kegagalan pelancaran itu mungkin mendorong pemimpin baru Korea Utara Kim Jong-Un untuk melakukan ujian senjata nuklear, demi menyelamatkan maruah negaranya," kata penganalisis di Institut Peterson Bagi Ekonomi Antarabangsa, yang beribu pejabat di New York, Marcus Noland.

Beliau berkata, kegagalan mungkin diterima dengan rasa lega kebanyakan negara, tetapi sebenarnya meningkatkan lagi bahaya dan ancaman yang akan dihadapi dunia.

Dalam tempoh beberapa minit pada pelancaran awal pagi itu, Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengisytiharkan ia satu kegagalan. Korea Utara mengaku keadaan itu beberapa jam kemudian dalam pengumuman yang disiarkan menerusi televisyen, berkata satelit itu gagal memasuki orbit.

Pemimpin dunia pantas mengutuk pelancaran itu, menyifatkan ia ujian rahsia teknologi peluru berpandu dan melanggar resolusi antarabangsa yang melarang negara komunis itu membangunkan program nuklear dan peluru berpandunya.
Pemimpin negara industri Kumpulan Lapan yang bermesyuarat di Washington, termasuk Russia mengecam pelancaran itu. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sementara itu mengadakan mesyuarat tergempar lewat semalam, dan Washington berkata ia menggantung pelan mengagihkan bantuan makanan ke Korea Utara sebagai balasan kepada program nuklear negara itu. – AP

Malaysia kecam tindakan Korea Utara lancar roket

Posted: 13 Apr 2012 04:19 PM PDT

Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam tindakan rejim Korea Utara kerana melancarkan roket walaupun masyarakat antarabangsa sudah menyatakan kebimbangan ke atas tindakan itu yang mungkin melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan rejim Korea Utara itu amat dikesali dan tidak boleh diterima.

"Ia mungkin menyulitkan usaha semasa bagi mencari penyelesaian dalam meredakan ketegangan di Semenanjung Korea. "Kami amat bimbang dengan perkembangan terbaru itu kerana ia mungkin mengancam kestabilan serantau," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, semalam.

Anifah berharap semua pihak di Semenanjung Korea akan bersabar dan tidak mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi situasi di rantau itu.

Menurut laporan media, roket yang dilihat oleh ramai sebagai ujian peluru berpandu balistik dilancarkan di barat laut Korea Utara awal semalam. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan